SKUAD JEJAK ASNAF JELAJAH 10 PENEMPATAN DAIF



KUANTAN, 15 Oktober 2016 –
Bersempena penganjuran Karnival Mahabbah 4.0 UMP Pekan, Pusat Islam & Pembangunan Insan meneruskan siri Jejak Asnaf. Pada kali ini, skuad Jejak Asnaf UMP telah menjelajah ke penempatan-penempatan yang terdiri dari golongan fakir miskin yang berlainan latar belakang kehidupan iaitu golongan nelayan, tukang cuci, tukang kasut, ibu tunggal, sakit kritikal, hilang punca pendapatan disebabkan diberhentikan majikan dan akibat kemalangan.



Menurut salah seorang ibu tunggal yang menghidap kegagalan fungsi buah pinggang, beliau terpaksa berhutang dengan pihak hospital kerana gagal menjelaskan bil rawatan. Akibat dari itu beliau terpaksa menghentikan rawatan lanjut disebabkan kos yang semakin meningkat.



Selain itu, aktiviti sebegini memberikan gambaran keinsafan kepada sukarelawan UMP untuk berusaha memperbaiki kualiti pendidikan dan hidup agar bersedia untuk menghadapi hari muka.



Menurut saudara Hanif, 21, aktiviti kesukarelawanan ini memberi kesedaran kepada beliau untuk mengambil berat penderitaan hidup masyarakat setempat sekaligus memberi kesedaran kepada beliau untuk membantu meringankan beban orang sekeliling. “Saya mempelajari satu bentuk pendidikan menerusi program ini secara tidak langsung untuk belajar tidak mementingkan diri sendiri” katanya.



Turut hadir Ustaz Mohamad Hasnur Abdul Hamid, Ustaz Sallehudin Md Derus dan staf dari Pusat Islam UMP.




BICARA HIJRAH ABANG LONG FADIL MERIAHKAN KOMUNITI KUALA PAHANG



Pekan, 11 Oktober 2016 – Bersempena penganjuran Karnival Mahabbah 4.0 UMP Pekan, Pusat Islam & Pembangunan Insan meneruskan siri program pemerkasan ilmu bertajuk Bual Bicara Hijrah bersama Abang Long Fadil. Pada kali ini, penduduk-penduduk mukim Kuala Pahang berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan ikon hijrah dari dunia gangster kepada seorang yang soleh dan akrab dengan Tuhan.



Program ini telah mengupas tajuk hijrah adalah kerana bertepatan dengan Sambutan Maal Hijrah yang jatuh pada tanggal 2 Oktober 2016 yang lepas. Dalam siri pusingan diskusi, Abang Long telah berkongsi bagaimana kehidupan lama beliau yang penuh dengan kegelapan dan kesyukuran beliau setelah berhijrah.

Selain itu, aktiviti sebegini memberikan gambaran keinsafan kepada masyarakat setempat khususnya golongan belia supaya mampu berdikari dan berusaha memperbaiki kualiti kehidupan agar bersedia untuk menghadapi hari muka seterusnya membantu pasukan keselamatan membasmi aktiviti jenayah.

Program ini telah mendapat kerjasama baik daripada JKKK Kuala Pahang, Pejabat Penghulu Mukim Kuala Pahang, LKIM Kuala Pahang, Majlis Daerah Pekan dan RTC Kuala Pahang.



Turut hadir Hassan Sukor, Penghulu Mukim dan JKKK Kuala Pahang memeriahkan majlis.

XPLORACE DAKWAH DEKATI KOMUNITI PEKAN


 
PEKAN, 8 Oktober 2016 – Bersempena penganjuran Karnival Mahabbah 4.0 UMP Pekan, Pusat Islam & Pembangunan Insan menganjurkan Xplorace Khidmat Komuniti yang telah diadakan di sekitar UMP, Pantai Air Leleh dan bandar Pekan. Aktiviti ini telah disertai sebanyak 10 kumpulan dari pelbagai fakulti. Setiap kumpulan dihendaki menyempurnakan tugasan di lokasi-lokasi checkpoint yang telah ditetapkan penganjur. Para peserta berasa bertuah kerana setiap tugasan yang diberikan menerapkan elemen khidmat komuniti, keusahawanan, teknologi hijau dan kesukanan.
 


Menurut salah seorang peserta, beliau berasa sangat teruja menyertai aktiviti ini kerana berpeluang menjadi peniaga pasar minggu di bandar Pekan. “Satu pengalaman yang sungguh bermakna bagi saya apabila dapat membantu seorang peniaga menjual sayur-sayuran. Suatu yang saya jarang temui dalam mana-mana aktiviti Xplorace,” katanya.



Di checkpoint kedua yang bertempat di Tasik UMP, setiap kumpulan dikehendaki berkayak untuk mencari arahan tugasan disamping mengenalpasti gambar pengurusan tertinggi universiti yang tersembunyi di sekitar kawasan tasik.



Sementara itu, setiap kumpulan juga dikehendaki mengupas kelapa tanpa menggunakan parang dan mengutip barangan kitar semula sebanyak 3 kilogram di Pantai Air Leleh yang masing-masing menerapkan elemen ikhtiar hidup dan teknologi hijau yang merupakan checkpoint ketiga.
 


Secara keseluruhannya, semua kumpulan berpuas hati dengan perjalanan program dan berharap aktiviti seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.
Turut hadir, Dr. Mahyuddin Ismail, Pengarah Pusat Islam UMP dan Ustaz Mohamad Hasnur, Pengarah Karnival Mahabbah UMP Pekan memeriahkan majlis.
 

KARNIVAL MAHABBAH 4.0 UMP PEKAN MANFAATKAN 2000 WARGA UMP PEKAN

UMP Pekan, 4 - 12 Oktober 2016 – Buat kesekian kalinya, Pusat Islam & Pembangunan Insan telah menganjurkan Karnival Mahabbah 4.0 dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Pahang, UMP Advanced Education, Pejabat Penghulu Mukim Kuala Pahang, Majlis Daerah Pekan, LKIM & RTC Kuala Pahang.



Pada kali ini PIMPIN mengambil peluang menyantuni mahasiswa UMP dengan pendekatan-pendekatan terkini dan mengupas isu-isu yang dekat dihati mahasiswa. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah Bengkel Pengurusan Kewangan & Harta, Forum Mahasiswa Coupling, Santai Akustika bersama Inteam, Anda Tanya Ustaz Jawab, Explorace Komuniti, Bual Bicara Hijrah dan Pesona D’Zahra.



Kemeriahan Karnival Mahabbah 4.0 telah memecah tradisi program di UMP Pekan dengan penglibatan lebih 2000 peserta mendominasi keseluruhan acara. Ini penting dalam memperkasa budaya ilmu pengetahuan seiring dengan perkembangan pembangunan insan dikalangan warga kampus.



Semoga program-program berunsur kerohanian dan pembudayaan ilmu seperti ini terus subur  di bumi UMP sejajar dengan matlamat Pusat Islam & Pembangunan Insan “Melahirkan warga universiti yang bertaqwa”.

UMP SAMBUT IBADAH KORBAN, AGIH KEPADA FAKIR MISKIN



UMP Kampus Pekan, 15 September 2016 –
Program Korban dan Aqiqah peringkat UMP Kampus Pekan telah diadakan dengan jayanya hasil kerahan tenaga dan semangat kesatuan oleh seluruh warga UMP tidak mengira staf mahupun pelajar. Program yang dianjurkan oleh Pusat Islam & Pembangunan Insan ini adalah merupakan acara tahunan yang telah menjadi rutin aktiviti Universiti sempena meraikan sambutan Eidul ‘Adha bagi tahun 1437H.




Seramai 21 orang peserta telah menyertai program ini dengan melibatkan 6 ekor lembu telah berjaya diagihkan kepada penduduk sekitar Mukim Kuala Pahang, Pekan yang rata-rata terdiri dalam kalangan fakir miskin.





Menurut Ustaz Sallehudin yang merupakan ketua projek, “aktiviti sebegini seharusnya terus dijalankan kerana dapat mengukuh dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dikalangan warga UMP Pekan. Jelasnya lagi, aktiviti pada kali ini dijalankan dalam suatu yang sungguh harmoni dan sepanjang aktiviti menyembelih, melapah dan merewang dijalankan, para petugas turut dihiburkan dengan alunan.






Acara kemuncak adalah majlis jamuan perdana yang dihadiri hampir 1500 orang jemputan dalam kalangan warga Universiti Malaysia Pahang.







Turut hadir dalam majlis Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim, Naib Canselor UMP dan Dr. Mahyuddin Ismail, Pengarah PIMPIN memeriahkan majlis.





UMP KONGSI KEPAKARAN KUMPUL ILMUWAN ISLAM BINCANG FIQH & TEKNOLOGI

 
Kuantan, 4 September – Buat julung kalinya Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan Konvensyen Fiqh & Teknologi Peringkat Negeri Pahang yang disertai seramai 120 peserta bertempat di Hotel MS Garden baru-baru ini.
 
Program ini turut mendapat kerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, UMP Advanced Education dan Bank Muamalat Malaysia Berhad.

 
Menurut Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan, Dr. Mahyudin Ismail berkata, program dua hari ini bertujuan ini mengumpulkan para ilmuwan Islam yang mempunyai kepakaran dalam bidang Fiqh untuk mengupas pelbagai isu semasa melalui aplikasi teknologi.
 
“Selain itu  ia merupakan platform kepada peserta bagi mendapatkan perkembangan terkini dalam bidang teknologi dalam merungkaikan masalah agama selain mengalakkan penerokaan ilmu dalam bidang tersebut dan mengenengahkan aspek teknologi dalam bidang Fiqh Islam.
 


“Menerusi program ini peserta akan memperolehi kefahaman dan penemuan terbaharu dalam bidang Fiqh melalui pendekatan santifik dan aplikasi teknologi. Di samping itu, ianya juga dapat mengubah persepsi peserta tentang aplikasi teknologi dalam bidang Fiqh,” katanya.
 
Program ini juga dapat memperkenalkan UMP dalam memperkasakan bidang agama melalui pendekatan saintifik dan aplikasi teknologi. Selain itu dapat mengeratkan hubungan erat antara UMP dengan masyarakat komuniti luar melalui program kerohanian dan keagamaan.
 
Lebih menarik konvensyen ini membariskan pakar-pakar mengkaji secara khusus bidang teknologi dan ilmu fiqh iaitu Medik, Zoologi, Sains Solat, Ketenteraan, Kosmos, Kimia, Sains Kemanusiaan, Perundangan dan Kekeluargaan.
Di antara slot termasuklah Fiqh Sirah “Teknologi Menawan Kota Konstatinaple” yang disampaikan oleh Ustaz Syaari Abd Rahman kemudian diteruskan dengan  Fiqh Medik yang bertajuk “Teknologi Istihalah Dalam Vaksinisasi” pula disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Arieff Salleh dan Fiqh Usrah “Ancaman Gajet kepada Keluarga disampaikan oleh  Prof Madya Mohd Nor Mamat.

Manakala slot Fiqh Pengubatan Islam bertajuk “GSP 48 Solusi Masalah Sihir disampaikan oleh Dr. Mahyuddin Ismail dan Fiqh Insaniah “Pengukuran Kecerdasan Spiritual Menggunakan Bioteknologi yang disampaikan oleh Prof Madya. Dr. Nubli Abd. Wahab dan berakhir pada jam 4.30 petang dengan slot Fiqh Al-Quran “Ilmu Zoologi dalam Al Quran yang disampaikan oleh Prof Madya Dr. Arif Kasmo.



Begitu juga dengan tajuk lain yang menarik seperti Fiqh Muamalat “Hukum Berkaitan Jual Beli Online” yang disampaikan oleh Dr. Azman Mohd. Nor, ikuti dengan slot  Fiqh Kosmos “Jasad Samawi Dengan Ibadah” yang disampaikan oleh  Dr. Mansor bin Sulaiman.

Seterusnya adalah slot Fiqh Ibadah dengan tajuk “Solat Dan Sains” yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Hasnan Kasan makala bagi Fiqh Halal pula dengan tajuk “Konsep Halal dan Al-Istibra’ Pangasius Sutchiiperspektif Islam dan Sains Akuakultur” pula disampaikan oleh  Prof. Madya Dr. Hasan Ahmad dari UMP.
 
Turut diadakan forum yang membahaskan tajuk Forum Fiqh Jenayah “Pindaan Akta 355” telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Zulfakar Ramlee dan Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar.