ANTARA AMANAH DAN FATONAH

ANTARA AMANAH DAN FATONAH

 

Rashidi bin Abbas

Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan

Universiti Malaysia Pahang

This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

 

Pendahuluan

Perbincangan sifat mahmudah merupakan asas penting dalam hal ehwal kepimpinan terdahulu dan semasa terutamanya kepimpinan negara Malaysia secara khususnya. Sifat ini adalah sebahagian dari sifat wajib bagi seorang Rasul yang telah menjadi ikon dan teladan sepanjang zaman. Malah sifat ini wajib diikuti oleh setiap umat Islam tanpa mengira pangkat dan kedudukan terutamanya apabila dilantik menjadi pemimpin. Sifat ini sebenarnya tidak terhad kepada satu bangsa dan golongan sahaja bahkan sifat ini lebih bersifat komprehensif dan terbuka serta perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

Firman Allah SWT: “Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah SWT ketika susah dan senang.” (Al-Ahzab: 21)

Perbincangan sifat amanah dan fatonah (bijakasana) dalam konteks kepimpinan sekarang ini begitu signifikan diulas agar ianya menjadi kefahaman yang mendasar dalam memilih seorang pemimpin. Fatonah (bijaksana) dalam konteks kefahaman sekarang boleh diterjemahkan melalui pendidikan formal yang ditempuhi sehingga bergelar sarjana muda dan berjaya mendapat sekeping ijazah yang mengiringinya. Inilah yang menjadi asas dan mercu tanda fatonah pemimpin untuk dilantik menjadi ketua. Persoalan akan timbul rentetan dari pelantikan ini, apakah sudah memadai kriteria ini untuk membawa amanah yang besar kepada agama, negara dan masyarakat? Sebab itulah jika diteliti sifat wajib bagi Rasul, sifat amanah terlebih dahulu disebut kemudian baru diiringi oleh sifat fatonah. Sifat fatonah dapat diterjemah hasilnya melalui sijil yang diperolehi tetapi bagaimana pula dengan sifat amanah? Adakah ijazah yang dikeluarkan khusus kepada sesiapa yang bersifat amanah? Sudah tentu tiada sijil khusus merujuk kepada sifat amanah. Oleh itu, sifat amanah ini perlu dibangunkan terlebih dahulu sebelum pendidikan rasmi dilalui sehingga menjadi fatonah. Dikongsi bagaimana kisah Saidina Umar r.a ingin menguji sifat amanah seorang (hamba sahaya) pengembala kambing agar dijual seekor kambing kepada Saidina Umar. Apa jawapan pengembala kambing kepada Saidina Umar, kambing ini bukan milik ku tetapi milik majikanku, aku hanya mengambil upah sahaja. Kemudian diteruskan lagi oleh Saidina Umar, katakan kepada majikan kamu kambing ini dimakan oleh serigala. Jawapan pengembala tadi kepada Saidina Umar, sekiranya tuan menyuruh saya berbohong, lantas di mana Allah SWT? Bukankah Allah SWT Maha melihat? Apakah tuan tidak yakin akan siksa Allah SWT bagi pendusta?

Inilah kisah teladan yang menjadi titik tolak kenapa sifat amanah berada di hadapan dibanding sifat fatonah. Kebobrokan yang berlaku sekarang ini bukan disebabkan kebodohan pemimpin dalam membaut keputusan tetapi dek kerana sifat amanah yang semestinya menjadi tunjang seorang pemimpin telah jauh menghilang dari empunya diri. Fatonah mampu dibina melalui kursus yang dilalui sehingga dapat dikeluarkan sijil tersebut. Amanah tidak mampu dibentuk melalui kelas-kelas yang dianjurkan sebaliknya mesti melalui proses-proses tertentu dari persekitaran terdekat.

BAHAGIAN 2 : KEPRIHATINAN BAHASA SEBAGAI WADAH PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA

 

BAHAGIAN 2

KEPRIHATINAN BAHASA SEBAGAI WADAH PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA

Dr Rashidi Bin Abbas

Pengarah

Pusat Islam dan Pembangunan Insan

Universiti Malaysia Pahang

Hangat diperbahaskan oleh rakyat tentang kecelaruan bahasa Melayu di persada negara sendiri. Kecelaruan bahasa merujuk kepada kecacatan dari segi pemahaman atau penggunaan bahasa dalam bentuk pertuturan, penulisan dan simbol. Anak-anak muda sudah hilang kemahiran bertutur dalam bahasa Melayu baku yang akan lebih menyerlahkan keintelektual semasa. Mereka lebih selesa dengan gaya dan pengucapan semasa yang mengabaikan semua aspek dari hukum tata bahasa itu sendiri. Bahkan kadang-kadang golongan dewasa tidak memahami apa yang dipertuturkan oleh golongan muda ini, sehingga hilang perwatakan sebagai bangsa Melayu yang satu ketika dahulu gah dengan bahasa lingua francanya yang tersebar di merata tempat.

Apa kaitanya kecelaruan dengan kecintaan bahasa ini? Nah, inilah topik perbincangan yang akan diketengahkan supaya kenapa kita perlu mengekalkan warisan kemahiran bahasa ini terutamanya bahasa Melayu, walau di mana kita berada. Belum lagi isu percampuran bahasa Melayu dan Inggeris yang tidak terkawal sehingga di cop sebagai bahasa rojak yang merosakkan keindahan seni bahasa Melayu itu sendiri. Apa peranan kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kehormanian? Di sinilah letaknya ujian kepada kita semua untuk terus berkorban atau terkorban dengan fenomena semasa.

Asas cinta dan kasih kepada bahasa akan mengalir dari dalam diri sendiri dahulu kemudian baharulah perpindahan berlaku ke tempat lain. Oleh sebab itu, persepsi kita sendiri terhadap bahasa Melayu perlu diluruskan terlebih dahulu sebelum persekitaran beradaptasi dengan bahasa tersebut. Kita perlu memandang tinggi dan meletakkan bahasa Melayu ini adalah satu bahasa yang mempunyai nilai peradaban dan seni yang hebat. Jangan merasa malu untuk bertutur dalam bahasa Melayu dan jadikan ia sebagai satu kebanggaan serta penghormatan yang setara dengan bahasa Inggeris atau bahasa yang lain. Hilangkan andaian dan tanggapan bahawa bahasa Melayu “low class” dan tidak mempunyai nilai estitika sekiranya dipertuturkan. Kalau bukan kita yang mengangkatnya, siapa lagi yang akan bertanggungjawab untuk mengangkatnya? Bagaimana untuk memupuknya? Sematkan pada anak-anak dengan perkara-perkara yang positif dan baik serta menjelaskan kenapa peri pentingnya bahasa Melayu ini perlu dijaga. Lama kelamaan minda penerimaan mereka akan menjadi positif apabila perkara positif sering mewarnai minda mereka. Batu loncatan asas datang dari unit kecil terlebih dahulu iaitu unit keluarga untuk memulakan kepercayaan terhadap bahasa Melayu. Penyerlahan kemelayuan perlu disokong oleh persekitaran yang berada di sekeliling unit kecil ini agar ada kesinambungan penghayatan antara generasi dengan generasi berikutnya. Bantulah bahasa Melayu agar tidak layu di persada tanah air kita.

 

BAHAGIAN 1 : KEPRIHATINAN BAHASA SEBAGAI WADAH PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA

 

BAHAGIAN 1

KEPRIHATINAN BAHASA SEBAGAI WADAH PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA

Dr Rashidi Bin Abbas

Pengarah

Pusat Islam dan Pembangunan Insan

Universiti Malaysia Pahang

Selang beberapa hari lagi Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan yang ke-63. Apa erti nilai kemerdekaan sekiranya konsep perpaduan masih jauh disalah ertikan oleh masyarakat berbilang kaum di Malaysia? Justeru itu, bagi sebuah negara yang dihuni oleh masyarakat berbilang kaum,agama dan budaya, perpaduan adalah sangat penting dalam menjamin keharmonian negara.  Keharmonian yang dicanang oleh pemimpin negara merupakan intipati yang besar dalam menuju keamanan negara secara holistik. Penggunaan bahasa Melayu adalah sebagai medium pengukuhan kesepaduan kaum di Malaysia. Justeru itu, kerangka penyediaan program perlu dirancang oleh pihak kerajaan untuk memperkasakan bahasa bagi mencapai objektif perpaduan kaum.

Penyebaran bahasa Melayu sebagai alat perpaduan kaum perlu diaktifkan oleh pelbagi pihak samada agensi kerajaan mahupun swasta. Pusat pengajian pendidikan merupakan satu entiti yang berperanan besar dalam mendepani isu bahasa Melayu sebagai alat perpaduan kaum hingga terbentuk keharmonian negara. Penawaran subjek bahasa Melayu sebagai teras peperiksaan perlu dikekalkan, seterusnya subjek tambahan sebagi pendokong kepada kecintaan kepada bahasa Melayu juga perlu diperkasakan dengan terma-terma tertentu yang akan menjadi nilai tambah pelajar apabila bersama dengan masyarakat.

Keprihatinan penggunaan bahasa Melayu tidak terbatas kepada bahasa komunikasi dua hala dalam perbualan semata-mata, kerangka ini perlu diperluaskan dengan ketetapan dari PBT setempat untuk mewajibkan setiap papan-papan tanda jalan, premis perniagaan, pengiklanan, mercu tanda bangunan, industri hotel, pelancongan dan sebaginya perlu di sebarluaskan penggunaannya. Di samping kita membuang sama sekali bahasa antarabangsa untuk dimensi pendidikan,budaya, perubatan, perniagaan dan sebagainya secara global. Satu perkara yang amat penting ialah bagaimana kita ingin suburkan kecintaan bahasa sebagai wadah kelestarian bangsa dan negara? Mari kita berganding bahu menyiram nilai-nilai tingginya keperluan kecintaan kepada bahasa untuk generasi baharu yang memerlukan petunjuk arah ke arah perpaduan masyarakat di Malaysia.

 

TAHAJUD YANG TIDAK MENDAPAT CINTA ALLAH SWT

Oleh : Ustazah Nurul Fatihah binti Abdul Rahman

Seorang ahli ibadah yang bernama Abu bin Hasyim, seorang yang sentiasa solat sunat tahajud. Hampir bertahun-tahun dia tidak pernah tinggal melakukan solat tahajud.

Pada suatu malam saat dia hendak mengambil wuduk untuk solat tahajud, Abu bin Hasyim terkejut oleh kehadiran makhluk yang duduk di tepi periginya. Abu bin Hayim bertanya, “wahai hamba Allah, siapakah engkau?” Sambil tersenyum, makhluk itu berkata, “aku malaikat utusan Allah,” Abu Bin Hasyim hairan sekaligus bangga kerana kedatangan malaikat mulia itu. Abu bin Hasyim lalu bertanya, “apa yang kamu lakukan di sini?” Malaikat itu menjawab, “Aku disuruh mencari hamba pencinta Allah.”

Abu bin Hasyim melihat malaikat itu memegang kitab yang tebal, lalu bertanya lagi, “wahai malaikat, buku apakah yang kau bawa itu?” Malaikat itu menjawab, “ini adalah kumpulan nama hamba-hamba pencinta Allah swt.”
Mendengar jawapan malaikat itu, Abu bin Hasyim berharap dalam hati namanya pasti ada tertulis.

Maka ditanyalah malaikat itu lagi, “Wahai malaikat, adakah namaku tertulis disitu?” Abu bin Hasyim yakin bahawa namanya pasti tertulis di dalam buku itu, mengingati amalan ibadahnya yang tidak pernah lelah dan putusnya. Dia selalu mengerjakan solat tahajud setiap malam, berdoa dan bermunajat kepada Allah swt di sepertiga malam. “Baiklah, aku periksa,” kata malaikat itu sambil membuka kitab besarnya. Dan ternyata malaikat itu tidak menemukan nama Abu bin Hasyim di dalamnya.

Dengan tidak percaya, Abu bin Hasyim meminta malaikat itu memeriksanya sekali lagi. “Sesengguhnya namamu tidak ada didalam buku ini,” kata malaikat itu.

Abu bin Hasyim menjadi gementar dan jatuh tersungkur di depan malaikat itu. Dia menangis teresak-esak. “Rugi sekali diriku yang selalu tegak berdiri di setiap malam dalam tahajud dan bermunajat tetapi namaku tidak termasuk dalam golongan para hamba pecinta Allah swt,” ratapnya.

Malaikat itu berkata, “wahai Abu bin Hasyim ! Bukan aku tidak tahu yang engkau bangun tahajud setiap malam ketika yang lain sedang tidur, mengambil air wuduk pada saat orang lain terlelap dalam buaian malam.

Sesungguhnya tanganku dilarang oleh Allah swt daripada menulis namamu. “Apakah yang menjadi penyebabnya,” tanya Abu bin Hasyim. “Engkau memang rajin bermunajat kepada Allah swt, tetapi engkau tunjukkan ibadah mu itu dengan rasa bangga dan asyik beribadah hanya memikirkan untuk diri kamu sendiri.

 

Sedangkan di kanan dan kirimu ada orang yang sakit atau lapar, tidak engkau hiraukan, ziarah dan memberi makan. Bagaimana mungkin engkau dapat menjadi hamba pecinta Allah swt jikalau engkau sendiri tidak pernah mencintai hamba-hamba yang diciptakan Allah swt?” kata malaikat itu.

Abu bin Hasyim rasa seperti disambar petir. Dia menyedari bahawa hubungan ibadah manusia itu tidaklah hanya kepada Allah swt semata-mata (hablummina Allah), tetapi juga sesama manusia atau makhluk Allah swt (hablum minannas) dan sekalian alam.

Nabi Musa: Wahai Allah, aku sudah melaksanakan ibadah. Lalu manakah ibadahku yang membuat Engkau reda?

Allah: Solatt mu itu untuk dirimu sendiri, kerana dengan mengerjakan solat, engkau terpelihara daripada perbuatan keji dan munkar. Zikirmu itu hanya untukmu sendiri, membuat hatimu menjadi tenang. Puasamu itu untuk dirimu sendiri, melatih dirimu untuk memerangi hawa nafsumu sendiri.

Nabi Musa: Lalu apa yang membuat Mu reda Ya Allah?

Allah: Sedekah, infaq, mengeluarkan zakat serta perbuatan baikmu.
Itulah yang membuatkan Aku senang, kerana tatkala engkau membahagiakan orang yang sedang susah, Aku hadir disampingnya.
Dan Aku akan mengganti mu dengan ganjaran 700 kali (Al-Baqarah 261-262)

Oleh itu,  apabila seseorang hanya sibuk dengan ibadah kerohanian semata-mata dan merasa bangga dengannya maka itu tandanya kamu hanya mencintai dirimu sendiri, bukan Allah swt.

Tetapi apabila engkau berbuat baik dan berkorban untuk orang lain maka itu tandanya engkau mencintai Allah swt dan tentu Allah swt senang kerananya. Lakukanlah apa yang  Allah swt reda kepadamu maka Allah swt akan limpahkan rahmat-Nya dengan membuat hidupmu lapang dan bahagia.

Sumber: Kitab Mukasyafatul Qulub, karya Imam Al Ghazali

 

http://darulmujtaba.com/2017/03/18/berakhlak-dengan-allah-disetiap-martabat-wujud/

   

PERINGATAN BUAT MANUSIA

Oleh : Encik Mohammad Faizal bin Baharuddin

Manusia diciptakan untuk beribadah kepada Allah SWT. Kewarasan akal sewajarnya memandu manusia menguruskan kehidupan bersama kurniaan lain yang diberikan.Nikmat yang sewajarnya disyukuri ialah diberi keistimewaan oleh Allah SWT menjalani kehidupan di dunia, malah disediakan segala kelengkapan sama ada di langit mahupun di bumi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal yang belayar di laut dengan membawa benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari pelbagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, dan keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran." (Surah al-Baqarah, ayat 164)

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau'izati di IKIMfm menjelaskan, Rasulullah SAW memberi ingatan kepada manusia sejak mereka berada dalam kandungan ibu sudah ditulis oleh Allah SWT mengenai rezeki, ajal, jodoh, perjalanan hidup di dunia serta qada dan qadar mereka. Sudah tentunya ada yang mempersoalkan tujuan diciptakan oleh Allah SWT di dunia ini dan nikmat Islam menjadi jawapan kepada setiap persoalan yang timbul. Manusia turut dikurniakan akal dan pancaindera yang menjadi sumber kebijaksanaan untuk menguruskan kehidupan.

Malah, setiap manusia dilahirkan beriman kepada Allah SWT sehinggalah mereka dicorakkan oleh ibu bapa masing-masing sama ada menjadi penganut agama Yahudi, Kristian dan sebagainya.

Waras mengurus diri

Asal penciptaan manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Akal dikurniakan untuk kewarasan menguruskan kehidupan dan begitulah larangan meminum arak atau mengambil sesuatu yang memabukkan. Akal juga menjadi sumber untuk beroleh nikmat hidayah dan agama yang akan mendorong mereka mentaati Allah SWT. Kewarasan akal menjadi sumber kecerdikan manusia mencari nikmat iman dan Islam yang menemukan mereka dengan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Adalah menjadi kerugian besar kepada umat manusia apabila gagal menjadi hamba Allah SWT. Apabila perintah Allah SWT diabaikan, bererti manusia melanggar syariat agama dan peraturan telah disusun, menyebabkan pelbagai ujian dan tekanan diturunkan kepada mereka. Sewajarnya manusia yang hidup di dunia perlu bermatlamat untuk menghuni syurga pada hari akhirat kelak, oleh itu, elakkan diri daripada mensia-siakan masa yang diberikan. Kehidupan manusia bukan sahaja di dunia, tetapi juga di alam barzakh.

Kehidupan manusia diteruskan di Padang Mahsyar dan keadaan di sana nanti ditentukan oleh cara hidup dan amalan ketika hidup di dunia. Seterusnya, manusia akan menempuh kehidupan di akhirat yang kekal, sama ada menjadi penghuni syurga atau neraka.

Jangan kufur nikmat

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang yang beriman." (Surah ar-Rum, ayat 47)

Manusia harus memilih untuk menjadi orang Mukmin, bukan mereka yang mengkufuri nikmat kurniaan Allah SWT kerana hanya agama Islam diredai sebagai cara hidup di dunia dan diterima di sisi Allah SWT. Apabila beriman kepada Allah SWT, manusia perlu mengetahui ganjaran yang akan diperoleh kelak. Jangan terperangkap dengan tipu daya dunia yang berakhir dengan balasan seksaan di neraka. Jangan lupa peringatan Allah SWT supaya menjalani kehidupan dalam qanaah, berpada-pada kerana manusia yang mengejar harta hanya akan memusnahkan diri sendiri. Ambil iktibar bencana yang menimpa Qarun.

Sentiasa minta ampun

Qarun memerlukan lebih 400 ekor kuda untuk membawa anak kunci kepada gedung harta kekayaan yang dimilikinya. Bagaimanapun, Qarun ditenggelamkan Allah SWT ke dalam muka bumi sedalam 70 hasta setiap kali terbitnya matahari kerana keangkuhan dan sikap tamaknya.

Gunakan kekayaan untuk mendapat keberkatan hidup. Adalah sesuatu yang merugikan apabila beroleh kekayaan melimpah ruah tetapi jauh daripada keberkatan Allah SWT. Keberkatan membolehkan yang sedikit dirasakan banyak, yang sempit dirasakan luas.Dalam hidup ini, manusia harus mengejar keampunan daripada dosa dilakukan setiap masa.

Carilah ilmu sebanyak mungkin daripada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW kerana semakin banyak ilmu yang diperoleh, semakin dekat kedudukan seseorang di sisi Allah SWT. Tanamkan keikhlasan beragama dan jangan mensyirikkan Allah SWT walaupun sesukar mana. Berusahalah mendapatkan reda Allah SWT untuk melengkapkan dan melayakkan diri beroleh ganjaran syurga.

Sumber : Penulis adalah Pengurus Hubungan Strategik IKIMfm