JOM LEPAK @MASJID KAMPUNG MARHUM DISAMBUT MERIAH



Pekan, 10-11 MAC 2017
- Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Universiti Malaysia Pahang (UMP)terus melebarkan sayap ukhwah dalam menjayakan Program Jom Lepak @ Masjid, dengan kerjasama Masjid Kg. Marhum Pekan pada 10 hingga 11 Mac 2017 yang lalu.

Program ini adalah kesinambungan dari program sama yang telah dijalankan dengan jayanya di Masjid Taqwa, Masjid Tanjung Selangor, Masjid Paya Bungor dan Masjid Lama Permatang Badak Kuantan pada tahun lepas.

Menurut Pengarah Program Jom Lepak @ Masjid, Ustaz Shahrul Nizam Md Ahir,lokasi kali ini adalah salah satu siri jelajah komuniti dan revolusi dalam penjenamaan UMP bagi program khidmat komuniti. Melalui program ini diterapkan elemen dakwah,ibadah dan khidmat sosial kepada masyarakat setempat sekaligus membuktikan mahasiswa universiti dan komuniti berpisah tiada.

Objektif utama program adalah untuk menyeru masyarakat setempat terutama generasi muda mengimarahkan masjid selain merupakan salah satu medium bagi warga UMP untuk berbakti kepada masyarakat setempat.


Program dua hari itu melibatkan penyertaan seramai 60 pelajar UMP dari kampus Pekan dan Kampus Gambang. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Forum Muqarabin yang bertajuk“ Celik Mata vs Buta Hati” yang membariskan Panel Forum iaitu Pensyarah Kanan Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan, Al-Fadhil Dr. Hilmi bin Md Said dan Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, Al-Fadhil Ustaz Nik Ibrahim bin Nik Abdullah.



Aktiviti-aktiviti lain ialah Qiamullail, Kuliah Subuh, Gotong-royong BBQ dan membersih masjid bersama Jemaah Masjid Kg. Marhum Pekan.