ANDA TANYA USTAZ JAWAB BERSAMA DAIE AMMAR



UMP Pekan, 27 Mac 2015
- Program Anda Tanya Ustaz Jawab telah berlangsung dengan jayanya bertempat di DK300, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UMP Pekan. Pada kali ini, Pusat Islam & Pembangunan Insan dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE) telah mempererat lagi hubungan dengan menampilkan penceramah selebriti iaitu Da’ie Ammar bin Ismail yang merupakan Finalis Da’ie Pendakwah Millenia  TV3 musim kedua.

Program yang dihadiri seramai 123 orang peserta ini telah dihidangkan dengan kupasan tajuk Selangkah Ke Syurga Selangkah ke Neraka. Pada sesi pertama, moderator mengajukan beberapa persolan yang berkaitan tentang tajuk yang dikupas. Pada sesi kedua, para hadirin diberi peluang mengajukan persoalan-persoalan sesuai dengan konsep program.

Program berakhir dengan penyerahan cenderahati kepada penceramah jemputan yang disampaikan oleh Dr. Mahyuddin Ismail, Pengarah PIMPIN. 


PIMPIN ANJUR SEMINAR PENGURUSAN PUSAKA, WASIAT & HIBAH



Universiti Malaysia Pahang, 24 Mac 2015 – 
Bertempat di Dewan Tun FatimahKursus Pengurusan Harta, Pusaka dan Wasiat  telah berlangsung dengan jayanya dan melibatkan penyertaan dari warga UMP khasnya. Kursus ini telah dianjurkan dengan gandingan Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN) dengan kerjasama Bahagian Latihan & Pengembangan Kompetensi (BLPK) adalah diharapkan dapat menyuntik pendedahan tentang pengurusan harta pusaka.

Tiga modul yang disampaikan dalam kursus ini, iaitu modul pertama mengenai kepentingan kefahaman ilmu faraid kea rah perancangan harta. Modul kedua adalah pengurusan dan pentadbiran harta pusaka Islam:Isu dan Penyelesaiannya. Modul ketiga adalah keberkesanan hibah dalam perancangan harta pusaka orang Islam.

Kursus yang dihadiri seramai  41 orang peserta ini telah disampaikan oleh  dua orang pembentang yang berpengalaman luas iaitu  Dr. Noor Lizza bt Mohamed Said seorang Pensyarah Kanan,Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam,UKM dan juga En. Ariffin bin Sabirin penasihat Wasiyyah Shoppe Majlis turut dihadiri Dr. Mahyuddin bin Ismail, Pengarah PIMPIN. Majlis diakhiri dengan sesi soal jawab yang berkisar segala permasalahan berkaitan pengurusan harta pusaka.


117 Hadir Program Anda Tanya Ustaz Jawab



UMP Pekan, 13 Februari 2015 - Program Anda Tanya Ustaz Jawab telah berlangsung dengan jayanya bertempat di DK300, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UMP Pekan. Program ini adalah kesinambungan Program Tanyalah Ustaz yang telah diadakan pada sesi yang lalu. Pada kali ini, Pusat Islam & Pembangunan Insan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan & Pengurusan Harta telah mempererat lagi hubungan dengan menampilkan penceramah selebriti iaitu Al-Fadhil Ustaz Attan Thowi atau dikenali dengan PU Towi yang merupakan Pencetus Ummah Astro Musim Pertama.

Program yang dihadiri seramai 117 orang peserta ini telah dihidangkan dengan kupasan tajuk hangat Rotan Sebagai Alat Untuk Mendidik yang sekaligus telah menggamatkan lagi suasana majlis. Pada sesi pertama, penceramah telah menghuraikan peranan-peranan ibu bapa dalam pendidikan awal kanak-kanak dan isu semasa yang melibatkan konteks perundangan. Pada sesi kedua, para hadirin diberi peluang mengajukan persoalan-persoalan sesuai dengan konsep program.

Program berakhir dengan persembahan khas nasyid daripada kumpulan Barakah Beggars yang merupakan kumpulan nasyid bimbingan Unit Kebudayaan, UMP. Turut hadir Dr. Mahyuddin bin Ismail, Pengarah PIMPIN, En. Zainuddin bin Mat Husin dan barisan pegawai-pegawai universiti.


1,000 warga UMP sertai perarakan Maulidur Rasul

Perarakan melibatkan seba­nyak 20 kontinjen mewakili pelbagai jabatan dan fakulti diketuai Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim itu berkumpul di masjid universiti kampus berkenaan sebelum bergerak kira-kira dua kilometer menuju ke Kompleks Sukan UMP.

Sempena sambutan itu, beberapa aktiviti turut diadakan seperti persembahan nasyid oleh kumpulan UNIC dan ceramah disampaikan Al-Fadhil Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Jofree.

Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, sambutan Maulidur Rasul yang diadakan itu bertujuan menunjukan kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW di samping menge­ratkan silaturrahim.

“Selain itu, program ini juga menunjukan komitmen kita untuk menjunjung kesepaduan dan ke­satuan umat Islam bagi mempertahankan agama suci ini,” katanya ketika berucap pada program tersebut.

 Menurutnya lagi, sambutan hari ini juga berlangsung dalam suasana negara dan umat Islam masih berduka dengan musibah banjir yang melanda beberapa buah negeri.

“Namun, ujian yang datang ini merupakan peringatan daripada Allah untuk kita lebih mengambil berat terhadap perjuangan memelihara kesucian Islam dengan penuh kesederhanaan,” katanya.

 Tambah beliau, perpaduan adalah landasan kekuatan umat Islam untuk menghadapi pelbagai cabaran yang wujud pada masa ini.

“Kestabilan Malaysia turut bergantung kepada perpaduan umat Islam. Sekiranya perbalahan semasa umat Islam itu berterusan tanpa kesudahan, mana mungkin kesucian agama kita akan dihormati oleh penganut agama lain.

 “Justeru, kita selaku umat Nabi Muhammad SAW wajar mengenang perjuangan baginda dalam menyebarkan dakwah Islam ke seluruh dunia,” katanya.

 

 
Sumber : Utusan online

PROGRAM TANYALAH USTAZ MELABUHKAN TIRAI BAGI TAHUN 2014


UMP Pekan, 19 Disember 2014
- Program Tanyalah Ustaz yang diadakan secara bersiri sejak April 2014 telah melabuhkan tirainya dengan gandingan kerjasama yang baik antara Pusat Islam & Pembangunan Insan yang merupakan penganjur utama bersama FKEE, BPUP, FKM, FKP, PTMK, JPPH dan Perpustakaan. Siri kemuncak pada tahun 2014 telah diadakan bersama Jabatan Pembangunan & Pengurusan Harta bertempat di Dewan Kuliah 300, FKM, UMP Pekan yang telah mengundang penceramah tempatan Al-Fadhil Ustaz Mohammad Abdul Qahar bin Abdul Aziz, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Keluarga Islam, Jabatan Agama Islam Pahang.


Program ini berlangsung selama 1 jam 30 minit dengan pecahan masa 1 jam sesi ceramah dan 30 minit sesi soal jawab. Program pada sesi ini juga diteruskan dan ditutup dengan Taklimat Aktiviti Dakwah oleh YaPEIM. Semoga program sebegini diteruskan lagi pada masa-masa akan datang dengan memberi peluang kepada warga UMP mengajukan sebarang kemusykilan agama disamping mendapat input-input penting dan ilmu yang bermanfaat.


Program berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah dan aluan penutupan oleh pengerusi majlis.


PIMPIN KETUAI PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT 1M4U : UNIVERSITY COMMUNITY INDUSTRY ENGAGEMENT





Kampung Belimbing, Pekan, 21-23 November 2014
- Seramai 63 orang pelajar UMP beserta 8 orang staf PIMPIN telah menyertai Program 1M4U : University Community Industry Engagement yang telah berlangsung di Kampung Belimbing, Pekan, Pahang dengan kerjasama Pusat Islam UMP, JHEPA & 1M4U.

Matlamat program ini dijalankan adalah untuk meningkatkan kefahaman pelajar dan masyarakat untuk lebih memahami tentang Islam dalam bentuk khidmat masyarakat. Ia juga adalah untuk menjadi medan kepada pelajar dalam menonjolkan diri agar lebih yakin dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat setempat. Selain itu, program ini adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara pelajar dan masyarakat.
 
Program ini merupakan program berbentuk khidmat masyarakat dan dilaksanakan selama tiga hari dua malam. Para pelajar telah dibahagikan mengikut keluarga angkat yang telah dibahagikan oleh ketua kampung di kampung tersebut. Setiap aktiviti yang dijalankan telah diketuai oleh staf dan juga pelajar yang terlibat. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah program anak angkat, gotong-royong kawasan masjid dan tanah perkuburan, kenduri kampong, sukaneka, Forum Muqarrobin, Malam Kebudayaan Islam dan berbagai lagi aktiviti menarik.
 
Akhirnya, program ini mendapat maklumbalas yang positif dari masyarakat Kampung Belimbing dan juga pelajar UMP. Segala aktiviti yang dijalankan telah dijalankan dengan lancar dan mencapai target.