TUNTUTAN MENJAGA ADAB

PENDAHULUAN

Makanan adalah nikmat yang besar dari Ilahi. Ia merupakan salah satu nikmat yang sering disebut Allah di dalam Alquran. Makanan juga merupakan keperluan asasi bagi manusia. Oleh itu manusia seharusnya sentiasa bersyukur dengan setiap pemberian daripada Allah. Bagi orang kafir, mereka hidup hanya untuk makan dan mencari kelazatan serta keinginan yang boleh memenuhi kessenangan jasmani dan selera mereka. Sedangkan bagi orang mukmin, mereka makan untuk hidup dan mendapatkan kekuatan untuk mentaati perintah Allah.

Oleh itu, Islam telah meletakkan beberapa garis panduan tentang adab atau akhlak ketika sebelum, semasa dan selepas makan melalui Al quran dan juga hadis Nabi SAW. Jadi seorang insan itu bila dikesani oleh akhlak Islamiyah yang sempurna serta istimewa, maka ia akan mendorong seorang itu bersikap baik serta tidak lagi melakukan penyelewengan terhadap perintah Allah S.W.T..

Dan jika seseorang itu tidak menyeleweng perintah Allah S.W.T. itu, maka sudah tentu apa-apa kerja yang mahu dilakukan lebih-lebih lagi menjalani kehidupan akan merasai ketenteraman, keharmonian dan kebahagiaan. Hal ini termasuk lah dari keindahan dan kesempurnaan agama Islam adalah adanya aturan-aturan dan adab ketika makan dan minum.

DEFINISI AKHLAK/ADAB

Islam telah dilengkapkan dengan tiga elemen yang saling melengkapi antara satu sama lain yang merangkumi aspek akidah, ibadah dan akhlak. Oleh itu, sifat dan keperibadian Rasulullah dalam telah menjadi satu teladan yang besar kepada keseluruhan manusia sejagat. Sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam Al-Quran:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang. (Surah Al-Ahzab, 33:21)

Bersandarkan ayat di atas, jelas menunjukkan sifat keperibadian Rasulullah yang baik sekaligus menjadi contoh yang perlu diikuti oleh seluruh umat Islam di dunia ini.

Akhlak dari segi bahasa : berasal daripada perkataan ‘khulq’ yang bererti perilaku, perangai atau tabiat. Maksud ni terkandung dalam kata-kata Aisyah berkaitan akhlak Rasulullah saw yang bermaksud : “Akhlaknya (Rasulullah) adalah al-Quran.” Akhlak Rasulullah yang dimaksudkan di dalam kata-kata di atas ialah kepercayaan, keyakinan, pegangan, sikap dan tingkah laku Rasulullah saw yang semuanya merupakan pelaksanaan ajaran al-Quran.

Akhlak dari segi istilah : Menurut Imam al-Ghazali, “Akhlak merupakan gambaran tentang keadaan dalam diri manusia yang telah sebati dan daripadanya terbit tingkah laku secara mudah dan senang tanpa memerlukan pertimbangan atau pemikiran. Akhlak sangat penting dan pengaruhnya sangat besar dalam membentuk tingkah laku manusia. Apa saja yang lahir dari manusia atau segala tindak-tanduk manusia adalah sesuai dengan pembawaan dan sifat yang ada dalam jiwanya.”

Secara zahirnya kita merasakan akhlak dan perilaku adalah sama. Namun jika diperhalusi dengan mendalam sebenarnya terdapat perbezaan yang besar antara keduanya. Sulaiman Yasin menjelaskan bahawa akhlak itu sebenarnya adalah merupakan suatu perkara yang maknawi, iaitu merupakan sifat-sifat bagi diri nafsani atau sifat bagi jiwa dan tabiatnya. Adapun perilaku atau perlakuan hanya merupakan cara amal atau perbuatan.

Sesetengah orang berkata, jika tiada agama bagi sesuatu kaum itu maka akhlaklah yang menjadi agama bagi mereka. Ini kerana akhlak adalah bahagian yang sangat penting dalam kehidupan manusia kerana ia menjadi penentu kejayaan atau kegagalan mereka dalam kehidupan di dunia ini. Bagi umat Islam, akhlak bukan sahaja menjadi asbab kejayaan di dunia malah lebih penting lagi adalah kejayaan di akhirat iaitu syurga atau neraka.

Kepentingan akhlak di dunia ini dapat dilihat dari sudut ianya merupakan jalan untuk mencapai sesuatu kejayaan. Sebagai contoh seseorang yang ingin berjaya dalam perniagaan dia memerlukan banyak sifat-sifat terpuji dalam perjalanannya menuju puncak kejayaan itu. Dia mesti memiliki akhlak rajin, tabah, sabar, cekal hati, jujur, pemurah, pemaaf dan berbagai lagi akhlak lain sebelum layak menggapai kejayaan dalam perniagaannya. Begitulah juga halnya jika ingin berjaya dalam pelajaran dan dalam bidang-bidang yang lain.

ADAB MAKAN MENURUT SUNNAH

SEBELUM MAKAN

  • Bismillah

Makanan yang kita makanan adalah kurniaan Allah semata. Makanan boleh terhalang dari menjadi rezeki kita bukan sahaja disebabkan kita tiada kemampuan membelinya, tetapi juga mungkin disebabkan penyakit ataupun halangan yang lain. Betapa ramai orang kaya yang tidak mampu makan sekalipun mampu membeli. Maka sebagai tanda ingatan kita atas kurniaan Allah, maka sebutlah namaNYA ketika makan. Juga bergantunglah segala harapan dan kekuatan dengan namaNYA apabila makan. Justeru kita bismillah bererti ‘dengan nama Allah daku makan ataupun minum’. Kita mengambil kekuatan dalam hidup ini daripadaNYA.

Rasulullah saw bersabda:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ طَعَامًا فَلْيَقُلْ: بسم الله, فَإِنْ نَسِيَ فِيْ أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللهِ فِيْ أَوَّ لِهِ وَآخِرِهِ

“Apabila salah seorang kalian makan suatu makanan, maka hendaklah dia mengucapkan “Bismillah” (Dengan nama Allah), dan bila dia lupa diawalnya hendaklah dia mengucapkan “Bismillah fii awwalihi wa akhirihi” (Dengan nama Allah di awal dan diakhirnya).”( Sunan At-Tirmidzi)

  • Membasuh Tangan

Sebelum memulakan makan, digalakkan untuk kita bagi membersihkan kedua-dua tangan. Hal ini kerana segala kekotoran yang terdapat di tangan dapat dihilangkan serta dapat mengelakkan daripada sebarang jangkitan penyakit. Seperti sabda Nabi SAW ;

عن سلمان الفارسي رضي الله عنه قال : قال رسول الله ( ص ) : بركة الطعام الوضوء قبله والوضوء بعده

Daripada Salman Al Farisi r.a katanya; Rasulullah SAW bersabda : “Makanan yang berkat ialah berwuduk sebelum dan selepasnya memakannya”. ( Riwayat Tarmizi )

 

SEMASA MAKAN

  • Tangan Kanan

Makan dengan tangan kanan adalah adab makanan yang paling zahir dalam majlis makan muslim. Ia lambang yang nyata dan adab yang tertonjol. Dalam hadis lain baginda menyebut:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِيْنِهِ وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِيْنِهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ

“Apabila salah seorang dari kalian makan, maka hendaklah makan dengan tangan kanan dan apabila dia minum, minumlah dengan tangan kanan. Karena setan apabila dia makan, makan dengan tangan kiri dan apabila minum, minum dengan tangan kiri.”(HR. Muslim)

Hadis ini hendaklah difahami di sudut spiritualnya. Baginda bercakap di sudut spiritual yang hanya dapat difahami oleh orang yang menghayatinya. Sikap anti-syaitan diajar oleh Islam sehingga kita disuruh berbeza dengannya dalam segala cara, termasuk cara makan. Makan ataupun minum dengan tangan kiri adalah amalan syaitan. Islam menyatukan budaya makan dengan menjadikan tangan kanan sebagai adab makan yang jelas kelihatan bagi orang muslim.

Malangnya, masih ada yang makan ataupun minum dengan tangan kiri. Ini termasuk mereka yang menggunakan garfu untuk menyuap lauk ataupun makanan lain ke mulut. Juga mereka yang minum tangan kiri kononnya kerana tangan kanan ada bekas makanan.

  • Duduk ketika makan

Islam mengajar bagaimana cara duduk yang baik ketika makan yang tentunya hal itu telah dipraktikkan oleh Rasulullah SAW. Sifat duduk Rasulullah saw ketika makan telah diceritakan oleh Abdullah bin Busr radhiallahu ‘anhu:

“Nabi memiliki sebuah qas’ah (tempat makan/nampan) dan qas’ah itu disebut Al-Gharra’ dan dibawa oleh empat orang. Di saat mereka berada di waktu pagi, mereka Shalat Dhuha, lalu dibawalah qas’ah tersebut ¬dan padanya ada tsarid (sejenis roti) ¬ mereka mengelilinginya. Tatkala semakin bertambah (jumlah mereka), Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam duduk di atas kedua betis beliau. Seorang A’rabi (badui) bertanya: “Duduk apa ini, wahai Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam” Beliau menjawab: “Sesungguhnya aku dijadikan oleh Allah sebagai hamba yang dermawan dan Allah tidak menjadikan aku seorang yang angkuh dan penentang.”(HR. Abu Dawud dan Ibnu Majah. Sahih)

  • Mengikut Kadar

Setiap perkara dalam Islam diajar agar kita mengambil dengan kadarnya. Demikianlah makan dan minum. Apatahlagi dalam bulan Ramadan yang selepas berbuka kita akan bersolat dan beribadah yang lain. Juga, menjadi adab di hadapan orang ramai dan dalam majlis makan untuk kita tidak menunjukkan sikap gelojoh dan tamak. Makan dan bersederhanalah bagi kadar makanan yang diambil. Sabda Nabi s.a.w :

“Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.”(Riwayat Tirmizi, katanya: hadis ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadis ini hasan).

  • Tidak boleh mencerca makanan

Semua yang kita makan dan minum merupakan rezeki yang datang dari Allah SWT, maka kita tidak boleh menghina ataupun mencerca apa yang telah diberikan Allah SWT. Rasulullah SAW mengajar kepada kita satu adab yang sangat mulia ketika tidak menyukai makanan yang dihidangkan sebagaimana dalam hadits:

Dari Sahabat Abu Hurairah r.a, beliau berkata:

مَا عَابَ النَّبِيُّ صَلى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَعَامًا قَطُّ, إِنِ اشْتَهَاهُ أَكَلَهُ وَإِنْ كَرِهَهُ تَرَكَهُُ

“Rasulullah saw tidak pernah mencerca makanan sama sekali. Bila beliau mengiginkan sesuatu beliau memakannya dan bila tidak suka beliau meninggalkannya.”(HR. Al Bukhari dan Muslim)

  • Makan dari arah yang paling hampir

Makan dari arah pinggir atau tepi dan memakan apa yang ada disekitarnya (yang terdekat) merupakan bimbingan Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam, dan pada bimbingan beliau terkandung barakah serta merupakan penampilan adab yang baik.

Rasulullah saw bersabda:

إِذَا وُضِعَ الطَّعَامُ فَخُذُوْا مِنْ حَافَتِهِ وَذَرُوْا وَسْطَهُ فَإِنَّ الْبَرَكَةَ تَنْزِلُ فِيْ وَسْطِهِ

“Jika makanan diletakkan, maka mulailah dari pinggirnya dan jauhi (memulai) dari tengahnya, karena sesungguhnya barakah itu turun di tengah-tengah makanan.”(Sahih Sunan Ibnu Majah)

  • Tidak bernafas di bejana atau meniup makanan

Dari sahabat Ibnu ‘Abbas r.a:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَي أَنْ يَتَنَفَّسَ فِي اْلإِنَاءِ أَوْ يَنْفُخَ فِيْهِ

“Bahwa Rasulullah saw telah melarang bernafas di dalam bejana atau melarang untuk meniup padaya.” (Sahih Sunan At-Tirmidzi )

SELEPAS MAKAN

  • Berdoa Untuk Pemberi Makanan

Sikap berterima kasih amatlah ditekankan oleh Islam. Nabi s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang tidak tahu berterima kasih kepada manusia, dia tidak tahu berterima kasih kepada Allah” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)

Maka kita juga mesti demikian apabila mendapat jemputan. Kita disunnahkan berdoa untuk pemberi makan dan berterima kasih kepadanya. Dalam hadis;

“Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.” (Riwayat Abu Daud)

Berdoa selepas makan

           Sesungguhnya Allah SWT meredhai hambanya yang makan dan minum, kemudian memuji-Nya. Rasulullah saw bersabda:

إِنَّ اللهَ لَيَرْضَى عَنِ الْعَبْدِ أَنْ يَأْكُلَ اْلأَكْلَةَ فَيَحْمَدَهُ عَلَيْهَا أَوْ يَشْرَبَ الشُّرْبَةَ فَيَحْمَدَهُ عَلَيْهَا

“Sesungguhnya Allah betul-betul ridha terhadap seorang hamba yang memakan makanan, kemudian memuji-Nya dan yang meminum minuman lalu memuji-Nya.” (HR. Muslim)

Antara beberapa contoh doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW sesudah selesai makan dan minum dalam hadis Rasulullah saw bersabda:

مَنْ أَكَلَ طَعَامًا فَقَالَ "الْحَمْدُلِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا وَرَزَقَنِيْهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلِ مِنِّي وَلاَ قُوَّةٍ" غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa memakan makanan dan dia mengatakan “Segala puji bagi Allah yang telah memberiku makan ini, dan memberiku rizki dengan tanpa ada daya dan kekuatan dariku.” Maka akan diampuni dosanya.”(HR. Abu Dawud dan Ibnu Majah)