JOM LEPAK @MASJID TANJUNG SELANGOR



UMP Pekan, 18-19 September 2015 - 
Lebih 72 orang mahasiswa terlibat dalam  program Jom Lepak @Masjid yang merupakan anjuran Pusat Islam & Pembangunan Insan dengan kerjasama Masjid As-Syakirin, Tanjung Selangor, Pahang. Program Jom Lepak @Masjid ini adalah kesinambungan dari program sama yang telah dijalankan dengan jayanya di Masjid UMP Pekan pada bulan Mei yang lalu. Menurut penganjur, lokasi kali ini adalah suatu siri jelajah komuniti dan revolusi dalam penjenamaan program khidmat komuniti dengan menerapkan elemen dakwah, ibadah dan khidmat sosial kepada masyarakat setempat sekaligus membuktikan mahasiswa, universiti dan komuniti berpisah tiada.





Dalam program yang berjalan selama 2 hari ini, pelbagai program disusun untuk penduduk setempat amnya dan mahasiswa khasnya iaitu ramah mesra penduduk kampung, jamuan bbq, forum muqarrabin rakaman Pahang.fm, gotong-royong dan sebagainya.




Pada hari pertama, para pelajar telah dibahagikan tugas menyediakan makanan malam, persiapan forum dan ramah mesra penduduk kampung manakala pada hari berikutnya mereka diberikan tugas membersih secara bergotong-royong yang melibatkan kawasan masjid, tanah perkuburan serta pesisir pantai.





Menurut Ketua Kampung yang juga merupakan Pengerusi Masjid As-Syakirin, beliau amat berpuas hati dengan komitmen pelajar dan berharap mahasiswa tidak serik untuk bertandang ke masjid itu lagi.
 

Majlis berakhir dengan majlis penutup yang telah disempurnakan oleh Ustaz Mohamad Hasnur yang mewakili Pengarah PIMPIN.


SANTAI AKUSTIKA MERIAH DI UMP PEKAN


UMP Pekan, 17 September 2015 - 
Lebih 218 orang hadir ke program bersama Tuan Amin Idris, Personaliti TV Al-Hijrah dalam program Santai Akustika yang merupakan anjuran Pusat Islam & Pembangunan Insan. Tuan Amin Idris umum mengetahui sering bersiaran secara langsung di kaca televisyen menerusi rancangan “Assalamualaikum” terbitan TV Al-Hijrah. Program yang dihadiri dari pelbagai latar belakang mahasiswa ini telah membincangkan tajuk yang cukup istimewa iaitu "Forum Zero To Hero" serta menampilkan Kumpulan Nasyid Baraqah Beggers sebagai jemputan khas. Menurut penganjur, tajuk ini dipilih bertepatan dengan pendaftaran pelajar baru dan pelajar kanan selain memberikan pendedahan dan nasihat bernas kepada mahasiswa agar menjadi mahasiswa kelas pertama yang luar biasa.




Menurut Tuan Amin, setiap insan termasuklah mahasiswa perlu mencurahkan bakti untuk masyarakat sebagai suatu bentuk sumbangan khidmat sosial. Ini kerana manusia secara fitrahnya saling memerlukan antara satu sama lain dan mahasiswa harus terlebih dahulu menjadi pencetus yang mencerminkan personaliti dan imej diri yang selayaknya digalas oleh mereka yang bergelar mahasiswa kelas pertama malah menjadi keutamaan dalam arena dakwah Islamiah.

 


Majlis berakhir dengan persembahan penutup yang telah disempurnakan oleh Kumpulan Nasyid Baraqah Beggers.


101 HADIR PROGRAM ANDA TANYA USTAZ JAWAB VERSI MERDEKA



UMP Pekan, 28 Ogos 2015 - 
Lebih 101 orang hadir ke program bersama Ustaz Muhamad Syaari Ab Rahman, Penyampai Slot Ibrah, IKIM.fm dalam program Anda Tanya Ustaz Jawab yang merupakan anjuran bersama Pusat Islam & Pembangunan Insan dan Fakulti Kejuruteraan Pembuatan. Sepanjang program ini berlangsung, terdapat, booth untuk sesi pemeriksaan kesihatan secara percuma yang disediakan oleh Darul Makmur Medical Centre(DMMC). Program yang dihadiri dari pelbagai agensi dan orang-perseorangan ini telah membincangkan tajuk yang cukup istimewa iaitu "Muhammad Al-Fateh Ikon Merdeka". Menurut penganjur, tajuk ini dipilih bertepatan dengan Bulan Kemerdekaan yang sedang berlangsung selain mengambil ruh pembukaan Kota Konstantinople oleh Sultan Muhammad Al-Fateh dalam membina empayar Islam.



Menurut Ustaz Syaari yang juga merupakan Pakar Penyelidik Sejarah Usmaniah, setiap insan yang dilahirkan di dunia ini layak bergelar pemimpin. Kerana bakat kepimpinan itu menjadi simbol personaliti dan imej diri seseorang serta menjadi keutamaan dalam arena dakwah Islam. Alangkah bertuahnya Islam yang memiliki aset penganutnya yang kaya jati diri dan berpemikiran strategik sekaligus mempamerkan Islam itu agama yang tinggi nilainya.

Program ini telah dimoderatorkan oleh Dr. Mahyuddin Ismail selaku Pengarah PIMPIN UMP yang berkonsepkan bual bicara santai dan dihiasi dengan sesi soal jawab yang diajukan oleh peserta yang berkisar kemusykilan agama.
 
Majlis berakhir dengan penyampaian cenderahati yang telah disempurnakan oleh En. Zulkifli bin Md Yusuf yang merupakan Ketua Program Mekatronik, FKP.


PIMPIN SAMBUT MAJLIS HARI RAYA BERSAMA KAMPUNG ANGKAT



Kampung Dato’ Sharif Ahmad, Kuala Krau, Pahang, 15 Ogos 2015 –
Pusat Islam & Pembangunan Insan telah menganjurkan Program Sambutan Hari Raya bersama Kampung Dato’ Sharif Ahmad, Kuala Krau dengan melibatkan seramai 40 orang pelajar Kemahiran Insaniah, UMP yang merupakan anak-anak angkat kampung tersebut. Program ini adalah inisiatif PIMPIN untuk menerapkan elemen kemahiran insaniah dan daya kreativiti pelajar terhadap masyarakat sekeliling selain merupakan kesinambungan daripada Program Dakwah Ummah yang telah dijalankan bersama 3 kampung angkat sebelum ini. Oleh yang demikian, sambutan hari raya bersama penduduk kampung angkat ini adalah salah satu inisiatif PIMPIN untuk mengekalkan hubungan baik di antara UMP dan komuniti setempat.

Para pelajar dilihat telah melakukan tanggungjawab sosial dengan membantu persiapan majlis dan keraian. Menurut Dato’ Azman yang merupakan Penghulu Mukim, kerjasama erat antara UMP dan komuniti penting dalam menyumbang bakat dan perkongsian kepakaran dalam memajukan komuniti setempat. Ini bertepatan dengan hasrat Naib Canselor menjadikan UMP sebagai sebuah Universiti Komuniti.

Program ini telah turut dihadiri oleh YB. Dato' Haji Mohamed Bin Haji Jaafar, Timbalan YDP DUN Pahang selaku perasmi serta YB. Dato' Syed Ibrahim Bin Syed Ahmad yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Negeri. Turut hadir, Dr. Mahyuddin bin Ismail, Pengarah PIMPIN bersama seluruh staf PIMPIN.

Semoga program seumpama ini dapat memberikan suntikan dan kesedaran kepada mahasiswa untuk berkhidmat kepada masyarakat seterusnya diadakan lagi pada masa-masa akan datang. Program diakhiri dengan majlis perasmian penutup dan salam perpisahan di antara pelajar dan keluarga angkat.


UMP Sumbang Bubur Lambuk Untuk Komuniti

  

Kuantan, 1 Julai – Buat julung kalinya,  Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang dan Pejabat  Jawatankuasa Dakwah dan Islamiah dan tugas-tugas Khas Negeri Pahang mengadakan Program Bubur Lambuk Komuniti dengan mengagihkan 3000 bekas bubur lambuk kepada umat islam di sekitar bandar Kuantan.

Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) UMP, Dr. Mahyuddin Ismail berkata, program ini bertujuan untuk menyediakan juadah bubur lambuk khususnya kepada yang berada di sekitar Kuantan.

Mengulas penyediaan bubur lambuk, beliau menjelaskan sebanyak 50 kg beras digunakan bagi menyediakan 10 periuk bubur lambuk yang dimasak secara bergotong royong di Masjid Negeri Sultan Ahmad.

“Lebih menarik lagi apabila penyediaan bubur lambuk ini menggunakan resipi istimewa daripada Adabi Consumer Industries Sdn Bhd. (Adabi). Selain itu, seramai 160 pelajar UMP yang turut dalam aktiviti sukarelawan dalam aktiviti menyiang, memasak, membungkus dan mengedar bubur lambuk,” katanya.

 

Ujar beliau, aktiviti menyiang bermula pada malam selasa dan penyediaan kesemua bubur lambuk ini bermula pada pukul 8 pagi dan selesai dibungkus kira-kira pukul dua petang tadi, katanya.

Tambahnya lagi, pengagihan bubur lambuk pula  akan bermula jam 4.00 petang. Di antara lokasi pengedaran seperti di padang berhadapan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 yang  menjadi tumpuan warga bandar ini sebagai lokasi berbuka puasa beramai-ramai penduduk sekitar bandar ini.

Selain itu juga bubur ini akan turut dihantar ke Jabatan- Jabatan kerajaan yang berhampiran  dan pengguna jalan raya. Dalam program ini, ADUN Panching, Dato’ Mohd. Zaili Haji Besar dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof. Dato’Dr. Yuserrie Zainuddin yang turut sama hadir menyampaikan sumbangan bubur lambuk.

 

Seorang pengunjung Melati Mustafa, 45, yang menerima sumbangan berkata, beliau amat berterima kasih atas sumbangan bubur ini. Beliau bersyukur diberi kesempatan mengambil bubur lambuk ini untuk juadah berbuka puasa memandangkan sebelum ini apabila sampai di sini bubur lambuk sudah habis.

Tambahnya lagi, hari ini program lebih meriah dengan penglibatan pelajar-pelajar dan sukarelawan UMP yang turut menjayakan program ini.

Sempena bulan Ramadan, UMP menganjurkan Festival Ramadan  dengan pelbagai pengisian antaranya Tarawih, Tadarus Al-Quran, Jejak Asnaf Fakir Miskin, Diskusi Rahsia Keajaiban Al-Quran, Iftar bersama penduduk masyarakat sekitar kampus Gambang dan Pekan. 

 

 

Jejak Asnaf Ramadhan 1436H

Jejak Asnaf Ramadhan 1437H
  • Bermula 1 - 29 Ramadhan 1436H
  • Sekitar Kawasan Kuantan dan Pekan, Pahang
  • Operasi menjejak asnaf yang kurang berkemampuan dengan memberi bantuan menyambut lebaran.