Arak Haram Diharamkan

Oleh: Mohamad Hasnur Abdul Hamid, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam

kilang arak

Saya fikir topik arak sangat sensitif dikala ramai mangsa telah terbunuh. Ia bukan perkara baru. Malah hari ini ianya telah menjadi permainan politik untuk memperoleh merit.

Ramai menjadikan modal untuk menghapuskan arak adalah dengan mendatangkan statistik kes kemalangan & jenayah yang berlaku kerananya.

Sudah tentulah cabaran untuk mengharamkan terus penjualan arak adalah berhadapan dengan permintaan peminumnya serta industri yang lahir untuk tujuan produksi.

Namun masih terdapat salah faham dan mungkin ramai yang tak mengetahui hidden matter yang berlaku disebalik pasaran ini.

Baru-baru ini, kes yang melibatkan kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk yang merempuh gerombolan kanak-kanak penunggang basikal menjadi kemuncak kepada sentimen perpaduan. Lebih malang lagi, isu ini mengheret kepada isu perkauman bila ianya melibatkan dua bangsa berbeda. Kes seumpama ini menjadi semakin parah bilamana wujud pula kes baharu melibatkan aksi samseng pemandu jalan raya dalam isu berasingan.

Daripada dapatan ini, tentu sekali dokongan dan desakan marhaen untuk menghapuskan terus arak dari lanskap sosial. Rentetan itu, terjelmalah referendum, memorandum dan suara-suara memaksa kerajaan melakukan sesuatu.

Disebalik kehangatan itu, tidak dilupakan kumpulan-kumpulan liberalis yang menjulang kebebasan individu dalam ruang dimensi berasingan. Mempertahankan kepercayaan neutral. Berpandukan kepada hak asasi dan kebebasan suara, mereka membantah pengharamannya.

Menurut kaedah fiqh Islam, sesuatu yang memabukkan adalah najis. Ini menurut Mazhab al-Syafie, arak dan minuman yang memabukkan adalah najis. Bersandarkan firman Allah SWT (yang bermaksud):

“Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji).”


(Surah al-Maidah: 90)

Manakala menurut ekonomi, sesuatu barangan akan hanya wujud bila terdapatnya permintaan. Dalam sesebuah negara normal, makanan akan masuk dalam pasaran bilamana rakyat lapar. Begitulah sebaliknya jika rakyat haus, minuman pula akan masuk dalam pasaran. Bayangkan dalam suasana pandemik, kerajaan terpaksa mententeramkan rakyat bahawa bekalan makanan mencukupi. Masakan tidak, krisis makanan akan menyebabkan semua orang menjadi huru-hara. Jutawan pun sudah pasti mengemis jika kebuluran menjelang. Jika makanan dan minuman diharamkan, rakyat pasti akan mencari alternatif mendapatkannya dari pasaran gelap. Apa khabar dengan perisian windows di komputer dan aplikasi berbayar yang anda gunakan?

Ironinya, sepertimana rokok, arak yang diharamkan akan melahirkan pasaran gelap yang lebih pesat seiring permintaannya.

Dapatan dari data 2014 menunjukkan 11.6% rakyat Malaysia bersamaan 3 juta orang meminum arak. Malah 23% dari angka ini adalah kumpulan berisiko tinggi. Bayangkan jika kerajaan tidak mengenakan cukai ataupun menutup kilang arak, betapa banyak keuntungan yang diperoleh dari penjualan arak oleh pasaran gelap.

Bayangkan pula bilamana tiadanya kawalan kerajaan dengan mengenakan Akta Makanan 1983, pengharaman arak akan mengeruhkan lagi keadaan yang menyebabkan kematian kerana keracunan arak dan tidak kurang mereka yang mabuk tanpa mengetahui kandungan barang terlarang dan berbahaya didalamnya.

Kerajaan pula dinafikan hak kutipan cukai untuk menampung masalah kesihatan disebabkan arak. Dalam masa yang sama, kerajaan juga harus mengeluarkan belanja untuk merawat golongan yang sakit akibat keracunan arak.

Tanpa mengetepikan pandangan Islam berkait pengharaman arak, satu konotasi sepadan dan kajian mendalam perlu diambilkira sebelum suatu penguatkuasaan dijalankan apatah lagi Malaysia merupakan negara masyarakat majmuk dan pelbagai ragam rakyatnya.

Semoga dengan komitmen untuk memperkasa undang-undang dapat menjadi solusi segala masalah yang melibatkan arak.