KEPENTINGAN MASJID MEMPERKASA LEGASI UMMAH

Posted in Laman Ilmu

1.0         Pengenalan

Masjid merupakan rumah ibadah bagi umat Islam dalam mengerjakan solat dan majlis keagamaan serta pusat aktiviti sosial umat Islam. Masjid adalah sebuah institusi ibadah yang sepatutnya berkembang sejajar dengan arus perkembangan zaman dan memainkan peranan di dalam kehidupan masyarakat Islam sebagai sebuah institusi membina kemajuan ummah. Mengimarahkan masjid pula adalah tugas yang berkait rapat dengan konsep kejadian manusia untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Justeru itu, setiap individu Muslim seharusnya menunjukkan iltizam supaya memastikan pengurusan masjid berfungsi sebagai pusat ibadah dan pembangunan ummah. Selain itu, pentadbiran dan pengurusan masjid perlulah dikemaskini terutamanya mekanisme yang bercirikan profesionalisme dalam segenap sistem pengurusan dan pentadbiran masjid. Ini adalah kerana pembangunan dan kecemerlangan ummah bermula dari sejauhmana berkesannya penggerak dalam melaksana pengurusan masjid.
 
2.0      Latar Belakang

Seperti yang kita fahami bahawa sejak zaman Rasulullah SAW, masjid bukan terhad tempat ibadah semata-mata tetapi merupakan pusat kegiatan dakwah Islam yang luas. Ketika Rasulullah SAW dan para sahabatnya berhijrah dari kota Makkah ke Kota Madinah, baginda singgah di suatu tempat yang dikenali sebagai Quba’. Disinilah Rasulullah SAW membangunkan sebuah Masjid yang diberi nama Masjid Quba’ iaitu Masjid terawal yang telah dibina pada zaman Rasulullah SAW dan begitu juga ketika sampai di Madinah, Rasulullah membangunkan Masjid Nabawi. Ini semua menunjukkan bahawa Masjid mempunyai kedudukan yang tinggi bagi umat Islam.
Di zaman Rasulullah SAW Masjid menjadi tempat untuk meningkatkan iman para sahabatnya. Dalam masa yang sama, Masjid juga digunakan sebagai tempat pembelajaran dan pengajian Islam. Allah SWT berfirman dalam al-Quran :

 
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللهِ مَنْ آمَنَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلا الله َ فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ
 
Maksudnya :
“Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat, dan tidak takut kepada siapapun selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk.”                                                                              
                                                                                                                       (Surah al-Taubah : 18)
 
Memakmurkan masjid mempunyai kesan positif bagi pembinaan masyarakat dalam rangka peningkatan kualiti hidup masyarakat dan negara. Oleh kerana itu setiap Muslim harus berperanan dalam memakmurkan masjid sebagaimana firman Allah di atas. Konsep terawal masjid adalah tempat untuk beribadah kepada Allah SWT. Namun begitu, dari masa ke semasa ia berubah kepada banyak fungsi dan peranan dalam menerangkan apakah fungsi sebenar sesebuah masjid dalam Islam serta umat Islam di seluruh dunia. Di Malaysia, sejarah kewujudan masjid juga dapat dilihat sebagai sebuah tempat penting di Zaman Kesultanan Melayu Melaka di mana masjid dan juga surau memainkan peranan sebagai pusat pembelajaran dan juga penyebaran agama Islam. Tambahan lagi, pengertian sebenar masjid serta fungsi masjid memainkan peranan yang penting di sesebuah kawasan bagi menjalankan ibadah dan juga pengabdian sebagai seorang hamba terhadap penciptaNya.
Dalam rangka meningkatkan fungsi masjid sebagai tempat ibadah dan dakwah bagi umat Islam, maka kita perlu mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW dengan menjadikan Masjid sebagai tempat penyebaran ilmu dan tempat untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama insan. Dari Masjidlah Rasulullah SAW membina masyarakat baru Madinah. Ahli Suffah adalah antara golongan yang terbit dari kesedaran fungsi masjid. Mereka banyak mengambil manfaat dari ajaran Rasulullah ketika itu. Peluang yang mereka gunakan dengan tinggal di bahagian penjuru masjid, dijadikan sebagai kesempatan untuk menghafal hadis-hadis Rasulullah SAW. Abu Hurairah adalah salah seorang dari ratusan Ahli Suffah yang banyak meriwayatkan hadis dibandingkan dengan sahabat yang lain. Tradisi menjadikan Masjid sebagai pusat ilmu pengetahuan ini diteruskan oleh para Ulama’ dalam mengembangkan risalah Islam setelah wafatnya Rasulullah SAW.
 
Di era moden pada masa kini, kita mempunyai peranan yang cukup besar untuk memakmurkan Masjid. Memakmurkan Masjid mempunyai dua pengertian iaitu Hissi dan Maknawi. Hissi bererti membangun Masjid secara fizikal, membersihkannya, melengkapi dalam pelbagai sudut. Sedangkan memakmurkan Masjid secara maknawi adalah mengimarahkan Masjid dengan solat berjemaah, membaca al-Quran, iktikaf, dan ibadah yang lain serta lebih-lebih lagi menjadikan Masjid sebagai pusat kegiatan dan pengembangan intelektual masyarakat. Disamping itu, kita harus mempromosikan Masjid sebagai wadah penyatuan umat Islam serta menghidupkan kembali peranan Masjid dengan segala macam aktiviti keagamaan dan sebagainya yang masa telah terbukti membawa umat Islam ke puncak peradaban teragung pada suatu ketika.
 
3.0         Cabaran Terhadap Sasaran Dakwah Masa Kini

Dunia di ambang abad ke-21 ini kian hari kian mendedahkan bermacam – macam isu yang tidak terjangkau dek akal fikiran generasi Y kala ini di mana berlakunya berbagai gejala negative dalam masyarakat kerana sukar untuk hidup disebabkan oleh kegawatan ekonomi. Ada juga yang membunuh diri kerana perginya manusia pujaan, murtad kerana mengikut kekasih dan menukar nama kepada nama – nama  yang bukan Islam. Disamping itu tidak kurang pula yang melakukan zina secara terang-terangan, meminum arak dan sebagainya.
Kuasa – kuasa besar dunia pula tidak henti–henti mengancam dan memberi amaran kepada sebahagian Negara Islam agar tunduk kepadanya dengan menyombong diri sebagai AKULAH PENGUASA DUNIA atau AKULAH TUHAN dengan sikap semacam mengongkong umat Islam dan juga terhadap mereka yang masih kuat hubungannya dengan Allah. Dalam masa yang sama fahaman sekular semakin meresap ke dalam hati sebahagian umat Islam yang hampir putus hubungannya dengan Allah.

Pengembang-pengembang Kristian dan lain-lain agama turut mengganggu suasana dengan penyebaran risalah dan kitab-kitab suci secara percuma. Manakala kemasukan pendatang asing juga menjadi isu besar mempengaruhi corak budaya masyarakat. Mereka bukan sahaja datang untuk mencari pekerjaan tetapi juga membawa unsur–unsur negatif dan bahan–bahan yang meracuni budaya dan pemikiran umat Islam.
Dr. Abd. Rahman Abd. Khaliq dalam bukunya, Ilhad pernah menulis bahawa sesungguhnya belia-belia Islam kita hari ini telah terikut-ikut dengan ajakan kekufuran yang palsu, ilhad zindiq. Keadaan ini telah merobohkan kita daripada status sesuatu umat yang memerintah kepada umat yang diperintah yakni umat yang dicengkam dan umat yang boleh dipergunakan.
Maka, terbinanya Masjid di Negara kita kini mudah-mudahan sedikit sebanyak menjadi platform menarik minat golongan-golongan muda terutamanya untuk kembali kepada Allah membina pemikiran strategik.
 
4.0      Matlamat Dan Peranan Masjid

Masjid merupakan tempat ibadah kaum muslimin yang mempunyai peranan tertentu untuk kemajuan peradaban umat Islam. Sejarah telah membuktikan multi fungsi masjid berabad lamanya bermula dari zaman Rasulullah SAW. Menelusuri sirah, kita dapat melihat bahawa Nabi Muhammad SAW bukan sahaja menjadikan Masjid Nabawi sebagai pusat ibadah, malah juga sebagai pusat pemerintahan dan pentadbiran Negara Islam Madinah. Masjid Nabawi menjadi nadi pergerakan Islam, penggerak aktiviti masyarakat, malah tempat rakyat menuntut hak dan keadilan. Masjid Nabawi juga turut berperanan sebagai pusat kebajikan, gedung ilmu serta pusat hubungan dengan Allah dan manusia sesama manusia. Dengan fungsi-fungsi tersebut, terbukti Rasulullah SAW telah berjaya menggambarkan kesempurnaan dan keindahan Islam sebagai al-Deen (cara hidup) melalui fungsi-fungsi komprehensif yang dijana oleh institusi Masjid. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa masjid bukan sahaja tempat untuk melakukan solat, bahkan mempunyai peranan yang lebih luas atau boleh dibiaskan sebagai suatu tempat untuk  menyebarkan dakwah dari segenap aspek dan sudut kerohanian kepada masyarakat.

Firman Allah SWT :

” Dan hendaklah takut kepada Allah, orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuwatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu mereka bertaqwa kepada Allah dan hendaklah mengucapkan perkataan yang benar”
( Surah al-Nisa’ : 9 )

Perkembangan remaja masjid dan masyarakat setempat mampu menjadi sebagi penerus cita-cita dan perjuangan Islam dan sekaligus sebagai mendidik umat. Sudah tentu keberadaan kita saat ini adalah bergantung kepada kemampuan kita dalam meningkatkan pembinaan dan perkembangan daya insani dan potensi dalam rangka mempersiapkan harapan untuk masa depan umat. Berdasarkan firman Allah di atas, Allah telah mempertegas tanggungjawab kita dalam usaha mempersiap dan meningkatkan peranan masyarakat khususnya remaja yang dididik melalui institusi masjid sebagai latihan kepimpinan umat yang lahir dari pendidikan dan ilmu yang mantap dan keberkesanan dakwah yang berkesan.
Di antara matlamat yang digariskan untuk tujuan ini adalah :
  • Menjelaskan kepada umat Islam bahawa mempraktikkan Agama Allah adalah penting dalam kehidupan seharian agar tidak terpesong dari ajaran Islam yang sebenarnya.
  • Mendedahkan akan bahayanya ideologi barat  ini jika ianya tidak dibendung dari peringkat awal.
  • Memberi penjelasan tentang peranan masjid yang sebenar iaitu sebagai medium pencetus ummah dalam menyebarkan dakwah Islamiyah.
  • Menyedarkan umat Islam bahawa tanggungjawab mereka sangat besar dalam menangani masalah ini kerana mereka adalah pendakwah secara tidak langsung.
  • Menarik minat golongan muda untuk sentiasa berjemaah dan dekat dengan masjid.
 
5.0         Aktiviti Masjid UMP Dalam Memperkasa Agenda Dakwah
 
Secara tuntasnya, Masjid UMP bukan sahaja dilihat sebagai tempat beribadat dan membaca al-Quran tetapi sebagai pusat kegiatan masyarakat dalam aspek pendidikan, kemasyarakatan, kebajikan serta untuk kepentingan dan pertemuan bagi orang Islam. Masjid ini juga berperanan sebagai sumber pertumbuhan tunas-tunas Islam selanjutnya memantapkan lagi fungsi tradisi masjid sebagai pusat dakwah, pembangunan ilmu dan sains Islam. Namun, bagaimanakah fungsi masjid ini dapat digarapkan secara sempurna agar seluruh generasi muslim mendapat kemanfaatannya. Atas inisiatif itu, Masjid UMP mengambil peranan melaksanakan program-program dakwah seperti :-
 
  • Program pengisian rohani berbentuk tazkirah, kuliah dan ceramah perdana
  • Sambutan hari kebesaran Islam
  • Program Belia
  • Program Pengukuhan Sahsiah dan Organisasi
  • Kursus Asas Hal Ehwal Islam
  • Program Kemasyarakatan
 
6.0         Kesimpulan

Merujuk kepada peranan dan matlamat yang telah dijelaskan, peranan Masjid dalam pengembangan dakwah terhadap masyarakay Islam diharap dapat menarik ramai lagi umat untuk mengimarahkan masjid sebagai platform penyatuan ummah dan ekonomi umat Islam.