VIRAL VS MORAL ISU MENARIK DALAM ANDA TANYA USTAZ JAWAB

PEKAN, 24 Februari 2017 - Program Anda Tanya Ustaz Jawab kali ini menampilkan suatu tajuk yang menjadi  isu dan  perbualan hangat netizen di media sosial dan juga media arus perdana.

Secara khususnya tajuk ”Viral Vs Moral” ini dipilih bagi memberi pencerahan yang sebenar kepada masyarakat tentang isu menggemparkan sesuatu perkara tanpa ilmu.



Program yang dianjurkan secara bersama oleh Pusat Islam & Pembangunan Insan dan Perpustakaan UMP ini telah menggandingkan 2 orang ahli panel yang cukup disegani masyarakat tanah air iaitu Prof. Dr. Supyan Hussin, seorang Pakar Sains Sosial, UKM yang turut menggalas jawatan Timbalan Pengarah di Pusat Pengajaran & Teknologi Pembelajaran di universiti yang sama serta Ustaz Mohd Lokman Ahmad yang merupakan finalis Pencetus Ummah terbitan Astro. Program ini telah disertai hampir 200 orang peserta yang terdiri daripada warga UMP, Agensi Kerajaan Daerah Pekan & Kuantan dan komuniti masyarakat sekitar Kuala Pahang.



Menurut Prof. Supyan, fenomena viral atau tular ini adalah satu tafsiran yang berbeza kerana viral merujuk kepadaperkembangan negatif terhadap sesuatu perkara sama ada dari aspek perubatan yang merujuk kepada kondisi kesihatan yang tidak baik namun ia digunakan dalam mensensasikan sesuatu isu mahupun maklumat lebih-lebih lagi di media sosial.
Para peserta pula tidak kering gusi mendengar penyampaian PU Lokman kerana mendatangkan analogi yang menghiburkan bahkan bertepatan dengan mesej dan objektif program yang mahu disampaikan.



Secara keseluruhannya rata-rata peserta program berpuas hati dengan pengisian program dan berharap pihak penganjur mengadakan lagi diskusi ilmu seumpama ini. Program berakhir dengan penyampai cenderahati kepada penceramah oleh En. Dzull Zabarrod, Timbalan Ketua Pustakawan, UMP.