SEHATI ANJUR KONVENSYEN MAHASISWA PERTAMA DI NEGERI PAHANG

MUADZAM SHAH, 13 April – Buat julung kalinya Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Tenaga Nasional berganding bahu menjalankan Konvensyen Mahasiswa IPT Pahang atau singkatannya KOMIS’19. Melalui sebuah sekretariat yang dinamakan sebagai SEHATI, sebuah jawatankuasa ditubuh bagi menganggotai jawatankuasa pelaksana konvensyen yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari Pusat Islam & Pembangunan Insan, UMP, Pusat Islam UNITEN dan wakil dari WIDAD University College, University College of Yayasan Pahang.

Dalam program tersebut, seramai 200 orang peserta dari seluruh IPT di negeri Pahang telah hadir sebagai perwakilan, pemerhati dan agen Majlis Perwakilan Mahasiswa di institut pendidikan tinggi masing-masing iaitu Universiti Malaysia Pahang, Universiti Tenaga Nasional, WIDAD University College, University College of Yayasan Pahang, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Kolej Komuniti Paya Besar, Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, DRB-Hicom University, Politeknik Sultan Ahmad Shah, Universiti Teknologi MARA dan banyak lagi.

Program dimulai dengan Majlis Perasmian Pembukaan oleh Dato’ Prof. Ir. Dr. Kamal Nasharuddin yang merupakan Naib Canselor UNITEN dan disusuli dengan lawatan khas ke tapak pameran produk penyelidikan yang disediakan pihak penganjur.

Dengan bertemakan kemanusiaan dan keusahawanan, jawatankuasa program telah menjemput Encik Razali Awang yang merupakan Perunding Media Syria Care bagi mengendalikan slot kemanusiaan manakala Dato’ Sri Md Sharif, Pengarah Urusan Asturi Metal Builders yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah UMP mengisi slot bertemakan Minda Keusahawanan.

Selesai setiap sesi, para perwakilan dibahagikan mengikut kumpulan masing-masing dan mengadakan sesi ‘brainstorming’ serta pembentangan bagi setiap tema mengikut IPT masing-masing.

Di akhir sesi, para perwakilan telah mencapai persepakatan dengan mencerna resolusi penting untuk diimplementasikan di kampus masing-masing.

SKUAD BERMOTOSIKAL "MY FAMILY' MENABUR BAKTI KE RUMAH STAF

KUANTAN , 2 April – Prihatin dengan nasib keluarga warga kerja Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang memerlukan bantuan dan sebagai galakan menyuburkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga Universiti khususnya program berbentuk khidmat sosial, Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) universiti ini menjayakan program MyFamily Charity Ride sempena berlangsungnya Karnival Mahabbah. 

Program yang merupakan inisiatif pihak PIMPIN di bawah projek MyFamily ini mendapat sumbangan warga Universiti dan orang perseorangan sejak diperkenalkan tiga bulan lalu. Sumbangan yang diserahkan berbentuk wang ringgit serta barangan keperluan harian seperti beras, tepung,susu,milo,sardin dan lain-lain barangan keperluan kepada  keluarga staf UMP yang di uji dengan dugaan hidup.

1

MyFamily Charity Ride kali ini disertai oleh 15 orang pelajar bermotosikal dan 7 orang kakitangan PIMPIN yang diketuai oleh Ustaz Muhammad Sallehudin Md Derus selaku Pengarah Karnival Mahabbah 9.0 serta pensyarah Fakulti  Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan, Dr. Mohamed Nafis Osman Zahid.

Fokus sumbangan kali terhadap warga kerja dan pelbagai program juga disediakan dalam usaha membantu pelajar dan keluarga asnaf sekitar kampus. Ini juga sebagai tanda ingatan dan prihatin warga UMP kepada golongan yang memerlukan.

2

“ Dalam menguruskan hal ini , kita mahu setiap sumbangan yang disalurkan oleh pelbagai pihak dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dan dinikmati oleh penerima yang selayaknya” ujarnya.

Sementara itu, penerima sumbangan,  Rosida Abdullah,44 yang mempunyai 3 orang anak gembira dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan. Ianya pasti dapat meringankan beban keluarga yang ditanggung setelah kehilangan suami yang merupakan kakitangan di Bahagian Keselamatan UMP Pekan.

5

Penganjuran program MyFamily ini akan diteruskan pada masa hadapan dengan harapan lebih banyak lagi sumbangan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Kepada warga Universiti dan orang ramai yang ingin turut serta dalam program ini, sumbangan boleh disalurkan dengan meletakkan barangan keperluan asas atau menyumbang ke tabung “MyFamily”  di Masjid UMP Pekan dan UMP Gambang.

“BUSKERS CONER” GEMERSIK MALAM KARNIVAL MAHABBAH 9.0 UMP

Pekan, 2 April 2019 – Seramai 250  orang menghadiri program “Busker Corner” yang dianjurkan oleh Pusat Islam dan Pembangunan Insan  (PIMPIN) UMP.

Menurut pengarah program Ustaz Hasnur, “Islam tidak melarang untuk berhibur tetapi hiburan mestilah sesuatu yang terkawal dan terarah, dan bukannya satu cara mencari keseronokan dengan cara yang amat bebas sehingga tidak terkawal dan tidak terikat dengan batas-batas perundangan dan nilai keagamaan. Program ini dianjurkan secara santai agar mahasiswa dapat merasai keseronokkan yang masih terkawal dan mengikut syarak”.

Jelas kepada kita bahawa tujuan berhibur dalam Islam ialah untuk melahirkan insan yang sihat jasmani, rohani dan sosialnya.

Program “Buskers Corner”  merupakan program hiburan islamik secara santai yang menampilkan kumpulan Rabithah iaitu kumpulan nasyid keluaran tarbiah sentap dan kumpulan  Baraqah Beggers iaitu kumpulan nasyid UMP. Program ini mendapat sambutan yang hangat bukan dari kalangan mahasiswa sahaja malahan dari kalangan komuniti luar. Secara tidak langsung melalui program ini, mahasiswa UMP dapat merapatkan lagi ukhwah dengan komuniti luar.

PROGRAM “IN PERSON WITH” MERUNGKAI MASALAH GOLONGAN LGBT

UMP Pekan, 1 April 2019 - Seramai 200 orang mahasiswa UMP menghadiri program In Person With LGBT U-Turn : Konflik Identiti yang dianjurkan oleh Pusat Islam &  Pembangunan Insan UMP.

Pihak penganjur telah menjemput Cikgu Ery dan Dr Mansor Bin Sulaiman sebagai panel untuk memberi pencerahan dan membahaskan berkaitan isu yang semakin hangat di kalangan natizen Malaysia hari ini.

Antara perkara yang di bahaskan ialah berkaitan pendedahan golongan LGBT dan LGBT menurut Islam. Seterusnya Cikgu Ery  berkongsikan kisah penghijrahan beliau dan perjalanan beliau sebagai “mak nyah dan Transgender” sehinggalah kembali ke jalan Allah swt.

Menurut pengarah program, Ustazah Fatihah “ Program ini bertujuan untuk memberi pencerahan kepada mahasiswa berkaitan isu yang hangat di perbincangkan oleh natizen hari ini dan isu ini semakin berleluasa di Malaysia. Oleh itu,  dengan wujudnya program  seperti ini, diharapkan dapat membantu menyelesaikan kemusykilan para mahasiswa berkaitan isu LGBT ini.  Program ini disambut hangat oleh para Mahasiswa dari pelbagai umur, bangsa dan agama. Semoga program-program berunsur mengikut isu semasa dan pembudayaan ilmu seperti ini terus subur di bumi UMP.

PIMPIN DAN MASJID AL-HIDAYAH BERGANDING MENERUSKAN TRADISI PENGAJIAN TALAQQI BERKITAB

Kuantan, 30 mac 2019 - Pusat Islam dan Pembangunan Insan dengan kerjasama Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Masjid al-Hidayah berjaya menganjurkan program Daurah Kitab bertempat di Masjid al-Hidayah, Permatang Badak Kuantan. Seramai 100 orang peserta yang hadir dari kalangan komuniti setempat dan ahli qaryah.

Program Daurah Kitab ini menampilkan penceramah dari program “Tanyalah Ustaz” TV9 iaitu Ustaz Muhadir bin Hj Joll as-Sanariy yang membincangkan berkaitan “Ringkasan Sifat 20”. Menurut Pengarah program Daurah Kitab iaitu Ustaz Md Abdu, program ini adalah salah satu inisiatif dari pihak PIMPIN untuk menghidupkan tradisi berhimpun bersama para  ulama’-ulama’ muktabar , guru-guru yang alim bagi  tujuan menuntut ilmu dan bertalaqqi kitab disamping dapat memahami konsep ma’rifat dalam mengenal sifat-sifat  Allah.

Objektif program Daurah Kitab ini ialah untuk mengukuhkan ilmu fardhu ain dan ilmu aqidah mahsiswa disamping itu dapat mewujudkan jaringan diantara Universiti Malaysia Pahang (UMP)  dengan komuniti luar.  Program ini turut memberikan kesan yang positif kepada semua lapisan masyarakat secara keseluruhannya dan khususnya kepada para mahasiswa dalam mendalami ilmu agama terutama dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan akidah supaya berada di jalan yang lurus dan tidak terpesong daripada jalan yang diredhai Allah dan Rasul-Nya. Program diakhiri dengan sesi soal jawab dan rumusan dan seterusnya tamat pada jam 4.45 petang

I’JAZ ILMI DIKETENGAHKAN DALAM PERBAHASAN PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

UMP Gambang, 28 Mac 2019 - Pusat Islam dan Pembangunan Insan telah menganjurkan program “ Jom Tanya Pakar” bertempat di Dewan Tun Fatimah, UMP Pekan. Seramai 50 orang peserta dari kalangan mahasiswa dan agensi kerajaan.

Pihak penganjur telah menjemput Al-Fadhil Ustaz Hazri Hashim al-Bindani dan Encik Mohd Zulkifli Hamzah  sebagai panel jemputan untuk membahaskan berkaitan peristiwa israk dan mikraj dari perspektif sains dan Islam. Para panel turut merungkai kemukjizatan dan kehebatan yang terjadi ketika peristiwa israk dan mikraj. Secara tidak langsung program ini dapat menambahkan ilmu pengetahuan para peserta berkaitan I’jaz ilmi dan tafsir ilmi yang terdapat di dalam peristiwa israk dan mikraj.

Menurut pengarah program ini, Ustaz Ku Aminuddin Baki peristiwa Israk dan Mikraj dipilih kerana program ini dijalankan  bertepatan dengan tarikh peristiwa tersebut. Selain itu ingin memberi pencerahan kepada para peserta berkaitan kebenaran dan kehebatan perjalanan  Rasulullah saw dalam peristiwa Israk dan Mikraj disamping memberi peluang kepada para peserta untuk mengajukan persoalan yang timbul. 

Program yang berlangsung selama kurang lebih 2 jam ini jelas dapat merungkai persoalan dan memberi pencerahan kepada peserta yang hadir. Turut hadir sama dalam program ini, Dr. Mahyuddin Ismail selaku Pengarah Pusat Islam & Pembangunan Insan UMP yang turut menyampaikan cenderahati kenang-kenangan kepada ahli-ahli panel jemputan.