Nikmat Mana yang kamu dustakan?

Posted in Laman Ilmu



Oleh : Ustaz Shahrul Nizam bin Md Ahir

KESELURUHAN surah di dalam kitab suci al-Quran itu dimulakan dengan pembacaan ‘Dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani’. Malah, hanya terdapat satu surah sahaja di dalam kitab suci tersebut yang tidak dimulakan dengan bacaan basmalah itu.

Allah mengulang-ulang perkataan ‘ar-Rahman’ di dalam al-Quran bagi menunjukkan betapa kasih sayang Allah kepada hambanya itu melebihi daripada segalanya. Kisah yang dibahaskan di dalam al-Quran menerusi Surah Maryam, tatkala datang seorang lelaki di hadapan Maryam ketika dia sedang bersujud di mihrabnya. Tatkala Maryam bangun daripada sujudnya dia terlihat akan seseorang muncul di hadapannya. Itulah Jibril, malaikat yang diutuskan Allah SWT untuk memberitahu tentang perihal zuriatnya.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran, “Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertakwa.” (Surah Maryam ayat 18)

Ketakutan Maryam itu dilafazkan dengan kata-kata ‘aku berlindung kepada ar-Rahman’. Mengapa Maryam memilih untuk menyebut ‘Ar-Rahman’?

Para ulama mentafsirkan tentang kegusaran Maryam yang keseorangan di dalam mihrabnya itu kerana Maryam benar-benar melihat Allah SWT. Oleh yang demikian, Maryam telah memperhambakan dirinya dengan menyatakan bahawa hanya Allah SWT tempat segala pergantungan dalam apa sahaja perkara yang dialaminya itu.

Begitu juga dapat dilihat menerusi kisah Nabi Yusuf AS, yang didatangi seorang wanita iaitu ‘Zulaikha’ yang menghampiri dirinya, Baginda tetap memilih perkataan ‘ar-Rahman’ sebagai pelindung kepada dirinya itu.

Firman Allah yang bermaksud, “Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: “Marilah ke mari, aku bersedia untukmu”. Yusuf menjawab: “Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya”. (Surah Yusuf ayat 23)

Kasih sayang Allah SWT melangkaui daya fikir manusia. Lihat, betapa Allah mengilhamkan waktu pagi untuk melihat; kemudian diteruskan ke tengah hari sehingga lewat malam. Betapa nikmat Allah melalui ‘ar-Rahman’ nya itu tiada upaya manusia menghitungnya.

Dalam Surah Maryam juga, diceritakan perihal Nabi Ibrahim as kepada bapanya yang mengingkari Allah SWT untuk mentaatinya.

Allah berfirman yang bermaksud, “Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang bahawa ayah akan kena azab dari (Allah) Ar-Rahman disebabkan ayah menyembah yang lainnya; maka dengan sebab itu akan menjadilah ayah rakan bagi syaitan di dalam neraka”. (Surah Maryam ayat 45)

Dalam satu analogi mudah, ‘jika manusia tidak mempunyai wang di dalam akaun banknya, tentulah pengeluaran wang itu tidak dapat dikeluarkannya.’ Begitulah dengan ar-Rahman Allah itu, dapat difahami bahawa, jika kita sebagai hamba tidak mentaati Allah SWT, bagaimana Allah SWT hendak menggunakan ar-Rahman-Nya itu untuk membantu kita.

Walaupun demikian, Rasulullah SAW sentiasa memperingatkan kita dengan sabda baginda, “Barangsiapa yang tidak menyayangi dia tidak akan disayangi.”

Oleh yang demikian, orang mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah SWT akan memikirkan secara mendalam tentang hal ar-Rahman Allah itu.

Dalam ayat yang lain Allah menyatakan “Sesungguhnya peringatan dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Quran serta ia takut (melanggar perintah Allah) Ar-Rahman semasa ia tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Tuhan. Oleh itu berilah kepadanya berita yang mengembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia. (Surah Yasin ayat 11)

Dalam susah atau senang, Allah SWT menyayangi hambanya itu lebih daripada segalanya. Malah, setiap kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh manusia yang bergelar hamba itu seringkali dihazafkan Allah SWT dengan ar-Rahman-Nya itu.

Firman Allah SWT lagi, Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesiapa yang berada di dalam kesesatan, maka biarlah (Allah) Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, – sama ada azab sengsara dunia ataupun azab kiamat, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya.” (Surah Maryam ayat 75)

Demikianlah beberapa ayat suci al-Quran yang memperihalkan tentang kasih sayang Allah SWT itu kepada manusia. Berdoalah kepada-Nya agar kita sentiasa mendapat keampunan melalui ar-Rahman Allah itu.

Sumber : Laman web Ustaz Muhamad Syaari Ab Rahman