Aduhai 4 orang isteriku!

Posted in Laman Ilmu



Oleh : Puan Rezita binti Mat Husin
SUATU ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.

Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain

Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. Dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.

Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. Dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedagang tidak begitu mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.

Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, “Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri.”

Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, “Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?” Isteri keempatnya terdiam. “Tentu saja tidak!” Jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.
Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, “Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?” Isteri ketiganya menjawab, “Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati“. Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.

Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, “Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku?” Si isteri kedua menjawab perlahan, “Maafkan aku…aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu.”

Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa. Tiba-tiba terdengar satu suara, “Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu.”
Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu berguman, “Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku.”

Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini ;

* ISTERI KEEMPAT
adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.

* ISTERI KETIGA

adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.

* ISTERI KEDUA

pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburlah mereka akan menemani kita.

* DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA

adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita diakhirat kelak.
Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari!
 

PELIHARALAH MARUAHMU

Posted in Laman Ilmu

 

Oleh : Ustazah Amira binti Abdullah
 
MARUAH dan harga diri mesti dijaga dalam kehidupan setiap Muslim. Tanpa maruah dan harga diri, seseorang itu akan mudah terjebak ke kancah maksiat atau terjerumus ke lembah kehinaan. Justeru, dalam kehidupan orang Melayu akhlaknya berteraskan kepada ajaran Islam. Melalui didikan akhlak seseorang itu akan dapat menjaga maruah dan harga dirinya. Selain itu, sifat malu menjadi separuh daripada iman yang membentengi akhlak dan maruah dirinya. Dalam Islam maruah lebih menjurus kepada keimanan. Orang yang beriman akan sentiasa menjaga maruah dan harga dirinya. Oleh itu, elakkan daripada perbuatan tingkah laku yang rendah dan akhlak tercela.
 
Setiap Muslim diingatkan supaya menghindari melakukan perbuatan dosa dan tingkah laku yang memalukan. Allah berfirman yang bermaksud: “Iaitu, mereka yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji, kecuali kesalahan-kesalahan kecil. Sungguh Tuhanmu Maha luas ampunan-Nya. Dia mengetahui tentang kamu, sejak Dia menjadikan kamu daripada tanah lalu ketika kamu masih janin dalam perut ibumu. Maka janganlah kamu menganggap dirimu suci. Dia mengetahui tentang orang yang bertakwa.” (Surah An-Nam: 32). Sebagai umat Islam yang berakhlak, mereka akan sentiasa menjaga maruah dan harga diri dengan menghindari perbuatan yang boleh merosakkan akhlaknya. Allah memberi peringatan yang jelas melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua itu akan diminta dipertanggungjawabkan.” (Surah Al’Isra’: 36) Peringatan dan ingatan ini hendaklah dijadikan panduan dalam kehidupan yang penuh cabaran ini. Kehidupan pada akhir zaman memang banyak dugaan kepada setiap orang. Hanya keimanan dan akhlak yang baik akan menjaga hati dan dirinya tidak terjebak kepada perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah dan harga diri.

Dalam menjaga maruah diri, jangan letak diri kita di tempat yang bukan tempatnya. Hindari daripada bercampur-gaul dengan orang yang berakhlak buruk dan orang yang tidak pernah bosan mencaci, memfitnah dan mengumpat orang lain. Jadilah Muslim yang mempunyai akhlak tinggi dan terpuji, jangan menjadi hamba kepada perut dan hamba kepada nafsu sendiri. Miskin harta bukanlah suatu kecacatan atau kelemahan. Tetapi kecacatan dan kelemahan yang sebenarnya adalah kerana ketiadaan maruah diri. Seseorang itu akan dipuji kerana keelokan perangainya bukan kerana kecantikan dan kekayaannya.
Jagalah maruah dan harga diri supaya diri kita dihormati.
 
Antara isu-isu terkini wanita zaman sekarang yang terdedah dan mencemarkan imej seorang wanita adalah pergaulan bebas dengan lelaki, menghisap rokok / vape di tempat awam, betudung tetapi berpakaian ketat, berpelukan bebas dengan teman lelaki dan banyak lagi. Akhlak wanita muslimah sekarang berada di paras yang lemah. Sebagai seorang muslim, jadilah sebagai penasihat dan pendorong kepada mereka untuk berubah dan bertaubat. Ingatlah Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Orang beriman dengan orang beriman yang lain adalah seperti satu bangunan, antara satu sama lain saling menguatkan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
 
Seseorang yang beriman sentiasa menjaga maruah dan harga dirinya. Selain itu, sentiasa menjaga keluarga, agama, bangsa dan tanah airnya daripada dihina dan dijajah. Bimbingan dan didikan akidah, ibadah dan akhlak mestilah dilakukan sejak seseorang itu masih kecil dan berterusan hingga dewasa. Keimanan dan akhlak mendapat kedudukan yang tinggi dalam Islam. Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan untuk menyempurnakan akhlak. Ini jelas daripada sabda Nabi yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Ahmad) Menurut Imam al-Ghazali, manusia itu ibarat sebatang pokok dengan akarnya ialah akidah, batangnya (kefarduan), daun-daunnya (amalan sunat), maka buah atau batangnya itulah yang dikatakan akhlak.
Sebab itulah manusia yang berakhlak dalam Islam dianggap orang yang menyempurnakan agama kerana akhlak melambangkan keindahan Islam. Daripada Abdullah ibn Umar r.a, katanya, Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik akhlaknya. Tumpuan, pengajaran dan pembelajaran di sekolah juga memfokuskan kepada akhlak yang baik dan sempurna dapat ditanamkan dalam pemikiran, hati dan diri pelajar seterusnya menjauhkan mereka daripada akhlak keji yang menjatuhkan maruah dan harga diri.


MENJANA KEGEMILANGAN MELALUI TOKOH ISLAM TERDAHULU

Posted in Laman Ilmu



Oleh : Ustaz Muhammad Sallehudin bin Md Derus
Sejarah Kegemilangan Ilmu Islam bermula pada zaman para tabi’ tabi’n tidak kira ilmu duniawi atau ukhrawi. Kegemilangan tersebut dapat dibuktikan melalui kesan ilmu mereka yang masih diguna pakai sehingga pada zaman sekarang. Sebagai contoh, Kitab Ibnu Sina yang masih digunakan di Eropah dan dijadikan sebagai salah satu rujukan ilmu perubatan di sana. Kitab Al-Khawarizmi yang telah mencetuskan Konsep AlGebra dan konsep tersebut masih diguna pakai di dalam ilmu kejuruteraan dan ramai lagi ilmuwan Islam yang jasa ilmunya boleh dijadikan sebagai contoh bagi umat Islam pada masa kini.

Apakah rahsia yang menyebabkan para ilmuwan ini boleh menghasilkan sesuatu yang boleh menandingini kehebatan para ilmuwan Eropah?

Buku Nurazmallail Marni yang bertajuk “Pendidikan Saintis Muslim Era Kegemilangan Tamadun Islam boleh dijadikan sebagai rujukan utama. Penulis telah membahagikan proses pembelajaran para ilmuwan Islam kepada tiga bahagian.
Yang pertama, peringkat pengajian asas iaitu pembelajaran yang membentuk kemahiran, kebolehan bertutur dalam pelbagai bahasa dan juga pengukuhan tingkah laku dari sudut fizikal dan spiritual.Sebagi contoh, seseorang perlu mendalami ilmu Al-Quran dan  ilmu Hadith terlebih dahulu dengan mempelajari bahasa pengantar yang paling penting iaitu Bahasa Arab. Kemudian, penguasaan bahasa yang pelbagai juga adalah salah satu asas pembelajaran seperti Bahasa Inggeris dan Bahasa-bahasa Eropah yang lain kerana kebanyakan buku-buku ilmu keduniaan ditulis dalam Bahasa Eropah. Ilmu kemahiran juga dititikberatkan di dalam peringkat ini seperti menunggang kuda, berenang, memanah dan lain-lain lagi.
Yang kedua, peringkat pengajian menengah atau pertengahan. Di peringkat ini, seseorang akan mula memilih pembelajaran yang mereka minati dan cuba untuk mendalami ilmu tersebut dengan membuat pengkhususan dan kajian. Peringkat ini amat penting kerana pada waktu ini, seseorang akan membuat satu perubahan hidup di dalam kariernya pada masa hadapan. Sebagai contoh, Ibnu Sina telah menamatkan pelbagai jenis pengajian terutama dalam ilmu perubatan pada usia 16 tahun.

Yang ketiga adalah peringkat tinggi iaitu peringkat penyatuan segala ilmu yang dipelajari. Seseorang yang berada di dalam peringkat ini kebiasaannya telah membuat pengkhususan mengenai bidang masing-masing dengan menggunakan ilmu-ilmu yang telah mereka pelajari.

Apakah yang saya dapat simpulkan daripada tiga peringkat utama pembelajaran di atas terhadap pelajar atau mahasiswa?

Pertama : Pembelajaran asas amat penting bagi mengukuhkan ketajaman akal dan fikiran seseorang dan juga sebagai persediaan yang mantap sebelum membuat pengkhususan dalam bidang tertentu.

Kedua: Kesihatan rohani dan fizikal perlu dijaga oleh seseorang demi memastikan kelancaran pemikiran akal masing-masing.

Ketiga : Ilmu dunia mesti dipelajari selari dengan ilmu ukhrawi berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah agar pembelajaran tidak terpesong dan tidak digunakan ke jalan yang salah.

Keempat : Pemikiran yang kreatif dapat dihasilkan melalui penumpuan yang lebih terhadap sesuatu perkara.

Kelima : Pendedahan kepada seseorang terhadap pelbagai ilmu pengetahuan perlu dititikberatkan agar mereka tidak ketinggalan dan tidak membunuh unsur-unsur kreatif yang berada di dalam jiwa masing-masing. Mereka ini perlu diberi peluang untuk menunjukkan kreativiti yang mereka ada agar tidak lapuk ditelan zaman.


AYAT-AYAT SYUKUR SELEPAS MELAKUKAN IBADAH DALAM AL QURAN

Posted in Laman Ilmu



Oleh : Ustaz Md Abdu bin Sahak
 
Dalam Al-Quran kata "syukur" dengan berbagai bentuknya sebanyak enam puluh empat kali seperti yang disebut dalam Buku Maqayis Al- Lughah karangan  Ahmad Ibnu Faris. Namun terdapat 4 ayat yang menyatakan syukur selepas melakukan ibadah.
 
  1. Ibadah Puasa :
 
Firman Allah Taala dalam surah Al-Baqarah ayat 185 yang  maksud :
“Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”.

2. Solat Jumaat :

Firman Allah Taala dalam surah Al-Jumu’ah ayat 10 yang  maksud :
“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)”.
 
3. Ibadah Haji :

Firman Allah Taala dalam surah Al Baqarah ayat 200 yang bermaksud :
“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia". (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.
 
4. Solat :
 
 Firman Allah Taala dalam surah Al Hajj ayat 41 yang bermaksud :
Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.
 
Rujukan :
1. http://keajaiban-syukur.blogspot.my/2013/03/pengertian-syukur.html#.VswQkPl97Dc

HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN TUAN

Posted in Laman Ilmu



Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail
Pengarah Pusat Islam, Universiti Malaysia Pahang

Sepanjang 11 tahun terlibat dalam bidang pengubatan Islam, boleh dikatakan hampir 60-70% pesakit yang saya temui ada membuat pagar pendinding, sama ada di rumah mahupun di premis perniagaan. Ada yang menanam tahi besi, jarum, paku, batang kayu, bertih, jagung di empat penjuru, ada yang menabur beras kunyit di keliling rumah, ada yang menanam telur angsa yang dicucuk paku ke dalam pasu, ada yang menggantung lada kering dan kuda laut di muka pintu, ada yang meletak duit 1 sen diatas alang pintu, ada yang mengikat kain atau benang tiga warna di setiap tingkap dan pelbagai lagi cara dan bahan. Apabila ditanya tujuan berbuat demikian, mereka menyatakan bahawa ianya adalah salah satu ikhtiar untuk menghalang kemasukan jin, syaitan, hantu, iblis dan lain-lain makhlus halus yang sewaktu dengannya. Ia juga didakwa mampu menghalang perbuatan khianat oleh orang-orang yang dengki kepada mereka.
Tetapi, tahukah para pembaca bahawa antara punca gangguan misteri yang dialami ialah akibat perbuatan memagar rumah dan premis dengan cara yang bertentangan dengan apa yang diajarkan dalam Islam. Berdasarkan pengalaman, ada sebahagian pesakit mengadu bahawa penyakitnya makin bertambah berat setelah rumah mereka dipagar. Ada juga yang memberitahu terdapat kelibat lembaga di dalam rumah. Ada juga isi rumah yang sentiasa bergaduh apabila berada di rumah, katanya rumah terasa panas. Jika sembuh, mungkin ianya sementara. Musibah yang datang selepas itu lebih berat dari yang sebelumnya.

Siapa yang menjadi penjaga rumah anda?

Apabila kediaman atau premis anda dipagar, anda perlu menjawab satu soalan mudah. Siapakah sebenarnya yang menjaga rumah anda itu? Ada responden yang mendakwa bahawa rumahnya dijaga oleh malaikat. Buktinya, kepingan besi yang dipaku ditiang seri rumahnya tertulis nama empat malaikat iaitu Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail. Benarkah dakwaan dan kepercayaan itu?
Allah telah menegaskan bahawa malaikat hanya takut kepadaNya dan hanya patuh kepada perintahNya sebagaimana dalam surah An-Nahl ayat 49-50:
Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada  di bumi, dari makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat, sedang mereka (malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadah dan sujud kepadaNya). Mereka takut kepada Tuhan mereka yang mengatasi mereka (dengan kekuasaanNya), serta mereka mengerjakan apa yang diperintahkan olehNya.
Kedatangan malaikat yang membawa rahmat tidak perlu dengan cara membuat pagar atau pendinding yang tidak diajar dalam Islam. Cukup dengan cara kita mendekatkan diri kepada Allah melalui ibadah dan zikir, pasti akan mengundang kedatangan para malaikat rahmat. Imam Muslim meriwayatkan satu hadis dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa memerhatikan majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malaikat naik ke langit.

Adakah Jin Islam menjaga rumah anda?

Ada juga yang mendakwa bahawa penjaga rumahnya adalah jin Islam dan juga rijalul ghaib. Memang tidak dinafikan bahawa ada sebahagian rumah yang menjadi kediaman jin berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Bakar bin Ubaid: "Pada setiap rumah kaum muslimin ada jin Islam yang tinggal di atapnya. Setiap kali makanan diletakkan, maka mereka turun dan makan bersama penghuni rumah."
Namun begitu, itu bukanlah perkara yang  dituntut. Bahkan, jika ada jin yang mendiami rumah kita, maka Rasulullah SAW perintahkan agar kita minta mereka keluar dari rumah. Sabda Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
”Sesungguhnya di Madinah ini ada jin yang  Islam. Sekiranya kamu melihat mereka (di rumah kamu), maka berilah amaran selama 3 hari. Sekiranya dia masih berada selepas ini (selepas tiga hari), bunuhlah dia kerana itu adalah syaitan.”
Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah memberi panduan kepada kita agar memberi amaran kepada kepada jin yang datang ke rumah kita supaya keluar, walaupun jin itu jin Islam. Mereka boleh melihat kita sedangkan kita tidak boleh melihat mereka. Kita tidak tahu apakah yang mereka lakukan dalam kediaman kita. Yang lebih membimbangkan ialah sekiranya jin tersebut jin kafir yang jahat. Justeru, perbuatan memagar rumah dengan meletak makhluk halus atas nama khadam atau penjaga rumah berlawanan dengan apa yang Nabi SAW tunjukkan.

Pandangan Islam Terhadap Amalan Memagar Rumah

Perbuatan memagar rumah atau membuat pendinding dengan menanam, menampal atau menggantung sesuatu seperti azimat, tangkal dan wafaq di dalam premis dengan kepercayaan bahawa ianya akan menjaga dan memelihara keselamatan penghuninya adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam. Terdapat dalil yang jelas berkenaan larangan ini. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Uqbah bin Amir al-Juhaniyy:

Rasulullah SAW telah didatangi oleh sepuluh orang lelaki. Maka Rasulullah SAW membai’ahkan sembilan dari mereka manakala seorang lagi ditahan. Mereka bertanya: ”Wahai Rasulullah, Tuan membai’ahkan sembilan dan menahan seorang?” Jawab Baginda  SAW: ”Ada tangkal pada lelaki itu.” Lelaki itu lantas memotong tangkalnya, maka dibai’ahkan dia oleh Rasulullah SAW seraya bersabda: Sesiapa yang mengantungkan tangkal, sesungguhnya dia telah menyekutukan Allah.”

Perbuatan memagar rumah ini juga sebenarnya akan menyebabkan rumah dan kediaman kita lebih mudah untuk dimasuki oleh jin dan syaitan yang jahat. Fakta ini boleh disimpulkan berdasarkan kisah Rasulullah SAW yang ternampak gelang tembaga yang di pakai seorang lelaki di lengannya. Lelaki itu mendakwa ianya tangkal untuk menguatkan tubuh. Lalu Rasulullah SAW bersabda:

“Buanglah segera, kerana ia hanya menambah kelemahan pada tubuhmu. Maka sesungguhnya jika engkau mati sedang engkau masih memakai tangkal itu nescaya engkau tidak akan mendapat kebahagiaan selama-lamanya”.
Justeru, perbuatan memagar rumah dengan cara yang bertentangan dengan Islam akan menyebabkan rumah kita semakin terdedah kepada ancaman jin dan syaitan.

Cara Memagar Rumah Menurut Islam

Sudah tentu kita akan berasa risau dan bimbang apabila mendapati terdapat gangguan dalam premis atau kediaman kita. Nabi Muhammad SAW telah mengajarkan kepada kita beberapa kaedah yang mudah dan berkesan.
Pertama, pastikan rumah kita bersih dari segala perkara khurafat dan syirik yang menghalang kedatangan malaikat rahmat. Perbuatan menggantung tangkal, azimat, wafaq, gambar atau patung yang dipuja merupakan perbuatan syirik. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud: ”Sesungguhnya jampi, tangkal dan tiwalah itu syirik.”

Kedua, kita perlu pastikan kediaman kita bersih dari patung-patung hiasan dan juga anjing. Malaikat tidak akan masuk ke rumah yang ada kedua-dua perkara ini. Sabda Nabi SAW dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:
“Suatu ketika Malaikat Jibril berjanji kepada Nabi yang mana dia akan datang menemui Nabi, tetapi dia tidak datang-datang. Dan kemudiannya dia (Jibril) memberitahu: “Kami dari golongan malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya mengandungi gambar (berupa makhluk bernyawa) atau anjing.”

Sebahagian ulama mentafsirkan perkataan anjing dalam hadis di atas merujuk kepada syaitan dan jin yang jahat. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Thalabah al Khisyni r.a.: “Jin terdiri dari tiga golongan: Golongan yang bersayap terbang di udara, golongan yang berupa ular serta anjing dan golongan yang menetap dan berpindah randah.” Perlu diketahui bahawa tangkal dan azimat serta pagar pendinding merupakan kediaman dan tumpuan jin. Selain itu, jin juga suka mendiami barang-barang pusaka yang ditinggalkan oleh seseorang yang diketahui mempunyai amalan khurafat seperti senjata atau barang perhiasan lama. Sekiranya kita mahu malaikat datang membawa rahmat ke dalam kediaman kita, maka kita perlu memastikan barang-barang yang menjadi sarang dan tempat tinggal jin itu dimusnahkan.

Ketiga, laungkan azan di premis atau kediaman kita. Melaungkan azan ketika pertama kali masuk rumah baru atau mana-mana premis bangunan yang telah lama ditinggalkan dan tidak dihuni oleh sesiapa. Menurut satu hadis Rasulullah s.a.w., sesebuah premis atau rumah yang ditinggalkan kosong tanpa penghuni akan dimasuki sejenis jin yang bernama al-’Ammar.

Apabila dilaungkan azan, syaitan yang berada di sekeliling kita akan melarikan diri. Imam al-Bukhari meriwayatkan satu hadis dari Abu Hurairah r.a katanya Nabi s.a.w bersabda: ”Apabila dikumandangkan azan untuk solat, syaitan lari terkentut-kentut sehingga tidak terdengar olehnya azan. Apabila muazzin berhenti, ia pun kembali. Begitu pula apabila qamat dibacakan, dia pun lari. Dan apabila iqamat telah selesai, dia datang kembali.” Imam Muslim dalam sahihnya: Dari Abu Sufyan dari Jabir beliau berkata aku mendengar Nabi SAW bersabda Sesungguhnya syaitan ketika ia mendengar seruan azan, ia lari hingga sampai ke Rauha.” Berkata Sulaiman, maka aku bertanya tentang Rauha. Maka ia menjawab ia adalah satu tempat yang terletak kira-kira 36 batu dari Madinah." Disarankan agar azan dilaungkan sebanyak 7 kali.

Yang keempat, bacalah al-Quran di rumah khususnya surah al-Baqarah. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Janganlah kamu jadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan Surah al-Baqarah.” Selain surah al-Baqarah, surah lain yang disarankan untuk dibaca ialah surah Yasin, ayat al-Kursi, surah al-Ikhlas, al-Falaq dan An-Nas.
Yang kelima ialah memperbanyakkan solat dan ibadah-ibadah sunat di rumah. Imam al-Baihaqi meriwayatkan satu hadis dari Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sinarilah rumahmu dengan memperbanyakkan solat dan membaca al-Quran.”
Justeru, berhati-hatilah apabila meminta seseorang membuat pagar pendinding rumah. Adakalanya kita berharap pada pagar untuk melindungi kita, padahal pagar itulah yang makan tuan. Yang terbaik, berharap kepada Allah dengan mengikuti apa yang telah diajar oleh RasulNya, pasti kita akan selamat.