Pelajar antarabangsa bergotong-royong bersihkan madrasah




Kuantan,17 Januari- Dalam usaha memasyarakatkan kampus, pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengambil inisiatif dengan menjalankan program mendekati membersihkan Madrasah Daniyah Durrulilmi di Kampung Padang Jaya,Jaya Gading anjuran Pusat Islam dan Pembangunan Islam (PIMPIN) dan Persatuan Wanita UMP (Matahari) baru-baru ini.

Madrasah Diniyah Durrulilmi yang bermaksud Agama Permata Ilmu  telah beroperasi hampir lima tahun  menempatkan pelajar yang berumur lingkungan 5 hingga 12 tahun.  

Bagi Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, pembinaan madrasah ini hasil bantuan orang ramai dengan menerima sumbangan sejak tiga tahun lalu namun masih serba kekurangan.

“UMP tampil dengan menyampaikan beberapa sumbangan dengan tujuan melengkapi keperluan pelajar di sini untuk memastikan ianya dapat dimanfaatkan untuk kegunaan pelajar,” katanya.

 

Usaha ini juga sebagai usaha dalam merealisasikan budaya dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar.  

Sesi pembersihan madrasah ini melibatkan tenaga sukarelawan yang terdiri daripada 12 orang pelajar antarabangsa yang bertungkus-lumus membersihkan bangunan baru madrasah.

Sementara itu, Pengetua Madrasah, Ustaz Zulkiflee Hamid,46 tahun yang mempunyai latar belakang pendidikan dari Pattani dan Yaman amatlah berbesar hati menerima kunjungan warga UMP yang dapat dirasakan begitu rapat dengan masyarakat.

 

Katanya, pelajar dididik dengan  ilmu Feqah, Usuluddin, Tasawuf, Ilmu Alat serta tidak ketinggalan mengaji serta kelas Fardhu Ain.

Bagi sukarelawan UMP, Muhammad Abdulqawi,23 tahun dari Yaman kini menuntut  dalam program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia melahirkan rasa bersemangat bagi mengikuti program membersihkan sebuah madrasah. Bagi Abdulqawi penglibatannya sedikit sebanyak dapat membantu anak-anak di madrasah ini kelak.

Turut hadir menyampaikan bantuan Pegawai Hal Ehwal Islam dari PIMPIN, Ustaz Md Abdu Ishak dan Ustaz Muhammad Sallehuddin Md Derus.

Pelajar bergotong-royong membersihkan lantai, tingkap dan mengecat madrasah bagi membolehkan  pelajar memulakan pembelajaran di sini.

 

Sambutan Maulidur Rasul 1437H Peringkat UMP


Universiti Malaysia Pahang, 8 Januari- Sambutan memperingati kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. telah diadakan bermula 6 Januari di Masjid Universiti Malaysia Pahang (UMP)  kampus Gambang pada waktu malam. Al Fadhil Habib Ali Zaenal Abidin, seorang tokoh ilmuan Islam telah diundang khas untuk berkongsi tentang ibrah disebalik kehidupan Baginda S.A.W. kepada muslimin dan muslimat yang hadir.



Program Maulidur Rasul 1437 H ini diteruskan dan dirancakkan lagi dengan acara perarakan berselawat yang telah diadakan pada ke esokkan harinya, 7 Januari 2016 di UMP Kampus Pekan. Lebih 500 orang staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) berarak dan berselawat dari perkarangan Kompleks Pentadbiran Utama menuju ke Masjid UMP di Pusat Aktiviti Pelajar sejauh dua kilometer sambil memperingati pengorbanan Nabi Muhammad S.A.W. dalam memperjuangkan syiar Islam. Al Fadhil Habib Ali Zaenal Abidin sekali lagi di jemput khas untuk memberikan ceramah tentang Baginda S.A.W. sebagai acara kemuncak pada hari tersebut.

Perarakan diketuai oleh Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim bersama pihak pengurusan serta melibatkan 20 kontinjen daripada jabatan dan fakulti yang mengambil bahagian.



Hadir sama ahli Lembaga Pengarah Universiti, Syed Muhammad Hamzah Al-Junid Syed Abd. Rahman yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif UMP Holdings Sdn.Bhd, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin, Pemangku Pendaftar, Abd. Rahman hj. Safie dan Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Dr. Mahyuddin Ismail.



Program dianjurkan PIMPIN ini adalah dengan kerjasama Pejabat Naib Canselor (PNC)  dan Badan Kebajikan Staf Universiti (BKSU) yang bertujuan memperingati hari keputeraan Rasullallah S.A.W. dan menghayati pengorbanan terhadap ummah serta mencontohi amalan Baginda.

Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir berkata, “Walaubagaimanapun, kewajipan untuk mengingati junjungan agung kita, Nabi Muhammad S.A.W. tidaklah semata-mata terhad setiap kali tibanya ulang tahun tarikh keputeraan Baginda iaitu pada setiap 12 Rabiul Awwal dalam kalendar Hijri.”



“Namun perhimpunan ini merupakan manifestasi iltizam dan tekad kita untuk mencontohi baginda dalam setiap lapangan kehidupan, selain ingatan yang berpanjangan terhadap baginda yang dilafazkan melalui selawat, salam dan doa pada setiap masa.”

“Kita sesungguhnya amat bertuah kerana dilahirkan dalam agama fitrah ini dan amat beruntung kerana dipilih pula sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W, penghulu sekalian Nabi dan Rasul. Justeru, sewajarnyalah kita mengambil pengajaran daripada riwayat hidup dan Sunnah yang dibawa oleh baginda, tidak hanya dalam kehidupan peribadi, tetapi juga dalam melunaskan kewajipan dan tanggungjawab kita sebagai penjawat awam di universiti ini," katanya.



Selain itu, beliau juga mengingatkan tentang kesatuan yang dilambangkan sama ada dalam kalangan staf mahupun mahasiswa sewajarnya berganding bahu dalam merealisasikan aspirasi dan agenda semasa Universiti ini yang  bukan sahaja sebagai azam tahun baharu 2016, tetapi juga sebagai pemangkin kejayaan pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2016-2020 yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Tambah beliau, tema ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’ yang mendasari sambutan Maulidur Rasul kali ini perlu diterjemahkan secara menyeluruh dalam konteks kewajipan kita sebagai seorang penjawat awam di UMP untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan dan pemegang taruh.



Sementara itu Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir turut menyampaikan pemenang perarakan yang dimenangi Jabatan Bendahari di tempat pertama. Diikuti Jabatan Pendaftar di tempat kedua dan Jabatan Hal- Ehwal Pelajar  dan Alumni (JHEPA) di tempat ketiga. 

Turut dipilih sebagai pemenang adalah gabungan Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (JJIM) , Pejabat Antarabangsa (IO) dan Institut Pengajian Siswazah (IPS),  pemenang seterusnya Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK) dan Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta (JPPH). Majlis turut diserikan dengan  ceramah yang disampaikan Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid yang berkongsi cerita tentang tokoh kepimpinan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.


Ladies Moment Bersama Da'ie Hidayu



UMP Pekan, 20 November 2015
– Pusat Islam dan Pembangunan Insan telah mengadakan Program Ladies Moment khas untuk staf dan pelajar wanita di Universiti Malaysia Pahang. Program ini merupakan program berkala yang diadakan 3 kali setahun bagi meraiakan kaum wanita. Bagi program kali ini ceramah telah disampaikan oleh Finalis Daie Milenia Musim ke 2 iaitu Daie Hidayu dengan tajuknya wanita idaman srikandi syurga.Program ini mendapat sambutan yang mengalakkan dengan dihadiri seramai 80 orang termasuk staf dan juga mahasiswa.

Dalam program yang berjalan selama 2 jam ini, pelbagai topik yang menarik telah disampaikan oleh Daie hidayu antaranya menceritakan tentang keperibadian tokoh wanita yang dijamin masuk syurga iaitu Saidatina Khadijah binti Khuwailid, Saidatina Fatimah az-Zahrah binti Muhammad , Maryam dan juga Siti Asiah.

Majlis berakhir dengan sesi penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Ustazah Amira Binti Abdullah selaku pegawai hal ehwal islam, pusat islam dan pembangunan insan Universiti Malaysia Pahang.


BAHANA 3S: SAKA, SANTAU, SUSUK


UMP Pekan, 6 November 2015 – Pusat Islam & Pembangunan Insan dan Jabatan Pembangunan & Pengurusan Harta sekali lagi berganding bahu memeriahkan lagi Program Anda Tanya Ustaz Jawab kali terakhir bagi sesi 2015. Pada kali ini, dengan tema yang istimewa, tajuk Bahana 3S: Saka, Santau, Susuk telah dipilih untuk disampaikan kepada para peserta. Bertepatan dengan suasana dan situasi yang berlaku pada ketika dan saat ini, PIMPIN merasakan perlu kepada satu program pencerahan dan teknik yang betul kepada orang ramai supaya bersedia dan menghadapi situasi paranormal berlandaskan syariat.





Menurut Dr. Mahyuddin Ismail, bentuk-bentuk gangguan makhluk halus yang berleluasa dalam masyarakat pada hari ini hadir dalam bentuk saka keturunan, perbomohan, kerasukan dan amalan sihir yang dipercayai berpunca daripada peralatan lama seperti persenjataan, kain/kertas, barang kemas serta barang perhiasan yang berkemungkinan mempunyai elemen-elemen mistik. Beliau menasihatkan supaya sebarang insiden tidak normal yang berlaku diselesaikan menerusi pencegahan seperti membuang/membakar barang-barang milik mangsa yang disyaki mempunyai unsur sihir seperti yang telah disebutkan.

 






Semoga program-program berunsur kerohanian dan pembudayaan ilmu seperti ini terus subur di bumi UMP sejajar dengan matlamat Pusat Islam & Pembangunan Insan “Melahirkan warga universiti yang bertaqwa”. Turut hadir Encik Zainuddin Mat Husin, Timbalan Pendaftar, Jabatan Pendaftar, Encik Ahmad Nasrullah, Jurutera JPPH, pegawai-pegawai universiti serta pelbagai agensi sekitar Pekan yang telah dijemput ke program ini.
 

KARNIVAL MAHABBAH 2.0 MERIAH


UMP Gambang, 13-18 Oktober 2015 –
Bersempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Kali Ke-10, Pusat Islam & Pembangunan Insan telah menganjurkan Karnival Mahabbah 2.0 dengan kerjasama Expoconvo UMP. Pada kali ini PIMPIN telah diberi peluang mengisi slot-slot utama serentak dengan Expoconvo UMP yang turut berlangsung. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah Bicara Santai bersama Adam AF2, Gotong-Royong Memasak Bubur Asyuro, 30 Minit Bersama Ustaz Don, Dikir-Zikir Bersama Munada & Nasir Bilal Khan(Tok Adi), Diskusi Ilmiah bertajuk Histeria: Antara Realiti/Fantasi, Ladies Day bersama Ainan Tasnim, Kalau Dah Jodoh bersama  Datuk Ustaz Kazim Elias, Konsert Malam Cinta Ilahi dan yang terakhir Semanis Kurma bersama Dato’ Siti Nor Bahiyah.

 
Dengan bertemakan dakwah berkonsep kontemporari, penganjuran program yang dijalankan bersempena Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-10 ini dilihat memecah tradisi UMP dengan menyaksikan pengisian slot berunsur ilmiah mendominasi acara-acara utama expo. Ini bertepatan dengan harapan universiti menerusi nilai terasnya pertama iaitu “Hubungan yang kuat dengan Yang Maha Mencipta”. Ini penting dalam memperkasa budaya ilmu pengetahuan seiring dengan perkembangan pembangunan insan dikalangan warga kampus.
 

Semoga program-program berunsur kerohanian dan pembudayaan ilmu seperti ini terus subur  di bumi UMP sejajar dengan matlamat Pusat Islam & Pembangunan Insan “Melahirkan warga universiti yang bertaqwa”.


PIMPIN ANJUR SEMINAR BAITUL MUSLIM



UMP Gambang, 25-27 Ogos 2015
 -  Bertempat di Dewan Astaka, UMP Kampus Gambang telah berlangsungnya Seminar Baitul Muslim yang telah dianjurkan oleh Pusat Islam & Pembangunan Insan dengan kerjasama BKSU dan MATAHARI.  Seminar yang dianjurkan ini telah membincangkan dan memberi pendedahan kepada peserta tentang isu kekeluargaan, poligami, pengurusan kewangan dan juga kerjaya.

Seminar yang berlangsung selama tiga hari ini dihadiri oleh pelbagai agensi luar, staf UMP serta pelajar UMP. Pada hari pertama seminar, sebanyak tiga slot yang telah disampaikan, iaitu slot pertama adalah “ Suamiku Mr Perfect” disampaikan oleh Ustaz Hj Mohd Zamri Mohd Zainuldin. Slot kedua adalah “ Isteri, Wanita & dot dot dot “ disampaikan oleh Pn Suzana Ghazali merupakan Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie. Slot ketiga adalah bertajuk “ Anak-Anak Ku Comel "  yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Rizzal Mohd Ali Nafiah.

Pada hari kedua, seminar dimulakan dengan slot pertama bertajuk “ Duhai Bonda Duhai Ayahanda” yang telah disampaikan oleh Ustaz Uwais Al Qarni.  Slot kedua yang bertajuk “ Kerjayaku Ibadahku” telah memberi kesan kepada peserta tentang  bagaimana menjadikan kerjaya itu sebagai ibadah dan juga legasi pahala. Ianya disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Abdul Halim Abdul Hafidz, Penasihat Agama iM4U. Slot ketiga bertajuk “ Poketku Kosong ” yang disampaikan oleh Encik Abdul Muzahar Abdul Rahman. Slot ini telah memberi pendedahan kepada peserta tentang pengurusan kewangan yang baik membabitkan matlamat kewangan masa panjang serta bagaimana merancang pembelanjaan yang bijak.

Hari terakhir seminar ini telah membincangkanisu yang mendapat perhatian ramai iaitu isu poligami. Slot pertama disampaikan oleh Tuan Guru Dr. Jahid Haji sidek, yang bertajuk " Poligami : Antara Nafsu & Keperluan". Seminar ini juga dimeriahkan lagi dengan kehadiran selebriti jemputan, Asraf Muslim untuk berkongsi pengalaman tentang masam manis poligami.

Seminar ini berakhir dengan ucapan penutup yang disampaikan oleh Dr. Mahyuddin Ismail, Pengarah PIMPIN.