MENGGAPAI YANG ABADI MENURUT IMAM AL-GHAZALI
Kita sering bertanya diri kita, apa yang ingin kita capai dalam hidup ini? Sekalipun telah banyak kejayaan yang telah kita kecapi, masih timbul persoalan; apakah kejayaan paling tinggi dan paling kemuncak yang perlu kita capai? Dan apakah kita telah mencapainya atau belum? Maka dalam tulisan ini, saya ingin membawa saudara/saudari sekelian untuk membaca dan merenung apa yang ditulis oleh Imam al-Ghazali dalam salah satu kitabnya iaitu al-Iqtisad fi al-I’tiqad. Tulis beliau;
“Perkara terpenting bagi sekelian makhluk ialah untuk mencapai kebahagiaan abadi (di akhirat) dan untuk menyelamatkan diri dari kebinasaan yang berkekalan di sana. Untuk tujuan itulah para Nabi AS datang (membawa perkhabaran) yang memberitahu (manusia bawa mereka sekeliannya adalah makhluk ciptaan Allah) dan bagi Allah ada hak-hak dan tanggungjawab yang mesti mereka tunaikan semasa hayat mereka di dunia ini (barulah mereka akan mencapai kebahagian abadi di akhirat dan selamat dari kebinasaan di sana). Hak dan tanggungjawab itu merangkumi perbuatan dan tindak-tanduk mereka, percakapan dan tutur kata mereka serta aqidah atau pegangan hati mereka. Dalam erti lain hak dan tanggungjawab manusia kepada Allah ada yang berkait dengan hati sanubari (dhomir), ada yang berkait dengan lisan (lidah) dan ada yang berkait dengan anggota tubuh. Maka sesiapa yang lidahnya tidak bertutur dengan yang perkataan yang benar, dalam hati sanubarinya tidak tersimpan aqidah yang benar dan anggota tubuhnya tidak dihias dengan amal soleh, dia sedang menuju ke neraka dan kesudahannya ialah binasa” (cetakan Darul Minhaj, tahun 2012, muka surat 71).
Imam Ghazali dalam wasiat tersebut, memberi panduan kepada kita bagaimana untuk hidup di atas muka dunia dengan kehidupan yang boleh membahagiakan kita di kemudian hari nanti.
Beliau mengajar kita tentang tujuan hidup, apa yang sebenarnya mesti kita capai dan perlu kita bersungguh-sungguh mengejarnya semasa hayat kita di dunia ini, iaitu kebahagiaan abadi di akhirat. Kebahagiaan abadi di akhirat tidak lain adalah syurga Allah, iaitu kita mendapat tempat dalam syurga Allah, sekaligus kita bebas dari dihumban ke dalam neraka. Apa yang disebut oleh imam al-Ghazali dalam tulisan di atas sebenar merupakan mutiara hikmah yang ditimba dari al-Quran, antaranya firman Allah SWT yang bermaksud :
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pada hari kiamat akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya” (Surah Ali Imran, ayat 185).
Perhatikan saudara/saudari sekelian, Allah sendiri menyebutkan; “sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya”. Itulah kejayaaan sebenar bagi kehidupan kita, kejayaan yang tidak ada lagi kegagalan.