6 PESAN IMAM AL-GHAZALI

Oleh : Ustaz Mohamad Sallehudin bin Md Derus

Suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al Ghazali bertanya.

1 – Pertama, “Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?”

Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman dan kerabatnya. Imam Al Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah “mati”. Kerana mati itu janji Allah SWT. Janji Allah Ta’ala bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Surah Ali Imran: 185)

2 – Lalu Imam Al Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua. “Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?”

Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu Imam Al Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah “masa lalu”. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Islam

3 – Lalu Imam Al Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. “Apa yang paling besar di dunia ini?”

Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Al Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah “nafsu”.

Nafsu yang menguasai diri menyebabkan manusia gagal menggunakan akal, mata, telinga dan hati yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala untuk hidup berlandaskan kebenaran.

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah Al-A’araaf: 179)

4 – Pertanyaan keempat adalah, “Apa yang paling berat di dunia ini?”

Ada yang menjawab baja, besi dan gajah. Semua jawapan hampir benar, kata Imam Al Ghazali, tapi yang paling berat adalah “memegang amanah.”

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” ( Surah Al-Ahzaab: 72 )

Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya sanggup terima permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia dimasukkan ke dalam neraka kerana tidak mampu memegang amanahnya.

5 – Pertanyaan yang kelima adalah, “Apa yang paling ringan di dunia ini?”.

Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Al Ghazali, tetapi yang paling ringan di dunia ini adalah meninggalkan solat. Ramai dalam kalangan kita, kerana kerja, kerana urusan dunia, kerana hiburan, kita tinggalkan solat. Sedangkan tuntutan solat itu yang lebih utama.

 

6 – Lantas pertanyaan ke enam adalah, “Apakah yang paling tajam di dunia ini?”.

Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang. Benar kata Imam Al Ghazali, tapi yang paling tajam adalah “lidah manusia”. Kerana, dengan lidah, manusia dengan begitu mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

MERUQYAH AIR JAMPI

 Oleh: Dr. Mahyuddin bin Ismail, Pengarah PIMPIN

Pendahuluan

Pada tahun 1999, Profesor Masaru Emoto dari Institut Hado di Tokyo telah menemui rahsia yang mengagumkan pada kejadian air. Dalam buku beliau, Messages from Water, beliau menyatakan bahawa molekul air berubah mengikut apa yang dituturkan oleh orang di sekelilingnya.

Penemuan ini telah dijadikan dalil oleh sesetengah orang bahawa air yang dibacakan jampi, mantera atau ayat-ayat ruqyah mampu menyembuhkan penyakit yang dihidapi oleh seseorang. Maka terhasillah pelbagai jenis produk air jampi dan ruqyah di pasaran dengan pelbagai nama. Bahkan lebih dari itu, terdapat pelbagai bahan campuran yang diadun bersama air jampi seperti sarang anai-anai yang makan al-Quran, kelambu kaabah, kopi ruqyah dan seumpamanya. Fenomena ini mencetuskan persoalan sejauh mana produk yang dibacakan jampi dan ruqyah ini benar-benar memberikan kesan. Adakah air jampi yang dijual di kedai-kedai mampu memberikan kesan positif kepada peminumnya?

Kisah Pesakit dan Air Jampi

Guru saya, Dr. Haji Jahid bin Sidek pernah menceritakan perihal seorang wanita yang baru kematian bapanya. Wanita tersebut mengalami kemurungan yang kronik. Suami wanita ini pergi menemui seorang perawat untuk menyelesaikan masalah tersebut. Perawat ini memberitahu bahawa penyakit wanita itu boleh sembuh dengan cara meminum air yang dibacakan Yasin dan dimasukkan sedikit tanah yang diambil dari kubur bapanya. Suami wanita tersebut melakukan sebagaimana yang disuruh. Setelah meminum air Yasin yang dicampur tanah kubur itu, keadaan wanita tersebut menjadi semakin teruk. Beliau hilang kewarasan dan sering mendengar bisikan ghaib. Beliau kadang-kadang berlari dalam keadaan tanpa pakaian dan mengetuk pintu rumah jiran untuk memberitahu bahawa dia akan mati tidak lama lagi.

Air Jampi Sebagai Simpulan Sihir

Ramai orang tidak menyedari bahawa ayat-ayat jampi dan mantera yang dituturkan boleh menjadi simpulan sihir. Bahkan ayat-ayat Al-Quran yang digunakan juga boleh menjadi sedemikian. Hal ini berlaku kerana dua sebab:

  1. Apabila ayat-ayat al-Quran, jampi, mantera, serapah, wirid dan zikir tersebut diambil dari pengamal perubatan yang terlibat dalam amalan syirik seperti sihir, nujum, tilik, pemujaan makhluk halus dan seumpamanya. Ayat-ayat yang diterima ini merupakan syarat yang ditetapkan oleh syaitan untuk memastikan kemujarabannya.
  1. Apabila ayat-ayat yang diterima itu disertai dengan amalan-amalan yang menjadi amalan kebiasaan bomoh, pawang, tukang tilik atau ahli sihir. Sebagai contoh, untuk mendapatkan kembali barang yang dicuri, ada pengamal yang mensyaratkan mangsa curi supaya membaca ayat ke 16 surah Luqman sebanyak 116 kali sambil menggoreng batu. Amalan membaca ayat tersebut merupakan doa agar Allah mengembalikan semula barang tersebut. Yang menjadi salahnya ialah apabila ayat tersebut mesti dibaca sambil menggoreng batu dengan niat pencuri tersebut akan kepanasan. Kaedah menggoreng batu adalah amalan yang diajar oleh pawang dan bomoh. Contoh lain ialah ada perawat yang mengajar untuk membinasakan orang yang zalim dengan cara dibacakan ayat 17 Surah Al-Anfal sambil memotong patung manusia yang dibentuk dari tanah liat atau tepung. Amalan sedemikian merupakan percampuran antara kaedah perubatan Islam dan amalan-amalan khurafat. Sekiranya perawat sebegini menjampi atau membaca ayat-ayat pada air, maka air tersebut boleh menjadi sebagai simpulan sihir sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Falaq ayat 4:

“…(dan aku berlindung kepada Allah) dari kejahatan penghembus-penghembus yang menghembus pada simpulan-simpulan sihir…”

 

Air Sebagai Medium Penyembuhan

Islam mengiktiraf bahawa air yang dibacakan ayat-ayat al-Quran atau doa-doa yang mathur dari hadis merupakan sebahagian dari kaedah rawatan dalam Islam. Rasulullah SAW sendiri menggunakan air yang didoakan sebagai ikhtiar untuk penyembuhan. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud dalam kitab Sunan Ibnu Majah:

“Ketika Rasulullah sedang sujud dalam solatnya, jari beliau disengat kala jengking. Setelah selesai solat, baginda bersabda: “Semoga Allah melaknat kala jengking yang menganggu nabi atau selainnya.’ Lalu baginda mengambil bekas  yang berisi air dan garam. Kemudian beliau meletakkan bahagian tangan yang tersengat kala jengking dalam larutan air dan garam (merendamnya), seraya membaca surat al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas, sampai beliau merasa tenang.”

Diriwayatkan dari Ibn Abbas bahawa Nabi SAW pernah memerintahkan agar ditulis beberapa potongan ayat dari Al-Quran pada bekas minuman yang bersih lalu diberi minum dan mandi kepada wanita yang sukar untuk bersalin. Begitu juga dengan kisah seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Sahal bin Hanif r.a. yang terkena penyakit pandangan mata (‘ain). Apabila diadukan perkara ini kepada Rasulullah SAW, maka baginda SAW memerintahkan agar sahabat tersebut dimandikan dengan air yang ditadah dari wudu orang yang mengenakan ‘ain itu.

Dalam kitab al-Jami’ Li Ahkam al-Quran karangan Imam Al-Qurtubhi, diriwayatkan bahawa saidatina Aisyah r.a. telah membacakan al-mu’awizatain kepada air dalam sebuah bekas, dan kemudian menyuruh seseorang menuang air itu ke atas pesakit. Bahkan amalan ini turut menjadi sebahagian dari metod rawatan ulama-ulama terdahulu sebagaimana yang diriwayatkan dari Abdullah ibn Ahmad ibn Hanbal bahawa beliau melihat ayahnya membacakan ayat al-muawizzat kepada air lalu meminumnya, dan menuangkan air itu pada dirinya (mandi).

MENJAMPI AIR MENGGUNAKAN AYAT AL-QURAN

Menjampi air menggunakan ayat al-Quran adalah digalakkan. Antara amalan orang-orang alim terdahulu ialah membacakan surah Yasin pada air pada setiap malam Jumaat. Ini kerana Al-Quran mengandungi keberkatan, dan keberkatannya ini meliputi apa sahaja yang berada di sekelilingnya sama ada daripada air atau lain-lain. Maka air tersebut menjadi berkat dengan keberkatan al-Quran, dan dengan keberkatan ini mudah-mudahan ia menjadi penyembuhan dengan izin Allah Yang Maha Esa. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra ayat 82:

Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran,ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya.”

Menurut Syeikh Mutawalli As-Sya’rawi dalam tafsirnya, ayat tersebut menunjukkan bahawa ayat-ayat al-Quran menjadi rahmat dan penyembuh jika dibaca oleh orang-orang yang beriman. Ia akan memberikan kesan yang sangat mendalam kepada yang mendengarnya tidak kira Islam mahupun orang kafir. Dalilnya, ketika Saidina Umar mendengar ayat Quran dibaca oleh kaum musyrik dihadapannya, bertambah kebencian dan kemarahannya terhadap Islam, dan ingin ia lari dari mendengarnya. Tetapi apabila mendengar ayat tersebut dibaca oleh adiknya yang telah beriman, maka terus lembut jiwanya lantas beliau terus memeluk Islam.

Hal tersebut digambarkan oleh Allah dalam surah at Taubah ayat 124-125 yang bermaksud: ”Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek): "Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?" Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya). Adapun orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir.”

Justeru, sekiranya ayat-ayat Al-Quran dibaca sebagai jampi oleh seseorang perawat dengan disertai amalan-amalan khurafat atau syirik, maka ia merupakan satu penghinaan terhadap kesucian al-Quran dan ia merupakan amalan sihir. Ia tidak akan mendatangkan manfaat tetapi membawa kemudaratan kepada orang lain.

KAEDAH MENJAMPI PADA AIR

Untuk mengelakkan diri kita tertipu dengan lambakan perkhidmatan rawatan atau produk yang didakwa berasaskan jampi atau ruqyah dari al-Quran, maka kita perlu lebih berhati-hati. Saya sendiri pernah melihat lori-lori yang membawa muatan air yang telah diruqyah ini memasang lagu-lagu yang membingitkan telinga selain menuturkan kata-kata yang kurang elok. Besar kemungkinan molekul air yang telah diruqyah tersebut telah bertukar akibat terkesan dengan muzik dan tutur kata tersebut.

Sekiranya kita ingin berikhtiar untuk berubat dengan menggunakan perkhidmatan dan produk berasaskan air jampi ini, maka berikut adalah antara panduannya:

Yang pertama, carilah seseorang alim di kawasan sekitar yang betul-betul memelihara agamanya, tidak terlibat dalam amalan syirik. Mintalah orang ini untuk membacakan ayat-ayat al-Quran dan berdoa untuk kita.

Yang kedua, sekiranya sukar untuk menemui orang alim, maka kita sendiri boleh membaca dan berdoa agar Allah menyembuhkan kita. Doa orang dizalimi dan doa orang yang sakit antara doa yang makbul. Berikut adalah antara ayat-ayat yang pernah dibacakan oleh Rasulullah SAW, sahabat, para ulama sebagai ruqyah atau jampi untuk penyembuhan:

  • Surah al-Fatihah, ayat 1 - 7
  • Surah al-Baqarah, ayat 1 - 6
  • Surah al-Baqarah, ayat 102
  • Surah al-Baqarah, ayat 163 - 164
  • Surah al-Baqarah, ayat 255 (ayat kursi)
  • Surah al-Baqarah, ayat 285 - 286
  • Surah Ali Imran, ayat 18 - 19
  • Surah al-A’raf, ayat 54 - 56
  • Surah al-A’raf, ayat 117 - 122
  • Surah Yunus, ayat 81 - 82
  • Surah Taha, ayat 69
  • Surah al-Mukminun, ayat 115 - 118
  • Surah As-Saffat, ayat 1 - 10
  • Surah al-Ahqaf, ayat 29 - 32
  • Surah Ar-Rahman, ayat 33 - 36
  • Surah al-Hasyr, ayat 21 - 24
  • Surah al-Jin ayat 1 - 9
  • Surah al-Ikhlas, ayat 1 - 4
  • Surah al-Falaq, ayat 1 - 5
  • Surah An Nas, ayat 1 – 6

Sebelum memulakan bacaan, sebaik-baiknya kita terlebih dahulu mengerjakan solat sunat taubat dan hajat memohon agar dihapuskan dosa dan diterima doa kita untuk penyembuhan.

Bacaan ayat-ayat tersebut hendaklah dijadikan amalan harian kerana Allah menyukai seseorang yang beramal dengan sesuatu amalan secara konsisten. Sabda Nabi SAW:

”Sesungguhnya Allah mencintai seseorang dari kamu yang apabila dia beramal, maka dia tekun dan kekal beramal dengan amalan tersebut”.

 

Selain itu, kita juga boleh bawa air ke masjid-masjid yang mengadakan bacaan yasin dan tahlil pada setiap malam jumaat atau mana-mana majlis ilmu dan zikir. Dengan cara tersebut, dapatlah kita menumpang keberkatan majlis, dan mudah-mudahan molekul-molekul air yang kita bawa itu bertindak positif terhadap perkataan-perkataan yang baik yang dibacakan dalam majlis tersebut. Itu adalah lebih baik dari kita membeli produk-produk yang kita sendiri tidak tahu siapakah yang menjampinya, ayat jampi apa yang digunanya dan untuk tujuan apa ia dijampi.

 

Antara Nikmat dan Ujian

Sebagai manusia, kita harus yakin bahawa Allah SWT telah membahagi dan memberikan keutamaan rezeki kepada sebahagian manusia ke atas sebahagian yang lainnya dengan tidak ada perbezaan di antara keturunan, warna kulit, kedudukan, kehormatan, kepandaian, bahkan keta'atan dan kemaksiatan seseorang. Namun Allah SWT memberikan nikmat-Nya kepada seluruh makhluk-Nya sebagai suatu hikmah dan tujuan yang hanya Dia ketahui dan kehendaki. Sehingga ada sebahagian di antara manusia mendapat harta yang melimpah ruah dan ada juga sebahagian yang lain mendapat sebaliknya iaitu serba kekurangan dan menghadapi kesulitan dalam kehidupan.

Syeikhul Islam Taqiyuddin pernah berkata, "Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan makhluk-Nya hanyalah untuk beribadah kepada-Nya, dan Dia menciptakan rezeki untuk mereka hanya untuk memudahkan mereka beribadah kepada-Nya." Akan tetapi kemudahan rezeki yang Allah SWT berikan juga merupakan nikmat, ujian bahkan fitnah dan musibah bagi sebahagian manusia. Dan ianya perlu diketahui bahwa Allah SWT memberikan rezeki kepada hamba-Nya, bukan semata-mata untuk menunjukkan kecintaan dan keredhaan-Nya. Allah SWT telah menegaskan dalam firman-Nya, yang bermaksud;

" …(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan mengheretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali.".

(Surah al-Baqarah: 126)

Setiap manusia merasai nikmat daripadaNya sama ada mereka beriman atau sebaliknya. Malah dari satu sudut, kadang kala kita melihat golongan hambaNya yang taat, masih lagi berada dalam keadaan kesusahan dan kesempitan hidup. Manakala golongan satu lagi yang bergelumang dengan dosa dan noda, terus memperoleh nikmat kesenangan hidup yang banyak. Inilah yang dinamakan istidraj iaitu pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu sebenarnya tidak diredai olehNya.

Oleh itu perlu untuk kita ketahui bahawa terdapat perbezaan di antara rezeki yang telah diberikan oleh Allah kepada manusia. Yang pertama adalah pemberian yang berupa nikmat iaitu pemberian yang membawa manusia kepada ketaatan kepada Allah SWT serta menambahkan rasa syukur kepada  Allah SWT (Shahrizal 2014). Manakala yang kedua adalah pemberian yang membawa manusia makin jauh dan lupa kepada mengingati Allah SWT iaitu dinamakan istidraj. Manusia yang diuji dengan istidraj akan memperoleh bermacam kenikmatan dunia sama ada dalam bentuk kekayaan, kejayaan, pangkat dan gelaran, pengiktirafan dan sanjungan, namun kesemua itu tidak menjadikan mereka hambaNya yang bersyukur, sebaliknya terus jauh daripada Allah. Mereka sangka Allah telah memberi mereka segalanya meski pun mereka ingkar kepadaNya. Sebenarnya, mereka telah melakukan satu kesilapan yang amat besar.

Ketahuilah Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendakiNya. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya urusanNya apabila Dia menghendaki sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya, “Jadilah!”, maka jadilah sesuatu itu,”

(Surah Yasin: 82).

Kerana itu, sebagai hambaNya yang taat dan beriman, setiap ketentuan Allah pastinya diterima dengan penuh reda. Kewajipan sebagai seorang Muslim mesti diteruskan meskipun masih terdapat harapan dan impian yang masih belum dimakbulkan Allah.

Oleh itu, seorang muslim dituntut untuk mencari sebab pengurniaan rezeki daripada Allah SWT terhadapnya dengan melalui cara iaitu berusaha sebaiknya untuk mencari rezeki yang halal dan baik, serta menjauhi perkara-perkara yang haram. Hal ini supaya keberkatan yang terkandung di dalamnya dapat  menumbuhkan serta menetapkan rasa syukur kepada Allah SWT dan sabar serta tawakkal terhadap segala ketentuan dari-Nya. Dan kita juga hendaklah sentiasa berdo'a dan meminta hanya kepada Allah SWT serta menjauhi segala bentuk kemaksiatan dan perbuatan dosa, kerana perbuatan maksiatan dapat menyempitkan dan mengurangkan rezeki seseorang serta keberkatannya (Abu Farwah.Tth).

TUNTUTAN MENJAGA ADAB

PENDAHULUAN

Makanan adalah nikmat yang besar dari Ilahi. Ia merupakan salah satu nikmat yang sering disebut Allah di dalam Alquran. Makanan juga merupakan keperluan asasi bagi manusia. Oleh itu manusia seharusnya sentiasa bersyukur dengan setiap pemberian daripada Allah. Bagi orang kafir, mereka hidup hanya untuk makan dan mencari kelazatan serta keinginan yang boleh memenuhi kessenangan jasmani dan selera mereka. Sedangkan bagi orang mukmin, mereka makan untuk hidup dan mendapatkan kekuatan untuk mentaati perintah Allah.

Oleh itu, Islam telah meletakkan beberapa garis panduan tentang adab atau akhlak ketika sebelum, semasa dan selepas makan melalui Al quran dan juga hadis Nabi SAW. Jadi seorang insan itu bila dikesani oleh akhlak Islamiyah yang sempurna serta istimewa, maka ia akan mendorong seorang itu bersikap baik serta tidak lagi melakukan penyelewengan terhadap perintah Allah S.W.T..

Dan jika seseorang itu tidak menyeleweng perintah Allah S.W.T. itu, maka sudah tentu apa-apa kerja yang mahu dilakukan lebih-lebih lagi menjalani kehidupan akan merasai ketenteraman, keharmonian dan kebahagiaan. Hal ini termasuk lah dari keindahan dan kesempurnaan agama Islam adalah adanya aturan-aturan dan adab ketika makan dan minum.

DEFINISI AKHLAK/ADAB

Islam telah dilengkapkan dengan tiga elemen yang saling melengkapi antara satu sama lain yang merangkumi aspek akidah, ibadah dan akhlak. Oleh itu, sifat dan keperibadian Rasulullah dalam telah menjadi satu teladan yang besar kepada keseluruhan manusia sejagat. Sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam Al-Quran:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang. (Surah Al-Ahzab, 33:21)

Bersandarkan ayat di atas, jelas menunjukkan sifat keperibadian Rasulullah yang baik sekaligus menjadi contoh yang perlu diikuti oleh seluruh umat Islam di dunia ini.

Akhlak dari segi bahasa : berasal daripada perkataan ‘khulq’ yang bererti perilaku, perangai atau tabiat. Maksud ni terkandung dalam kata-kata Aisyah berkaitan akhlak Rasulullah saw yang bermaksud : “Akhlaknya (Rasulullah) adalah al-Quran.” Akhlak Rasulullah yang dimaksudkan di dalam kata-kata di atas ialah kepercayaan, keyakinan, pegangan, sikap dan tingkah laku Rasulullah saw yang semuanya merupakan pelaksanaan ajaran al-Quran.

Akhlak dari segi istilah : Menurut Imam al-Ghazali, “Akhlak merupakan gambaran tentang keadaan dalam diri manusia yang telah sebati dan daripadanya terbit tingkah laku secara mudah dan senang tanpa memerlukan pertimbangan atau pemikiran. Akhlak sangat penting dan pengaruhnya sangat besar dalam membentuk tingkah laku manusia. Apa saja yang lahir dari manusia atau segala tindak-tanduk manusia adalah sesuai dengan pembawaan dan sifat yang ada dalam jiwanya.”

Secara zahirnya kita merasakan akhlak dan perilaku adalah sama. Namun jika diperhalusi dengan mendalam sebenarnya terdapat perbezaan yang besar antara keduanya. Sulaiman Yasin menjelaskan bahawa akhlak itu sebenarnya adalah merupakan suatu perkara yang maknawi, iaitu merupakan sifat-sifat bagi diri nafsani atau sifat bagi jiwa dan tabiatnya. Adapun perilaku atau perlakuan hanya merupakan cara amal atau perbuatan.

Sesetengah orang berkata, jika tiada agama bagi sesuatu kaum itu maka akhlaklah yang menjadi agama bagi mereka. Ini kerana akhlak adalah bahagian yang sangat penting dalam kehidupan manusia kerana ia menjadi penentu kejayaan atau kegagalan mereka dalam kehidupan di dunia ini. Bagi umat Islam, akhlak bukan sahaja menjadi asbab kejayaan di dunia malah lebih penting lagi adalah kejayaan di akhirat iaitu syurga atau neraka.

Kepentingan akhlak di dunia ini dapat dilihat dari sudut ianya merupakan jalan untuk mencapai sesuatu kejayaan. Sebagai contoh seseorang yang ingin berjaya dalam perniagaan dia memerlukan banyak sifat-sifat terpuji dalam perjalanannya menuju puncak kejayaan itu. Dia mesti memiliki akhlak rajin, tabah, sabar, cekal hati, jujur, pemurah, pemaaf dan berbagai lagi akhlak lain sebelum layak menggapai kejayaan dalam perniagaannya. Begitulah juga halnya jika ingin berjaya dalam pelajaran dan dalam bidang-bidang yang lain.

ADAB MAKAN MENURUT SUNNAH

SEBELUM MAKAN

  • Bismillah

Makanan yang kita makanan adalah kurniaan Allah semata. Makanan boleh terhalang dari menjadi rezeki kita bukan sahaja disebabkan kita tiada kemampuan membelinya, tetapi juga mungkin disebabkan penyakit ataupun halangan yang lain. Betapa ramai orang kaya yang tidak mampu makan sekalipun mampu membeli. Maka sebagai tanda ingatan kita atas kurniaan Allah, maka sebutlah namaNYA ketika makan. Juga bergantunglah segala harapan dan kekuatan dengan namaNYA apabila makan. Justeru kita bismillah bererti ‘dengan nama Allah daku makan ataupun minum’. Kita mengambil kekuatan dalam hidup ini daripadaNYA.

Rasulullah saw bersabda:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ طَعَامًا فَلْيَقُلْ: بسم الله, فَإِنْ نَسِيَ فِيْ أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللهِ فِيْ أَوَّ لِهِ وَآخِرِهِ

“Apabila salah seorang kalian makan suatu makanan, maka hendaklah dia mengucapkan “Bismillah” (Dengan nama Allah), dan bila dia lupa diawalnya hendaklah dia mengucapkan “Bismillah fii awwalihi wa akhirihi” (Dengan nama Allah di awal dan diakhirnya).”( Sunan At-Tirmidzi)

  • Membasuh Tangan

Sebelum memulakan makan, digalakkan untuk kita bagi membersihkan kedua-dua tangan. Hal ini kerana segala kekotoran yang terdapat di tangan dapat dihilangkan serta dapat mengelakkan daripada sebarang jangkitan penyakit. Seperti sabda Nabi SAW ;

عن سلمان الفارسي رضي الله عنه قال : قال رسول الله ( ص ) : بركة الطعام الوضوء قبله والوضوء بعده

Daripada Salman Al Farisi r.a katanya; Rasulullah SAW bersabda : “Makanan yang berkat ialah berwuduk sebelum dan selepasnya memakannya”. ( Riwayat Tarmizi )

 

SEMASA MAKAN

  • Tangan Kanan

Makan dengan tangan kanan adalah adab makanan yang paling zahir dalam majlis makan muslim. Ia lambang yang nyata dan adab yang tertonjol. Dalam hadis lain baginda menyebut:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِيْنِهِ وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِيْنِهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ

“Apabila salah seorang dari kalian makan, maka hendaklah makan dengan tangan kanan dan apabila dia minum, minumlah dengan tangan kanan. Karena setan apabila dia makan, makan dengan tangan kiri dan apabila minum, minum dengan tangan kiri.”(HR. Muslim)

Hadis ini hendaklah difahami di sudut spiritualnya. Baginda bercakap di sudut spiritual yang hanya dapat difahami oleh orang yang menghayatinya. Sikap anti-syaitan diajar oleh Islam sehingga kita disuruh berbeza dengannya dalam segala cara, termasuk cara makan. Makan ataupun minum dengan tangan kiri adalah amalan syaitan. Islam menyatukan budaya makan dengan menjadikan tangan kanan sebagai adab makan yang jelas kelihatan bagi orang muslim.

Malangnya, masih ada yang makan ataupun minum dengan tangan kiri. Ini termasuk mereka yang menggunakan garfu untuk menyuap lauk ataupun makanan lain ke mulut. Juga mereka yang minum tangan kiri kononnya kerana tangan kanan ada bekas makanan.

  • Duduk ketika makan

Islam mengajar bagaimana cara duduk yang baik ketika makan yang tentunya hal itu telah dipraktikkan oleh Rasulullah SAW. Sifat duduk Rasulullah saw ketika makan telah diceritakan oleh Abdullah bin Busr radhiallahu ‘anhu:

“Nabi memiliki sebuah qas’ah (tempat makan/nampan) dan qas’ah itu disebut Al-Gharra’ dan dibawa oleh empat orang. Di saat mereka berada di waktu pagi, mereka Shalat Dhuha, lalu dibawalah qas’ah tersebut ¬dan padanya ada tsarid (sejenis roti) ¬ mereka mengelilinginya. Tatkala semakin bertambah (jumlah mereka), Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam duduk di atas kedua betis beliau. Seorang A’rabi (badui) bertanya: “Duduk apa ini, wahai Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam” Beliau menjawab: “Sesungguhnya aku dijadikan oleh Allah sebagai hamba yang dermawan dan Allah tidak menjadikan aku seorang yang angkuh dan penentang.”(HR. Abu Dawud dan Ibnu Majah. Sahih)

  • Mengikut Kadar

Setiap perkara dalam Islam diajar agar kita mengambil dengan kadarnya. Demikianlah makan dan minum. Apatahlagi dalam bulan Ramadan yang selepas berbuka kita akan bersolat dan beribadah yang lain. Juga, menjadi adab di hadapan orang ramai dan dalam majlis makan untuk kita tidak menunjukkan sikap gelojoh dan tamak. Makan dan bersederhanalah bagi kadar makanan yang diambil. Sabda Nabi s.a.w :

“Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.”(Riwayat Tirmizi, katanya: hadis ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadis ini hasan).

  • Tidak boleh mencerca makanan

Semua yang kita makan dan minum merupakan rezeki yang datang dari Allah SWT, maka kita tidak boleh menghina ataupun mencerca apa yang telah diberikan Allah SWT. Rasulullah SAW mengajar kepada kita satu adab yang sangat mulia ketika tidak menyukai makanan yang dihidangkan sebagaimana dalam hadits:

Dari Sahabat Abu Hurairah r.a, beliau berkata:

مَا عَابَ النَّبِيُّ صَلى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَعَامًا قَطُّ, إِنِ اشْتَهَاهُ أَكَلَهُ وَإِنْ كَرِهَهُ تَرَكَهُُ

“Rasulullah saw tidak pernah mencerca makanan sama sekali. Bila beliau mengiginkan sesuatu beliau memakannya dan bila tidak suka beliau meninggalkannya.”(HR. Al Bukhari dan Muslim)

  • Makan dari arah yang paling hampir

Makan dari arah pinggir atau tepi dan memakan apa yang ada disekitarnya (yang terdekat) merupakan bimbingan Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam, dan pada bimbingan beliau terkandung barakah serta merupakan penampilan adab yang baik.

Rasulullah saw bersabda:

إِذَا وُضِعَ الطَّعَامُ فَخُذُوْا مِنْ حَافَتِهِ وَذَرُوْا وَسْطَهُ فَإِنَّ الْبَرَكَةَ تَنْزِلُ فِيْ وَسْطِهِ

“Jika makanan diletakkan, maka mulailah dari pinggirnya dan jauhi (memulai) dari tengahnya, karena sesungguhnya barakah itu turun di tengah-tengah makanan.”(Sahih Sunan Ibnu Majah)

  • Tidak bernafas di bejana atau meniup makanan

Dari sahabat Ibnu ‘Abbas r.a:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَي أَنْ يَتَنَفَّسَ فِي اْلإِنَاءِ أَوْ يَنْفُخَ فِيْهِ

“Bahwa Rasulullah saw telah melarang bernafas di dalam bejana atau melarang untuk meniup padaya.” (Sahih Sunan At-Tirmidzi )

SELEPAS MAKAN

  • Berdoa Untuk Pemberi Makanan

Sikap berterima kasih amatlah ditekankan oleh Islam. Nabi s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang tidak tahu berterima kasih kepada manusia, dia tidak tahu berterima kasih kepada Allah” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)

Maka kita juga mesti demikian apabila mendapat jemputan. Kita disunnahkan berdoa untuk pemberi makan dan berterima kasih kepadanya. Dalam hadis;

“Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.” (Riwayat Abu Daud)

Berdoa selepas makan

           Sesungguhnya Allah SWT meredhai hambanya yang makan dan minum, kemudian memuji-Nya. Rasulullah saw bersabda:

إِنَّ اللهَ لَيَرْضَى عَنِ الْعَبْدِ أَنْ يَأْكُلَ اْلأَكْلَةَ فَيَحْمَدَهُ عَلَيْهَا أَوْ يَشْرَبَ الشُّرْبَةَ فَيَحْمَدَهُ عَلَيْهَا

“Sesungguhnya Allah betul-betul ridha terhadap seorang hamba yang memakan makanan, kemudian memuji-Nya dan yang meminum minuman lalu memuji-Nya.” (HR. Muslim)

Antara beberapa contoh doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW sesudah selesai makan dan minum dalam hadis Rasulullah saw bersabda:

مَنْ أَكَلَ طَعَامًا فَقَالَ "الْحَمْدُلِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا وَرَزَقَنِيْهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلِ مِنِّي وَلاَ قُوَّةٍ" غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa memakan makanan dan dia mengatakan “Segala puji bagi Allah yang telah memberiku makan ini, dan memberiku rizki dengan tanpa ada daya dan kekuatan dariku.” Maka akan diampuni dosanya.”(HR. Abu Dawud dan Ibnu Majah)

TERUSKAN SEDEKAH WALAUPUN...



Oleh : Encik Mohammad Faizal bin Baharuddin
Abu Hurayrah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; Ada seorang lelaki berkata, “Malam ini aku benar-benar akan bersedekah.” Lalu dia keluar membawa sedekahnya dan sedekahnya itu diserah ke tangan pelacur. Keesokan harinya, ramai orang berbicara bahawa malam tadi ada pelacur diberi sedekah.

Maka lelaki (yang memberi sedekah) itu berkata, “Ya Allah, bagiMu segala pujian kerana sedekahku jatuh ke tangan pelacur. Nescaya aku akan bersedekah lagi”

Dia pun keluar membawa sedekahnya lalu bersedekah kepada seorang yang kaya. Keesokan harinya orang ramai berbicara bahawa pada malam tadi seorang yang kaya diberi sedekah. Pemberi sedekah itu berkata, “Ya Allah, bagi-Mu segala pujian kerana sedekahku jatuh ke tangan orang kaya. Pasti aku akan bersedekah lagi”.

Lalu dia keluar untuk bersedekah. Kali ini sedekahnya jatuh ke tangan pencuri. Keesokan harinya ramai orang membincangkannya bahawa seorang pencuri telah diberi sedekah. Pemberi sedekah itu berkata,“Ya Allah, segala pujian bagi-Mu, sedekahku telah ditakdirkan jatuh ke tangan penzina, orang kaya dan pencuri.”

Kemudian lelaki itu didatangi malaikat seraya berkata, “Sedekahmu telah diterima oleh Allah. Adapun sedekahmu yang jatuh ke tangan pelacur, semoga dia berhenti dari perbuatan melacur. Yang jatuh ke tangan orang kaya, boleh jadi dia mengambil iktibar dan akan bersedekah pula. Yang jatuh ke tangan pencuri, semoga dia berhenti mencuri.”

Hadis direkod di dalam Sahih Muslim dalam Kitab Zakat. No 1698.

Subhanallah… inilah antara rahmat Allah yang termaktub dari perbuatan baik kita walaupun mungkin regunya tidak seperti yang kita harapkan. Kita merancang dan berniat, Allah juga merancang dan perancangan Allah itulah yang pasti berlaku dengan hikmah yang Dia sendiri lebih mengetahui.

Seseorang itu tidak menanggung dosa akibat perbuatan orang lain dan akan mendapat laba dari kebaikan yang diusahakannya.