TAHAJUD YANG TIDAK MENDAPAT CINTA ALLAH SWT

Oleh : Ustazah Nurul Fatihah binti Abdul Rahman

Seorang ahli ibadah yang bernama Abu bin Hasyim, seorang yang sentiasa solat sunat tahajud. Hampir bertahun-tahun dia tidak pernah tinggal melakukan solat tahajud.

Pada suatu malam saat dia hendak mengambil wuduk untuk solat tahajud, Abu bin Hasyim terkejut oleh kehadiran makhluk yang duduk di tepi periginya. Abu bin Hayim bertanya, “wahai hamba Allah, siapakah engkau?” Sambil tersenyum, makhluk itu berkata, “aku malaikat utusan Allah,” Abu Bin Hasyim hairan sekaligus bangga kerana kedatangan malaikat mulia itu. Abu bin Hasyim lalu bertanya, “apa yang kamu lakukan di sini?” Malaikat itu menjawab, “Aku disuruh mencari hamba pencinta Allah.”

Abu bin Hasyim melihat malaikat itu memegang kitab yang tebal, lalu bertanya lagi, “wahai malaikat, buku apakah yang kau bawa itu?” Malaikat itu menjawab, “ini adalah kumpulan nama hamba-hamba pencinta Allah swt.”
Mendengar jawapan malaikat itu, Abu bin Hasyim berharap dalam hati namanya pasti ada tertulis.

Maka ditanyalah malaikat itu lagi, “Wahai malaikat, adakah namaku tertulis disitu?” Abu bin Hasyim yakin bahawa namanya pasti tertulis di dalam buku itu, mengingati amalan ibadahnya yang tidak pernah lelah dan putusnya. Dia selalu mengerjakan solat tahajud setiap malam, berdoa dan bermunajat kepada Allah swt di sepertiga malam. “Baiklah, aku periksa,” kata malaikat itu sambil membuka kitab besarnya. Dan ternyata malaikat itu tidak menemukan nama Abu bin Hasyim di dalamnya.

Dengan tidak percaya, Abu bin Hasyim meminta malaikat itu memeriksanya sekali lagi. “Sesengguhnya namamu tidak ada didalam buku ini,” kata malaikat itu.

Abu bin Hasyim menjadi gementar dan jatuh tersungkur di depan malaikat itu. Dia menangis teresak-esak. “Rugi sekali diriku yang selalu tegak berdiri di setiap malam dalam tahajud dan bermunajat tetapi namaku tidak termasuk dalam golongan para hamba pecinta Allah swt,” ratapnya.

Malaikat itu berkata, “wahai Abu bin Hasyim ! Bukan aku tidak tahu yang engkau bangun tahajud setiap malam ketika yang lain sedang tidur, mengambil air wuduk pada saat orang lain terlelap dalam buaian malam.

Sesungguhnya tanganku dilarang oleh Allah swt daripada menulis namamu. “Apakah yang menjadi penyebabnya,” tanya Abu bin Hasyim. “Engkau memang rajin bermunajat kepada Allah swt, tetapi engkau tunjukkan ibadah mu itu dengan rasa bangga dan asyik beribadah hanya memikirkan untuk diri kamu sendiri.

 

Sedangkan di kanan dan kirimu ada orang yang sakit atau lapar, tidak engkau hiraukan, ziarah dan memberi makan. Bagaimana mungkin engkau dapat menjadi hamba pecinta Allah swt jikalau engkau sendiri tidak pernah mencintai hamba-hamba yang diciptakan Allah swt?” kata malaikat itu.

Abu bin Hasyim rasa seperti disambar petir. Dia menyedari bahawa hubungan ibadah manusia itu tidaklah hanya kepada Allah swt semata-mata (hablummina Allah), tetapi juga sesama manusia atau makhluk Allah swt (hablum minannas) dan sekalian alam.

Nabi Musa: Wahai Allah, aku sudah melaksanakan ibadah. Lalu manakah ibadahku yang membuat Engkau reda?

Allah: Solatt mu itu untuk dirimu sendiri, kerana dengan mengerjakan solat, engkau terpelihara daripada perbuatan keji dan munkar. Zikirmu itu hanya untukmu sendiri, membuat hatimu menjadi tenang. Puasamu itu untuk dirimu sendiri, melatih dirimu untuk memerangi hawa nafsumu sendiri.

Nabi Musa: Lalu apa yang membuat Mu reda Ya Allah?

Allah: Sedekah, infaq, mengeluarkan zakat serta perbuatan baikmu.
Itulah yang membuatkan Aku senang, kerana tatkala engkau membahagiakan orang yang sedang susah, Aku hadir disampingnya.
Dan Aku akan mengganti mu dengan ganjaran 700 kali (Al-Baqarah 261-262)

Oleh itu,  apabila seseorang hanya sibuk dengan ibadah kerohanian semata-mata dan merasa bangga dengannya maka itu tandanya kamu hanya mencintai dirimu sendiri, bukan Allah swt.

Tetapi apabila engkau berbuat baik dan berkorban untuk orang lain maka itu tandanya engkau mencintai Allah swt dan tentu Allah swt senang kerananya. Lakukanlah apa yang  Allah swt reda kepadamu maka Allah swt akan limpahkan rahmat-Nya dengan membuat hidupmu lapang dan bahagia.

Sumber: Kitab Mukasyafatul Qulub, karya Imam Al Ghazali

 

http://darulmujtaba.com/2017/03/18/berakhlak-dengan-allah-disetiap-martabat-wujud/

   

PERINGATAN BUAT MANUSIA

Oleh : Encik Mohammad Faizal bin Baharuddin

Manusia diciptakan untuk beribadah kepada Allah SWT. Kewarasan akal sewajarnya memandu manusia menguruskan kehidupan bersama kurniaan lain yang diberikan.Nikmat yang sewajarnya disyukuri ialah diberi keistimewaan oleh Allah SWT menjalani kehidupan di dunia, malah disediakan segala kelengkapan sama ada di langit mahupun di bumi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal yang belayar di laut dengan membawa benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari pelbagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, dan keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran." (Surah al-Baqarah, ayat 164)

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau'izati di IKIMfm menjelaskan, Rasulullah SAW memberi ingatan kepada manusia sejak mereka berada dalam kandungan ibu sudah ditulis oleh Allah SWT mengenai rezeki, ajal, jodoh, perjalanan hidup di dunia serta qada dan qadar mereka. Sudah tentunya ada yang mempersoalkan tujuan diciptakan oleh Allah SWT di dunia ini dan nikmat Islam menjadi jawapan kepada setiap persoalan yang timbul. Manusia turut dikurniakan akal dan pancaindera yang menjadi sumber kebijaksanaan untuk menguruskan kehidupan.

Malah, setiap manusia dilahirkan beriman kepada Allah SWT sehinggalah mereka dicorakkan oleh ibu bapa masing-masing sama ada menjadi penganut agama Yahudi, Kristian dan sebagainya.

Waras mengurus diri

Asal penciptaan manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Akal dikurniakan untuk kewarasan menguruskan kehidupan dan begitulah larangan meminum arak atau mengambil sesuatu yang memabukkan. Akal juga menjadi sumber untuk beroleh nikmat hidayah dan agama yang akan mendorong mereka mentaati Allah SWT. Kewarasan akal menjadi sumber kecerdikan manusia mencari nikmat iman dan Islam yang menemukan mereka dengan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Adalah menjadi kerugian besar kepada umat manusia apabila gagal menjadi hamba Allah SWT. Apabila perintah Allah SWT diabaikan, bererti manusia melanggar syariat agama dan peraturan telah disusun, menyebabkan pelbagai ujian dan tekanan diturunkan kepada mereka. Sewajarnya manusia yang hidup di dunia perlu bermatlamat untuk menghuni syurga pada hari akhirat kelak, oleh itu, elakkan diri daripada mensia-siakan masa yang diberikan. Kehidupan manusia bukan sahaja di dunia, tetapi juga di alam barzakh.

Kehidupan manusia diteruskan di Padang Mahsyar dan keadaan di sana nanti ditentukan oleh cara hidup dan amalan ketika hidup di dunia. Seterusnya, manusia akan menempuh kehidupan di akhirat yang kekal, sama ada menjadi penghuni syurga atau neraka.

Jangan kufur nikmat

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang yang beriman." (Surah ar-Rum, ayat 47)

Manusia harus memilih untuk menjadi orang Mukmin, bukan mereka yang mengkufuri nikmat kurniaan Allah SWT kerana hanya agama Islam diredai sebagai cara hidup di dunia dan diterima di sisi Allah SWT. Apabila beriman kepada Allah SWT, manusia perlu mengetahui ganjaran yang akan diperoleh kelak. Jangan terperangkap dengan tipu daya dunia yang berakhir dengan balasan seksaan di neraka. Jangan lupa peringatan Allah SWT supaya menjalani kehidupan dalam qanaah, berpada-pada kerana manusia yang mengejar harta hanya akan memusnahkan diri sendiri. Ambil iktibar bencana yang menimpa Qarun.

Sentiasa minta ampun

Qarun memerlukan lebih 400 ekor kuda untuk membawa anak kunci kepada gedung harta kekayaan yang dimilikinya. Bagaimanapun, Qarun ditenggelamkan Allah SWT ke dalam muka bumi sedalam 70 hasta setiap kali terbitnya matahari kerana keangkuhan dan sikap tamaknya.

Gunakan kekayaan untuk mendapat keberkatan hidup. Adalah sesuatu yang merugikan apabila beroleh kekayaan melimpah ruah tetapi jauh daripada keberkatan Allah SWT. Keberkatan membolehkan yang sedikit dirasakan banyak, yang sempit dirasakan luas.Dalam hidup ini, manusia harus mengejar keampunan daripada dosa dilakukan setiap masa.

Carilah ilmu sebanyak mungkin daripada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW kerana semakin banyak ilmu yang diperoleh, semakin dekat kedudukan seseorang di sisi Allah SWT. Tanamkan keikhlasan beragama dan jangan mensyirikkan Allah SWT walaupun sesukar mana. Berusahalah mendapatkan reda Allah SWT untuk melengkapkan dan melayakkan diri beroleh ganjaran syurga.

Sumber : Penulis adalah Pengurus Hubungan Strategik IKIMfm

5 Wasiat Dari Allah S.W.T Kepada Rasulullah S.A.W

Oleh : En Badaruddin bin Hamzah

Dari Nabi S.A.W., "Pada waktu malam saya diisrakkan sampai ke langit, Allah S.W.T telah memberikan lima wasiat, antaranya :·

  1. Janganlah engkau gantungkan hatimu kepada dunia kerana sesungguhnya Aku tidak menjadikan dunia ini untuk engkau.
  2. Jadikan cintamu kepada-Ku sebab tempat kembalimu adalah kepada-Ku.
  • Bersungguh-sungguhlah engkau mencari syurga.
  1. Putuskan harapan dari makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikitpun tidak ada kuasa

di tangan mereka.

  1. Rajinlah mengerjakan sembahyang tahajjud kerana sesungguhnya pertolongan itu berserta qiamullail.

Ibrahim bin Adham berkata, “Telah datang kepadaku beberapa orang tetamu, dan saya tahu mereka itu adalah wakil guru tariqat. Saya berkata kepada mereka, berikanlah nasihat yang berguna kepada saya, yang akan membuat saya takut kepada Allah S.W.T. lalu mereka berkata, "Kami wasiatkan kepada kamu 7 perkara, iaitu :·

  1. Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.
  2. Orang yang banyak makan janganlah kamu harapkan sangat kata-kata himat darinya.
  • Orang yang banyak bergaul dengan manusia janganlah kamu harapkan sangat kemanisan ibadahnya.
  1. Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat khusnul khatimahnya.
  2. Orang yang bodoh janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.
  3. Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.
  • Orang yang mencari keredhaan manusia janganlah harapkan sangat akan keredhaan Allah daripadanya."

Rujukan: 1001 kisah teladan islam

Cerita "Si Anak Kerang"

Oleh : Ustaz Ku Mohamad Aminuddin Baki bin Ku Yakub

Seekor anak kerang di dasar laut mengadu dan mengaduh pada ibunya kerana sebutir pasir tajam memasuki tubuhnya yang merah dan masih lembut ketika itu. Anakku, kata sang Ibu sambil bercucuran air mata, Tuhan tidak memberikan kita bangsa kerang sebuah tangan pun sehingga Ibu tak mampu menolongmu. Sakit sekali, aku tahu. Tetapi terimalah itu sebagai takdir alam. Kuatkan hatimu. Jangan terlalu lincah lagi. Kerahkan semangatmu melawan rasa pedih dan sakit yang menggigit. Balutlah pasir itu dengan getah perutmu. Hanya itu yang mampu kau buat, kata Ibunya dengan sendu namun lembut.

Maka si anak kerang pun mengikuti nasihat ibundanya.Ada hasilnya, tetapi rasa sakit bukan alang kepalang. Kadang di tengah kesakitannya, ia meragukan nasihat ibunya. Dengan air mata ia bertahan bertahun-tahun. Tetapi tanpa disedarinya sebutir mutiara mulai terbentuk dalam dagingnya. Makin lama makin halus. Rasa sakit pun makin berkurang. Makin lama mutiaranya makin besar. Rasa sakit menjadi terasa wajar. Akhirnya sesudah sekian tahun, sebutir mutiara besar, utuh mengilap, dan berharga mahal terbentuk dengan sempurna. Dirinya kini, sebagai hasil derita bertahun-tahun, lebih berharga daripada seribu ekor kerang lain yang cuma disantap orang sebagai kerang rebus di pinggir jalan. 

Tauladan:  Sahabat, Kekecewaan dan penderitaan akan selalu ada dalam hidup kita. Seakan-akan Tuhan selalu mengambil kebahagiaan yang ada pada kita. Tetapi tidak seperti itu. Kita hanya harus bersabar terhadap segala sesuatu yang menimpa kita dan menanti ketetapan Tuhan. Semuanya akan berakhir dengan indah. Kerana segala sesuatu yang baik akan selalu mengarah pada kebaikan. Kekecewaan dan penderitaan telah membuat seekor kerang biasa menjadi kerang luar biasa. Kekecewaan dan penderitaan juga mampu mengubah orang biasa menjadi orang luar biasa. Salam Motivasi...!

Sumber: http://ceceem.blogspot.com/

“PENANGAN AL-KHANNAS”

Oleh : Ustazah Siti Nazira binti Hazudin

Ada sesetengah daripada kita yang menghadapi masalah was-was yang ketara khususnya ketika ingin menunaikan ibadah, seperti mengangkat takbir berulang kali ketika mahu menunaikan solat.

Apa itu was-was dalam ibadah?

Was-was dalam ibadah adalah penyakit berbahaya yang dibisik oleh syaitan bertujuan menggoyahkan keimananan dan keyakinan umat Islam. Nampak remeh, namun boleh membawa kepada kesan negatif yang berpanjangan. Was-was ini bahaya kerana dimasukkan oleh syaitan ke dalam diri melalui bisikan, tidak dapat dilihat. Secara tidak sedar membuatkan manusia jatuh dan rebah. Was-was tidak hanya datang daripada jin semata-mata, tapi turut datang melalui manusia. Ada yang datang secara halus, itulah penangan al-khannas iaitu si pengintai peluang dalam kalangan jin. Manakala yang datang secara kasar, itulah perbuatan manusia.

Bila syaitan selalu berbisik?

Menurut Tuan Azrul Azlan menerusi Majalah Solusi, antara waktu bisikan ini terjadi adalah:-

  • ¨ Ketika berwuduk (ambil lama sangat kerana merasa belum cukup sempurna)
  • ¨ Ketika mendirikan solat (takbir berulang kali misalnya)
  • ¨ Ketika bangun menunaikan solat malam (perlu cukupkan tidur dan banyak menuntut ilmu supaya tidak mudah dipengaruhi)
  • ¨ Ketika membaca al-Quran (bisikan kadangkala datang supaya baca laju dan tidak tartil mahupun tadabbur)

Ketika bertawakal (bisikan iblis mengajak manusia hanya bertawakal dan tidak berusaha). Moga kita menjadi golongan yang berusaha bersungguh-sungguh kemudian berserah kepada Allah.

  • Menjaga perhubungan dengan Allah. Perbanyakkan dan perbaiki amalan untuk meningkatkan keimanan.
  • Lawan! Jangan ikut kata nafsu. Yakin dengan ilmu yang kita ada!
  • Memohon perlindungan Allah. Dalam apa jua perkara, mohonlah perlindungan Allah melalui doa-doa dan zikir-zikir yang diajarkan Rasulullah SAW. Membaca ayat Kursi selepas solat dan sebelum tidur misalnya.
  • Mengukuhkan ketahanan mental dan tidak putus asa. Cekalkan hati. Jangan telalu ikut kata hati yang tidak yakin itu. Gagal sekali, tidak bermakna gagal selamanya, perlu sentiasa mencuba.
  • Mendapatkan teman pendamping. Cari teman yang boleh membantu mengingatkan kita untuk melawan tuntutan jiwa dan nafsu.
  • Berdoa dan terus berusaha. Amalkan doa yang diajarkan Rasulullah SAW, yang bermaksud: “Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu dan bersyukur kepada-Mu, serta dapat beribadah dengan baik kepada-Mu.”
  • Bersabar dan terus mencuba!
  • Sentiasa belajar dan mencari jalan keluar bagi kejahilan yang menyebabkan kita mudah terperdaya dan dipengaruhi oleh bisikan was-was.

“Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Maksud surah Fussilat ayat 36)

Insya-Allah, dengan azam yang kuat serta cuba untuk berubah, moga gangguan ini dapat diatasi. Moga dipermudahkan buat semuanya, insya-Allah.

Sumber: https://arnamee.blogspot.my/