TERUSKAN SEDEKAH WALAUPUN...

Posted in Laman Ilmu



Oleh : Encik Mohammad Faizal bin Baharuddin
Abu Hurayrah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; Ada seorang lelaki berkata, “Malam ini aku benar-benar akan bersedekah.” Lalu dia keluar membawa sedekahnya dan sedekahnya itu diserah ke tangan pelacur. Keesokan harinya, ramai orang berbicara bahawa malam tadi ada pelacur diberi sedekah.

Maka lelaki (yang memberi sedekah) itu berkata, “Ya Allah, bagiMu segala pujian kerana sedekahku jatuh ke tangan pelacur. Nescaya aku akan bersedekah lagi”

Dia pun keluar membawa sedekahnya lalu bersedekah kepada seorang yang kaya. Keesokan harinya orang ramai berbicara bahawa pada malam tadi seorang yang kaya diberi sedekah. Pemberi sedekah itu berkata, “Ya Allah, bagi-Mu segala pujian kerana sedekahku jatuh ke tangan orang kaya. Pasti aku akan bersedekah lagi”.

Lalu dia keluar untuk bersedekah. Kali ini sedekahnya jatuh ke tangan pencuri. Keesokan harinya ramai orang membincangkannya bahawa seorang pencuri telah diberi sedekah. Pemberi sedekah itu berkata,“Ya Allah, segala pujian bagi-Mu, sedekahku telah ditakdirkan jatuh ke tangan penzina, orang kaya dan pencuri.”

Kemudian lelaki itu didatangi malaikat seraya berkata, “Sedekahmu telah diterima oleh Allah. Adapun sedekahmu yang jatuh ke tangan pelacur, semoga dia berhenti dari perbuatan melacur. Yang jatuh ke tangan orang kaya, boleh jadi dia mengambil iktibar dan akan bersedekah pula. Yang jatuh ke tangan pencuri, semoga dia berhenti mencuri.”

Hadis direkod di dalam Sahih Muslim dalam Kitab Zakat. No 1698.

Subhanallah… inilah antara rahmat Allah yang termaktub dari perbuatan baik kita walaupun mungkin regunya tidak seperti yang kita harapkan. Kita merancang dan berniat, Allah juga merancang dan perancangan Allah itulah yang pasti berlaku dengan hikmah yang Dia sendiri lebih mengetahui.

Seseorang itu tidak menanggung dosa akibat perbuatan orang lain dan akan mendapat laba dari kebaikan yang diusahakannya.



Bagaimana cara untuk menahan marah dan menghapuskan dendam?

Posted in Laman Ilmu



Oleh : Puan Nor Hidayani binti Abdullah
 
Dendam adalah rasa marah yang kita simpan jauh dalam hati, sehingga merosakkan hati kita sedikit demi sedikit.

“Aku benci dia”
“Aku tidak mahu tengok muka dia lagi”
“Aku tidak akan sesekali maafkan dia”
“Aku akan buat dia rasa apa yang aku rasa”

Pernah atau tidak terlintas ungkapan-ungkapan di atas meniti di bibir kita atau berkunjung di benak hati dan fikiran kita?
Jika ya, apakah sebenarnya perasaan kita ketika itu? Marah? Benci? Sedih?
Jika tidak, syukurlah kerana jiwa kita bebas daripada belenggu dendam. 
Perasaan dendam membuatkan kita tidak senang hati.

Mendengarnya sahaja sudah membuat jiwa resah dan terusik. Pasti pelbagai perasaan dirasa yang sudah tentunya berbaur negatif. Dendam itu memakan jiwa, merosakkan rasa dan menyesakkan diri.
Seseorang yang menyimpan dendam pasti berada dalam keadaan tidak senang hati. Mereka merasakan semua serba tidak adil dan perlukan tindakan untuk menuntut bela.Sementalah ungkapan bibir dan hati terus mengucapkan kata-kata yang tidak enak didengar.

Sifat dendam sangat berkait dengan perasaan marah. Sebagai manusia sememangnya kita dikurniakan pelbagai perasaan.Rasa gembira, sedih, kecewa, teruja, marah dan pelbagai lagi. Perasaan ini sering berubah-rubah. Namun, perasaan ini perlu ada untuk mencorakkan kehidupan kita.

Dari Abu Hurairah r.a:

“Sesungguhnya seseorang bertanya kepada Rasulullah s.a.w : Ya Rasulullah nasihatilah saya. Beliau bersabda: Jangan kamu marah. Dia menanyakan itu berkali-kali. Maka baginda bersabda, Jangan engkau marah”.
Seseorang yang dalam keadaan marah, emosinya terganggu, fikirannya celaru dan hilang pertimbangannya. Ketika itulah percakapannya mendahului apa yang difikirkan oleh akalnya.Seperti melepaskan lelah yang panjang. Tanpa berfikir semua kata-kata yang dilontarkan kepada individu yang dimarahinya begitu menyakitkan.

Imam Ghazali pernah bertanyakan kepada anak-anak muridnya:

“Apakah yang paling tajam sekali di dunia ini?”
Mereka menjawab: “Pedang”

Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa yang paling tajam sekali di dunia ini adalah lidah manusia. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.
Benarlah sabda Nabi Muhammad s.a.w

“Amal yang paling dicintai Allah s.w.t adalah menjaga lisan”
(Hadis riwayat Baihaqi)

Maha Kuasa Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik penciptaan. Cukup sempurna ciptaan Allah.Antara kekuasaan Allah dapat dilihat dalam penciptaan anggota badan manusia. Sungguh setiap ciptaan Allah itu tidak sia-sia dan pasti ada hikmahnya.Allah menciptakan manusia dengan dua telinga dan satu mulut supaya kita lebih banyak mendengar daripada berbicara. 

Bagaimanakah cara untuk menahan marah?

Rasulullah s.a.w bersabda:
“Apabila salah seorang dari kamu marah, dan ketika itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring”
(Hadis riwayat Muslim)

“Sesungguhnya marah itu dari syaitan. Syaitan itu dijadikan daripada api. Maka apabila kamu marah hendaklah kamu berwudhuk”
(Hadis riwayat Adu Daud)

Apabila kita hendak marah, segeralah beristighfar sehingga hilang perasaan marah tersebut.Diam seketika, sabar. Kemudian, fikirkan tentang perkara tersebut. Adakah berbaloi untuk melontarkan kemarahan?
Jika terlanjur melepaskan kemarahan, segeralah beristighfar. Mohonlah keampunan daripada Allah s.w.t dan kekuatan untuk menghadapi situasi tersebut walaupun perit.

Menahan marah adalah salah satu jalan mendapat ketenangan hati

Sabda Rasulullah s.a.w
“Mahukah kamu aku beritahukan perkara yang dengannya Allah memuliakan seseorang dan mengangkat darjat ketinggiannya? Mereka menjawab, ‘Bahkan ya Rasulullah’. Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Berlemah-lembutlah terhadap orang yang mengetahui kamu, maafkanlah orang yang menzalimi kamu, berikanlah kepada orang yang tidak pernah memberi kepada kamu dan hubungkanlah silaturrahim dengan orang yang memutuskan silaturrahim dengan kamu”
(Hadis riwayat At-Tabrani dan Al-Bazzar)

Seseorang yang memaafkan kesalahan orang lain, sebenarnya sedang membantu memperbaiki dirinya untuk menjadi lebih baik.

Malah dia akan dihormati dan disayangi oleh orang sekelilingnya. Ingatlah sifat dendam dan marah itu jika dibiarkan bersarang di dalam diri pasti menghitamkan hati.

Jadi bersihkanlah ia dengan kata-kata maaf, redha dan taubat kepada Illahi.

Buangkanlah sifat pemarah dan dendam ini dalam diri kita agar hidup kita sentiasa tenang.

Marah itu nafsu. Raihlah ganjaran menahan marah

Sesungguhnya orang yang dapat menahan marah itu adalah individu yang hebat dan akan dikurniakan ganjaran yang lumayan daripada Allah s.w.t.

“Bukanlah orang yang kuat itu yang dapat membanting lawannya, kekuatan seseorang itu bukan diukur dengan kekuatan tetapi yang disebut orang kuat adalah orang yang dapat menahan nafsunya pada waktu marah”.
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

“Barangsiapa yang menahan marah, padahal ia mampu untuk melampiaskannya, maka Allah akan menyerunya di hadapan seluruh makhluk pada hari kiamat, hingga ia dipersilakan oleh Allah Taala untuk memilih bidadari yang ia sukai”.
(Hadis riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi)

Anda akan menjadi manusia yang cukup kuat apabila dapat memaafkan
Belajarlah mendidik diri untuk mengawal kemarahan.Jangan wujudkan walau sedikit pun perasaan dendam dalam diri kita. Dengan memaafkan orang lain bererti anda cukup kuat untuk bisa memahami bahawa manusia tidak sempurna dan bisa berbuat salah.

Dengan memaafkan juga langkah anda menjadi ringan dalam meraih impian.Sudahkah kita bersedia memperbaiki diri? Jom jadi pemaaf.
 


MERAIH REDHA ALLAH

Posted in Laman Ilmu



Oleh : Ustazah Nurul Fatihah binti Abdul Rahman
BERBAKTI kepada kedua ibu bapa adalah antara tanggungjawab yang wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam. Perintah mentaati keduanya adalah antara hak yang penting setelah menunaikan hak Allah Subhanahu Wata'ala dan Rasul-Nya. Perintah tersebut dijelaskan dalam beberapa ayat dalam Al-Qur'an antaranya dalam Surah Al Israa', ayat 23 yang tafsir-Nya: 

"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dengan sebaik-baiknya." Ini bermakna taatnya anak kepada orang tua dalam perkara-perkara ma'ruf merupakan bahagian daripada mentaati Allah dan Rasul-Nya.
Justeru itu, pengorbanan kedua ibu bapa jelas termaktub dalam Surah Luqman, ayat 14, tafsir-Nya: "Dan Kami memerintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya, ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan tempoh menghentikan penyusuannya dalam dua tahun, (dengan demikian): "Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu. Kepada Aku jualah tempat kembali."

Oleh itu, redha Allah S.W.T. adalah terletak pada redha ibu bapa kita. Kalau ibu bapa kita marah atau kecil hati dengan kita, maka jawabnya susah lah hidup kita. Bukan hanya di dunia kita tak selamat (tiada keberkatan), malah lebih teruk nasib kita di akhirat nanti.

Namun berbakti kepada kedua ibu bapa tidaklah hanya pada masa kehidupan mereka tetapi ianya hendaklah berterusan walaupun setelah mereka meninggal dunia. Anak-anak masih boleh menyumbangkan bakti dengan pelbagai amalan seperti menyedekahkan pahala bacaan doa dan Al-Qur'an, memperbanyakkan istighfar, bersedekah, membayar segala hutang piutang serta melaksanakan semua wasiat yang mereka tinggalkan selagi wasiat tersebut tidak bercanggah dengan hukum syara'. Sesungguhnya doa anak yang soleh akan terus-menerus sampai kepada kedua ibu bapanya yang berada di alam kubur. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Israa', ayat 24 yang tafsir-Nya: "Dan hendaklah engkau merendah diri dengan penuh kasih sayang dan berdoalah (untuk keduanya) : "Ya Tuhan! Kurniakanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidik ku dari kecil (lagi)."
 
 
Berikut merupakan antara 10 bakti /kebaikan yang boleh anda lakukan untuk ibu bapa anda :
  1. Menghulurkan bantuan kewangan @ material

Ada ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Jika bekerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.
Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.
 
  1. Menyediakan tempat tinggal

Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal atau tidak sesuai untuk didiami, menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal lebih sesuai kepada ibu bapa.Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan dengan baik.
 
  1. Memberi kasih sayang

    Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini dicurahkan ibu bapa. Jadi, seharusnya kasih sayang itu dibalas sebaik-baiknya.
    Anak yang baik tidak melupakan jasa dan kasih sayang ibu bapa. Anak soleh sentiasa memohon kepada Allah S.W.T. agar ibu bapa mereka diberkati dan dicucuri rahmat. Firman Allah S.W.T. bermaksud :
    "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil."(Surah al-Isra, ayat 24)
 
  1. Memberi perhatian

Ibu bapa yang diabaikan akan kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan seperti tidak dipedulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan. Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa. Ramai ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke rumah penjagaan orang tua. Sukar diterima akal anak mendakwa tidak mampu menjaga ibu bapa, sedangkan mereka mampu menjaga dan membesarkan beberapa anak.
 
  1. Memenuhi permintaan

Ibu bapa sering memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa. Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat dan seumpamanya.

Malah, keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama daripada berjihad di medan perang. Diriwayatkan daripada Bukhari dan Muslim, Ibnu Umar berkata : Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. : "Apakah perbuatan disukai oleh Allah?" Lalu Baginda S.A.W. bersabda : "Sembahyang pada waktunya." "Kemudian apa?", tanya saya lagi. Baginda S.A.W. menjawab : "Berbakti kepada kedua ibu bapa." Saya bertanya, "Apa lagi?" Jawab Baginda S.A.W. : "Berjihad pada jalan Allah."
 
  1. Melakukan apa yang disukai

Ibu bapa tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka. Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka. Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat. Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud ;"Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa." (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud: "Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa. Maka, sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati."
 
  1. Bercakap dengan lemah lembut

Satu cara menjaga perasaan ibu bapa adalah bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara hendaklah direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka.

Firman Allah S.A.W. bermaksud:
"Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah S.A.W., dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua-dua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi, berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut." (Surah al-Israk, ayat 23).
Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan keadaan sebenar.
 
  1. Menghadiahkan kejayaan

    Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan, dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu bapa. Ibu bapa dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan itu.
 
  1. Meluangkan masa bersama-sama

    Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi mereka. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya.
  2. Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa
Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan walaupun mereka meninggal dunia.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
"Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya." (Hadis riwayat Muslim). Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil. Anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya.

Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa sebaik mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia.


MENGAPA SUKAR MEMAAFKAN?

Posted in Laman Ilmu



Oleh : Ustazah Siti Nazira binti Hazudin
 
 
MAAF
Kebahagiaan atau penderitaan tidak perlu mencari siapa yang bersalah, atau yang menyebabkan hidup anda menderita. Anda harus mampu memaafkan orang lain  yang telah menyakiti hati anda. Mohonlah keampunan kepada Allah untuknya dan sikap itu membuatkan anda termasuk orang yang diberikan rahmat oleh Allah. Jika  anda disakiti bererti anda sedang teraniaya. Orang yang teraniaya adalah orang yang sedang diuji sekali gus diberikan kemudahan oleh Allah. Allah memberikan dua  pilihan membalas perbuatannya atau memaafkan. Jika anda tidak membalas tetapi bersabar dan memaafkan orang yang telah menyakiti anda maka Allah akan memberikan  ampunan dosa-dosa anda dan Allah menganugerahkan kepada anda kehidupan yang lebih sihat, indah dan membahagiakan.
Pilihan terletak di tangan anda. Jika anda memilih kebahagiaan, kemaafan adalah sesuatu yang indah sebaliknya jika anda lebih suka berdendam, jiwa anda tidak  kan damai dan sentiasa sesak seolah-olah ada yang menusuk di dada. Di dalam al-Quran, terdapat begitu banyak ayat-ayat tentang sifat yang mulia ini. Antaranya ialah:  mendapat keampunan daripada Allah SWT. “..hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”. (An-Nuur [24] : 22)  Mendapat redha Allah SWT. “...sesiapa yang  memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (atas tanggungan Allah dengan diberi balasan yang  sebaikbaiknya).  Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim”. (Asy-Syura [42] : 40)
Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh (jahil atau tidak mengetahui)
(Surah Al- A’raf 7: Ayat 199)
Nabi s.a.w bersabda, “Tidaklah seorang itu suka memaafkan, melainkan dia akan semakin mulia.” [HR Muslim]
“Orang yang paling sabar di antara kamu ialah orang yang memaafkan kesalahan orang lain padahal dia berkuasa untuk membalasnya.” (Riwayat Ibnu Abiduyya dan Baihaqi)
 
Lupakan segalanya
 
Setelah memaafkan, jangan peduli apa yang telah berlaku sebaliknya teruskan perjalanan hidup anda dengan melupakan segala yang berlaku dan anggaplah ia satu pengalaman indah dalam hidup. Ingatlah, pasti ada yang lebih baik dalam aturan Allah di perhentian masa depan, jika tidak terus melangkah anda tidak akan sampai ke perhentian itu! Rancangan Allah maha sempurna, jangan calitkan dengan sedikit keraguan pun. Berdoalah agar diberi kekuatan, gantikan tangisan dengan senyuman dan ujian yang diberikan sebagai kekuatan untuk terus melangkah dan lebih dekat kepada- Nya. Sedarilah sesungguhnya, tiada yang lebih mengerti perasaan anda melainkan Allah SWT. Tiada yang lebih dekat dengan anda melainkan Allah jua. Maka mintalah dan mengadulah segalanya dalam sujud  kepada-Nya. luahkan segala yang terbuku di dalam dada dan berserahlah kepadanya. Insya-Allah segala yang sukar akan dipermudahkan.
Namun, kemaafan haruslah dengan keikhlasan kerana tanpanya anda masih terasa buntu dalam menemui erti ketenangan sebenar. Muhasabahlah. Mungkin tanpa disedari ketika bibir laju memohon keampunan, kemaafan masih belum dihulur. Jadi bagaimana ketenangan dinikmati andainya masih lagi berbekas rasa marah dalam hati. Anda ingin  Allah mengampunkan dosa, tetapi anda lupa memberi maaf pada mereka yang bersalah, membuat mereka terluka.
Memaafkan bukan mudah selagi anda  bernama  manusia yang fitrahnya berteman khilaf, selalu kalah dengan ujian Allah SWT. Tidak mahu mengaku kalah sedangkan Allah lebih menyukai mukmin yang kuat  berbanding mukmin yang lemah. Anda juga kita terlupa yang menggerakkan sesuatu itu adalah Allah. Hati manusia seperti saya, seperti dia, seperti semua, dipegang oleh Allah. Tiada satu pun yang akan terjadi tanpa izin dari-Nya. Setiap sesuatu, telah dirancang Allah  sebaiknya. Baik atau buruk hanyalah di mata kita, manusia yang terhijab dari segala kebaikan yang Allah telah aturkan. Jangan ingat yang membuatkan anda terluka itu kejam, sebaliknya anda lebih zalim kerana tidak mahu memaafkan.
Sedangkan Allah SWT, pemilik seluruh langit dan bumi, sedia mengampunkan hambanya sebagaimana sering ditegaskan dalam al-Quran bahawa Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Mengapa anda sukar untuk memaafkan  sedangkan kita hamba yang begitu kerdil dan tidak lepas daripada melakukan dosa? Ingatlah, jalan ke syurga itu tidak mudah. Mahu ke syurga itu perlu diselangi  dengan jerih payah. Maka, mengapa harus kita mengeluh kesah? Percayalah, apabila memaafkan maka perlahan-lahan rasa itu pasti datang, tenang, damai dan lapang. Bila mana tangan ditadah, lalu memaafk an setulus hati, dapat dirasakan hati bersorak girang. Hati terasa bebas daripada dendam dan amarah kerana tidak lagi menangisi sesuatu yang telah terjadi.
 


PERSAHABATAN SETEGUK AIR

Posted in Laman Ilmu



Oleh : Ustaz Ku Mohamad Aminuddin Baki bin Ku Yakub
 Ketika pembebasan Makkah, Ikrimah bin Abu Jahal termasuk dalam kalangan orang yang di jatuhkan hukuman mati. Walau bagaimanapun, atas sifat pemaaf Rasulullah, Ikrimah yang kala itu sempat melarikan diri, akhirnya diampuni.

            Kemudian Rasulullah berkata di hadapan para sahabat, “Ikrimah bin Abu Jahal akan datang ke tengah-tengah kalian semua sebagai mukmin dan muhajir.”

            Tidak berapa lama kemudian, Ikrimah dan isterinya tiba. Di hadapan Rasulullah, Ikrimah mengucapkan dua kalimah syahadah.

            Sesudah itu, Ikrimah berkata, “Demi ALLAH, tidak ada satu sen pun wang yang telah saya keluarkan untuk menghapuskan Islam, melainkan saya tebus mulai saat ini dengan mengorbankan harta berlipat ganda demi Islam. Tidak ada seorang pun Mukmin yang gugur di tanganku, melainkan akan saya tebus dengan membunuh kaum Musyrikin berlipat ganda.”

            Ikrimah menepati segala kata-katanya itu. Selepas memeluk Islam, dia menjadi seorang yang rajin beribadah. Seringkali dia menangis dengan linangan air mata merenungi ayat-ayat suci Al-Qur'an yang dibacanya. Kemudian dia bersama-sama dalam setiap pasukan perang kaum Muslimin dan berada di barisan paling depan.

            Ketika terjadi perang Yarmuk, Ikrimah berperang bersungguh-sungguhnya seperti dirasuk syaitan. Melihat tindakan itu, Khalid bin Walid yang menjadi panglima pasukan segera mengejarnya.

“Ikrimah, janganlah engkau berkelakuan seperti orang bodoh. Kematianmu adalah satu kerugian besar bagi kaum Muslimin,” Khalid berkata.

            Ikrimah tidak mempedulikan kata-kata Khalid itu lalu berkata, “Biarkan saya. Saya mahu menebus dosa-dosa yang telah lalu. Saya telah memerangi Rasulullah dalam beberapa peperangan sebelum ini. Bolehkan saya lari dari tentera Rom ini setelah masuk Islam? Tidak! Sekali-kali tidak!”

Kemudian ia berteriak, "Siapakah yang berani mati bersama saya?"

            Beberapa orang segera melompat ke samping Ikrimah dan terus maju ke depan, menghalau pasukan lawan yang menghampiri. Akhirnya, mereka berhasil mengalahkan tentera Rom dengan kemenangan yang gemilang.

            Pada akhir pertempuran di bumi Yarmuk, Al-Harits bin Hisyam, Ayyasy bin Abi Rabiah, dan Ikrimah bin Abu Jahal terkapar dalam keadaan lemah dengan luka parah. Al-Harits meminta air untuk diminum. Ketika air didekatkan ke mulutnya, ia melihat Ikrimah dalam keadaan sama seperti yang dia alami. Lalu Al-Harith berkata, “Berikan dahulu air ini kepada Ikrimah!”

            Ketika air didekatkan ke mulut Ikrimah, dia melihat Ayyasy memandang kearahnya. Melihat keadaan Ayyasy, Ikrimah berkata, “Berikan dahulu air ini kepada Ayyasy!”

            Ketika air minum didekatkan ke mulut Ayyasy, dia telah meninggal. Orang yang membawa air minum segera kembali ke arah Harits dan Ikrimah, namun kedua-duanya telah meninggal. Allahuakbar !!!

 

Sumber : https://www.facebook.com/HCDKT/posts/135984726590119