SEHATI ANJUR KONVENSYEN MAHASISWA PERTAMA DI NEGERI PAHANG

MUADZAM SHAH, 13 April – Buat julung kalinya Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Tenaga Nasional berganding bahu menjalankan Konvensyen Mahasiswa IPT Pahang atau singkatannya KOMIS’19. Melalui sebuah sekretariat yang dinamakan sebagai SEHATI, sebuah jawatankuasa ditubuh bagi menganggotai jawatankuasa pelaksana konvensyen yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari Pusat Islam & Pembangunan Insan, UMP, Pusat Islam UNITEN dan wakil dari WIDAD University College, University College of Yayasan Pahang.

Dalam program tersebut, seramai 200 orang peserta dari seluruh IPT di negeri Pahang telah hadir sebagai perwakilan, pemerhati dan agen Majlis Perwakilan Mahasiswa di institut pendidikan tinggi masing-masing iaitu Universiti Malaysia Pahang, Universiti Tenaga Nasional, WIDAD University College, University College of Yayasan Pahang, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Kolej Komuniti Paya Besar, Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, DRB-Hicom University, Politeknik Sultan Ahmad Shah, Universiti Teknologi MARA dan banyak lagi.

Program dimulai dengan Majlis Perasmian Pembukaan oleh Dato’ Prof. Ir. Dr. Kamal Nasharuddin yang merupakan Naib Canselor UNITEN dan disusuli dengan lawatan khas ke tapak pameran produk penyelidikan yang disediakan pihak penganjur.

Dengan bertemakan kemanusiaan dan keusahawanan, jawatankuasa program telah menjemput Encik Razali Awang yang merupakan Perunding Media Syria Care bagi mengendalikan slot kemanusiaan manakala Dato’ Sri Md Sharif, Pengarah Urusan Asturi Metal Builders yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah UMP mengisi slot bertemakan Minda Keusahawanan.

Selesai setiap sesi, para perwakilan dibahagikan mengikut kumpulan masing-masing dan mengadakan sesi ‘brainstorming’ serta pembentangan bagi setiap tema mengikut IPT masing-masing.

Di akhir sesi, para perwakilan telah mencapai persepakatan dengan mencerna resolusi penting untuk diimplementasikan di kampus masing-masing.