SEMINAR FIQH SOLAT ANJURAN PIMPIN

Pekan, Universiti Malaysia Pahang, 17 Februari 2021 - Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Universiti Malaysia Pahang (UMP) meneruskan kesinambungan Majlis ilmu dengan kerjasama Rakan siswa Yadim UMP dalam Seminar Fiqh Solat. Program ini berlangsung secara online di FB live Pusat Islam & Pembangunan Insan. Kursus ini terbuka kepada pelajar, staf dan umum yang disampaikan oleh panel penceramah iaitu Al-Fadhil Tuan Haji Ikmal Zaidi bin Hashim (Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya) dan Al-Fadhil Ustaz Mohd Radhi bin Idris (Imam 1 Masjid Puncak Alam).

Objektif utama Seminar adalah untuk memberikan ilmu kefahaman yang mendalam kepada peserta tentang Fiqh Solat yang mana Fiqh Solat amat penting dan menjadi fardhu ain kepada setiap mukalaf untuk mengetahui dan mengamalkan. Seminar ini mendapat sambutan dari peserta dari kalangan staf, pelajar dan orang awam seramai 214 peserta.

Seminar ini di mulai dengan pengerusi majlis iaitu Al-Fadhil Ustaz Muhammad Ku Aminudin iaitu Pembantu Hal Ehwal Islam UMP pada jam 8.30 pagi dan tamat pada jam 4.30 Petang dengan sesi soal jawab. Seminar ini mendapat 850 perkongsian dari individu dan 15600 yang melihat seminar ini.

JOM TANYA PAKAR : BENCANA ALAM TANDA KIAMAT?

KUANTAN, 26 Januari 2021 – Program bicara Jom Tanya Pakar bertajuk “Bencana Alam : Tanda Kiamat? “ telah berjaya dianjurkan oleh Pusat Islam & Pembangunan Insan, PIMPIN. Program ini yang menjadikan isu – isu semasa yang sedang hangat sebagai topik perbincangan telah menampilkan 2 orang tokoh iaitu Prof. Ir. Dr. Ramli Nazir, Timbalan Pengarah Kanan Pusat Geotropik Universiti Teknologi Malaysia dan Dr Ahmad Irfan bin Akmal Hisham, Ketua Program Pusat Sains Kemanusiaan UMP. Panel pertama iaitu Prof. Ir. Dr. Ramli Nazir, merupakan antara individu yang terlibat secara langsung dalam kajian – kajian berkaitan bencana alam yang banyak berlaku terutama di benua Asia. Beliau telah sudi berkongsi berkaitan pengalaman dan ilmu tentang bencana alam kepada 70 orang peserta yang mengikuti bicara ini melalui alam maya. Selain itu, peserta juga dapat mendengar kupasan ilmu berkaitan berdasarkan persepektif Islam secara lebih mendalam yang telah disampaikan oleh  Dr Ahmad Irfan bin Akmal Hisham.

Pembukaan tahun 2021 telah dimulakan dengan beberapa bencana alam seperti banjir, rebut dan tanah runtuh yang telah meragut banyak nyawa. Peristiwa seperti ini sudah pasti meninggalkan kesan kepada menghadapinya samada fizikal atau rohani. Sebagai seorang Muslim, perlulah reda dengan apa yang telah berlaku dan menjadikan ia sebagai pengajaran untuk meneruskan kehidupan yang masih ada. Oleh itu, program bicara bersama pakar seperti ini diharapkan agar dapat memberikan penjelasan yang positif kepada mangsa bencana atau orang lain yang tidak menghadapinya berkaitan hakikat kejadian bencana ala ini.

MEMBONGKAR ISU KARTEL DAGING HARAM!

Universiti Malaysia Pahang, 04 Februari – Hampir 96 orang yang telah mengikuti program ini secara siaran langsung. Program ini merupakan anjuran Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN), Universiti Malaysia Pahang. Program berlangsung pada 04 Februari 2021 (Khamis) secara langsung di Facebook Pusat Islam UMP.

Kami bawakan penceramah yang sangat pakar dalam mengupas isu kartel daging atau berkenaan dengan halam haram iaitu Ustaz Mohd Amri bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amri Halal. Penceramah seorang yang berpengalaman dalam pensijilan halal dan pembangunan industri halal global lebih dari 17 tahun. Beliau juga merupakan Pegawai Agama JAKIM di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Isu yang dikupaskan merupakan isu yang hangat baru-baru ini dalam negara kita iaitu isu kartel daging haram. Terdapat pelbagai informasi terkini dan membuka mata para penonton mengenai isu yang dikupaskan. Kita sebagai umat Islam penting memastikan apa yang masuk dalam perut kita adalah dari sumber yang halal dan dijauhkan daripada perkara-perkara syubhah.

“Isu berkenaan dengan halal haram ini sangat menarik untuk dikupaskan kerana isu ini meluas bukan sahaja halal haram dalam pemakanan bahkan banyak lagi perkara yang berkait denga isu halal haram” ujar moderator program iaitu Prof Madya Dr. Rashidi Abbas juga merupakan Pengarah PIMPIN, Universiti Malaysia Pahang.

Program seperti ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang serta mengupas isu bersama panel yang pakar agar tidak dimanipulasikan oleh orang awam dengan mudah.

PIMPIN MENGASAH BAKAT STAF

BENGKEL MARHABAN SIRI 1

Kuantan, 18 Januari 2021 – Bengkel Marhaban Siri 1 telah membuka tirai tahun 2021. Bengkel ini yang dianjurkan oleh Pusat Islam & Pembangunan (PIMPIN) telah disertai oleh 30 orang peserta dari pelbagai latarbelakang. Penceramah Ahmad Fadzli Bakar telah dijemput untuk mengendalikan bengkel ini. Beliau merupakan seorang komposer lagu, penasyid dan pakar dalam bidang ilmu seni suara seperti Marhaban dan Tarannum. Bengkel yang dijalankan selama 2 jam ini telah dilaksanakan secara atas talian melalui aplikasi Google Meet. Pandemik Covid 19 yang masih melanda tidak menjadi penghalang kepada medan dakwah dan pembelajaran ilmu, malah ia menjadikan individu itu lebih kreatif dan memanfaatkan peluang dan kemudahan yang telah disediakan dengan sebaik mungkin. Walaubagaimanapun, tidak dinafikan masih ada kekurangannya apabila dilakukan secara maya tetapi ia juga datang dengan pelbagai kelebihan lain untuk manfaat bersama.

Bengkel Marhaban ini telah dijadualkan akan berjalan sebanyak 2 siri dengan fokus tertentu. Antara objektif penganjurannya ialah untuk  memberikan pendedahan dan menambah ilmu kepada peserta. Ilmu Marhaban merupakan satu ilmu yang tidak menonjol dalam kalangan masyarakat terutama golongan muda pada zaman ini. Oleh itu, penganjuran bengkel seperti ini diharapkan dapat menggilap semula ilmu dan kemahiran dalam masyarakat.

WARGA UMP TERUJA DIDEDAHKAN PENDIDIKAN SEKS

bicara seks FILEminimizer

Universiti Malaysia Pahang, 12 ogos – Buat pertama kali, Pusat Islam dan Pembangunan Insan UMP menggerakkan program Bual Bicara Pakar dengan menjadikan isu Pendidikan Seks sebagai projek perintis. Hasil cetusan idea untuk menjalankan program ini bertitik tolak daripada data rakyat Malaysia yang menonton laman pornografi meningkat mendadak sepanjang PKP sejak dikuatkuasakan Mac 2020.

Antara isi perbincangan dalam sesi ini termasuklah kaedah pendedahan awal kepada anak-anak, jenayah seksual, ketagihan pornografi, seks songsang, langkah pencegahan dan banyak lagi.

Menurut Akhi Fairuz yang merupakan panel jemputan bicara ini, fenomena menjadikan perkataan-perkataan lucah sebagai modal berjenaka menjadi punca besar normalisasi masyarakat. Malah, apa yang lebih mengejutkan, kebanyakan jenayah seksual termasuk ketagihan pornografi bermula seawal usia kanak-kanak lagi.

“Ibubapa mempunyai peranan besar mendidik anak seawal usianya. Bermula dengan pengasingan bilik tidur, anak-anak perlu dibiasakan menjaga batas pergaulan meskipun dalam kalangan adik-beradik lebih-lebih lagi ketika mandi dan menyalin pakaian”, katanya.

Program yang dijalankan secara atas talian menerusi Laman Facebook Rasmi Pusat Islam UMP ini mendapat sambutan hangat apabila rata-rata penontonnya hadir dari kalangan warga UMP sendiri dan merentas sempadan negeri sejak ia dijalankan secara maya.