TERUSKAN SEDEKAH WALAUPUN...

Posted in Laman Ilmu



Oleh : Encik Mohammad Faizal bin Baharuddin
Abu Hurayrah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; Ada seorang lelaki berkata, “Malam ini aku benar-benar akan bersedekah.” Lalu dia keluar membawa sedekahnya dan sedekahnya itu diserah ke tangan pelacur. Keesokan harinya, ramai orang berbicara bahawa malam tadi ada pelacur diberi sedekah.

Maka lelaki (yang memberi sedekah) itu berkata, “Ya Allah, bagiMu segala pujian kerana sedekahku jatuh ke tangan pelacur. Nescaya aku akan bersedekah lagi”

Dia pun keluar membawa sedekahnya lalu bersedekah kepada seorang yang kaya. Keesokan harinya orang ramai berbicara bahawa pada malam tadi seorang yang kaya diberi sedekah. Pemberi sedekah itu berkata, “Ya Allah, bagi-Mu segala pujian kerana sedekahku jatuh ke tangan orang kaya. Pasti aku akan bersedekah lagi”.

Lalu dia keluar untuk bersedekah. Kali ini sedekahnya jatuh ke tangan pencuri. Keesokan harinya ramai orang membincangkannya bahawa seorang pencuri telah diberi sedekah. Pemberi sedekah itu berkata,“Ya Allah, segala pujian bagi-Mu, sedekahku telah ditakdirkan jatuh ke tangan penzina, orang kaya dan pencuri.”

Kemudian lelaki itu didatangi malaikat seraya berkata, “Sedekahmu telah diterima oleh Allah. Adapun sedekahmu yang jatuh ke tangan pelacur, semoga dia berhenti dari perbuatan melacur. Yang jatuh ke tangan orang kaya, boleh jadi dia mengambil iktibar dan akan bersedekah pula. Yang jatuh ke tangan pencuri, semoga dia berhenti mencuri.”

Hadis direkod di dalam Sahih Muslim dalam Kitab Zakat. No 1698.

Subhanallah… inilah antara rahmat Allah yang termaktub dari perbuatan baik kita walaupun mungkin regunya tidak seperti yang kita harapkan. Kita merancang dan berniat, Allah juga merancang dan perancangan Allah itulah yang pasti berlaku dengan hikmah yang Dia sendiri lebih mengetahui.

Seseorang itu tidak menanggung dosa akibat perbuatan orang lain dan akan mendapat laba dari kebaikan yang diusahakannya.