ANTARA AMANAH DAN FATONAH

ANTARA AMANAH DAN FATONAH

 

Rashidi bin Abbas

Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan

Universiti Malaysia Pahang

Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

 

Pendahuluan

Perbincangan sifat mahmudah merupakan asas penting dalam hal ehwal kepimpinan terdahulu dan semasa terutamanya kepimpinan negara Malaysia secara khususnya. Sifat ini adalah sebahagian dari sifat wajib bagi seorang Rasul yang telah menjadi ikon dan teladan sepanjang zaman. Malah sifat ini wajib diikuti oleh setiap umat Islam tanpa mengira pangkat dan kedudukan terutamanya apabila dilantik menjadi pemimpin. Sifat ini sebenarnya tidak terhad kepada satu bangsa dan golongan sahaja bahkan sifat ini lebih bersifat komprehensif dan terbuka serta perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

Firman Allah SWT: “Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah SWT ketika susah dan senang.” (Al-Ahzab: 21)

Perbincangan sifat amanah dan fatonah (bijakasana) dalam konteks kepimpinan sekarang ini begitu signifikan diulas agar ianya menjadi kefahaman yang mendasar dalam memilih seorang pemimpin. Fatonah (bijaksana) dalam konteks kefahaman sekarang boleh diterjemahkan melalui pendidikan formal yang ditempuhi sehingga bergelar sarjana muda dan berjaya mendapat sekeping ijazah yang mengiringinya. Inilah yang menjadi asas dan mercu tanda fatonah pemimpin untuk dilantik menjadi ketua. Persoalan akan timbul rentetan dari pelantikan ini, apakah sudah memadai kriteria ini untuk membawa amanah yang besar kepada agama, negara dan masyarakat? Sebab itulah jika diteliti sifat wajib bagi Rasul, sifat amanah terlebih dahulu disebut kemudian baru diiringi oleh sifat fatonah. Sifat fatonah dapat diterjemah hasilnya melalui sijil yang diperolehi tetapi bagaimana pula dengan sifat amanah? Adakah ijazah yang dikeluarkan khusus kepada sesiapa yang bersifat amanah? Sudah tentu tiada sijil khusus merujuk kepada sifat amanah. Oleh itu, sifat amanah ini perlu dibangunkan terlebih dahulu sebelum pendidikan rasmi dilalui sehingga menjadi fatonah. Dikongsi bagaimana kisah Saidina Umar r.a ingin menguji sifat amanah seorang (hamba sahaya) pengembala kambing agar dijual seekor kambing kepada Saidina Umar. Apa jawapan pengembala kambing kepada Saidina Umar, kambing ini bukan milik ku tetapi milik majikanku, aku hanya mengambil upah sahaja. Kemudian diteruskan lagi oleh Saidina Umar, katakan kepada majikan kamu kambing ini dimakan oleh serigala. Jawapan pengembala tadi kepada Saidina Umar, sekiranya tuan menyuruh saya berbohong, lantas di mana Allah SWT? Bukankah Allah SWT Maha melihat? Apakah tuan tidak yakin akan siksa Allah SWT bagi pendusta?

Inilah kisah teladan yang menjadi titik tolak kenapa sifat amanah berada di hadapan dibanding sifat fatonah. Kebobrokan yang berlaku sekarang ini bukan disebabkan kebodohan pemimpin dalam membaut keputusan tetapi dek kerana sifat amanah yang semestinya menjadi tunjang seorang pemimpin telah jauh menghilang dari empunya diri. Fatonah mampu dibina melalui kursus yang dilalui sehingga dapat dikeluarkan sijil tersebut. Amanah tidak mampu dibentuk melalui kelas-kelas yang dianjurkan sebaliknya mesti melalui proses-proses tertentu dari persekitaran terdekat.