MENJANA KEGEMILANGAN MELALUI TOKOH ISLAM TERDAHULU



Oleh : Ustaz Muhammad Sallehudin bin Md Derus
Sejarah Kegemilangan Ilmu Islam bermula pada zaman para tabi’ tabi’n tidak kira ilmu duniawi atau ukhrawi. Kegemilangan tersebut dapat dibuktikan melalui kesan ilmu mereka yang masih diguna pakai sehingga pada zaman sekarang. Sebagai contoh, Kitab Ibnu Sina yang masih digunakan di Eropah dan dijadikan sebagai salah satu rujukan ilmu perubatan di sana. Kitab Al-Khawarizmi yang telah mencetuskan Konsep AlGebra dan konsep tersebut masih diguna pakai di dalam ilmu kejuruteraan dan ramai lagi ilmuwan Islam yang jasa ilmunya boleh dijadikan sebagai contoh bagi umat Islam pada masa kini.

Apakah rahsia yang menyebabkan para ilmuwan ini boleh menghasilkan sesuatu yang boleh menandingini kehebatan para ilmuwan Eropah?

Buku Nurazmallail Marni yang bertajuk “Pendidikan Saintis Muslim Era Kegemilangan Tamadun Islam boleh dijadikan sebagai rujukan utama. Penulis telah membahagikan proses pembelajaran para ilmuwan Islam kepada tiga bahagian.
Yang pertama, peringkat pengajian asas iaitu pembelajaran yang membentuk kemahiran, kebolehan bertutur dalam pelbagai bahasa dan juga pengukuhan tingkah laku dari sudut fizikal dan spiritual.Sebagi contoh, seseorang perlu mendalami ilmu Al-Quran dan  ilmu Hadith terlebih dahulu dengan mempelajari bahasa pengantar yang paling penting iaitu Bahasa Arab. Kemudian, penguasaan bahasa yang pelbagai juga adalah salah satu asas pembelajaran seperti Bahasa Inggeris dan Bahasa-bahasa Eropah yang lain kerana kebanyakan buku-buku ilmu keduniaan ditulis dalam Bahasa Eropah. Ilmu kemahiran juga dititikberatkan di dalam peringkat ini seperti menunggang kuda, berenang, memanah dan lain-lain lagi.
Yang kedua, peringkat pengajian menengah atau pertengahan. Di peringkat ini, seseorang akan mula memilih pembelajaran yang mereka minati dan cuba untuk mendalami ilmu tersebut dengan membuat pengkhususan dan kajian. Peringkat ini amat penting kerana pada waktu ini, seseorang akan membuat satu perubahan hidup di dalam kariernya pada masa hadapan. Sebagai contoh, Ibnu Sina telah menamatkan pelbagai jenis pengajian terutama dalam ilmu perubatan pada usia 16 tahun.

Yang ketiga adalah peringkat tinggi iaitu peringkat penyatuan segala ilmu yang dipelajari. Seseorang yang berada di dalam peringkat ini kebiasaannya telah membuat pengkhususan mengenai bidang masing-masing dengan menggunakan ilmu-ilmu yang telah mereka pelajari.

Apakah yang saya dapat simpulkan daripada tiga peringkat utama pembelajaran di atas terhadap pelajar atau mahasiswa?

Pertama : Pembelajaran asas amat penting bagi mengukuhkan ketajaman akal dan fikiran seseorang dan juga sebagai persediaan yang mantap sebelum membuat pengkhususan dalam bidang tertentu.

Kedua: Kesihatan rohani dan fizikal perlu dijaga oleh seseorang demi memastikan kelancaran pemikiran akal masing-masing.

Ketiga : Ilmu dunia mesti dipelajari selari dengan ilmu ukhrawi berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah agar pembelajaran tidak terpesong dan tidak digunakan ke jalan yang salah.

Keempat : Pemikiran yang kreatif dapat dihasilkan melalui penumpuan yang lebih terhadap sesuatu perkara.

Kelima : Pendedahan kepada seseorang terhadap pelbagai ilmu pengetahuan perlu dititikberatkan agar mereka tidak ketinggalan dan tidak membunuh unsur-unsur kreatif yang berada di dalam jiwa masing-masing. Mereka ini perlu diberi peluang untuk menunjukkan kreativiti yang mereka ada agar tidak lapuk ditelan zaman.