Team Jejak Asnaf UMP Santuni Masyarakat Asli di Kg. Permatang Kledang, Nenasi


 
Pekan, 17 Ogos- Sebanyak 15 beg sumbangan keperluan asasi diedarkan kepada 15 keluarga dari Masyarakat Saudara  Baru (Muallaf) Kaum Orang Asli Suku Jakun  di Perkampungan Orang Asli Permatang Keledang,Batu 12 Pekan. Program penyampaian sumbangan ini adalah satu inisiatif yang diambil oleh Pusat Islam Dan Pembangunan Insan Universiti Malaysia Pahang Kampus Pekan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial kepada komuniti setempat dengan menyalurkan sumbangan yang dikumpulkan daripada warga UMP kepada golongan yang memerlukan.Program yang bertemakan “#UMPprihatin” ini mengumpulkan sumbangan barangan keperluan asas seperti beras,tepung,gula minyak masak dan lain-lain daripada warga UMP Pekan sebelum diserahkan kepada keluarga Saudara Baru yang rata-ratanya tidak mempunyai pendapatan yang tetap.



Menurut salah seorang daripada penduduk Kampung Orang Asli Permatang Keledang, majority penduduk disini bekerja sebagai pengutip pucuk nipah dan pengumpul barangan kitar semula yang diperolehi di tapak pelupusan sampah yang berhampiran. Terdapat juga yang menerima bantuan bulanan dari agensi kerajaan sama ada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mahupun Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).



Pusat Islam Dan Pembangunan Insan mengalu-alukan sumbangan daripada pihak korporat mahupun individu untuk membantu golongan yang memerlukan ini. Sumbangan boleh disalurkan dalam bentuk barangan dengan menghubungi Pejabat PIMPIN UMP Pekan ditalian 09-4245731 / 5746.



Semoga dengan sumbangan tuan/puan dapat memberi sinar harapan yang baru bagi mereka meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
 
 

SUKARELAWAN UMP EDAR JUADAH SAHUR UNTUK GELANDANGAN DALAM PROGRAM SINGGAH SAHUR @KL



Kuala Lumpur, 24 Jun - Sebanyak 450 pek makanan diedarkan kepada gelandangan sekitar bandaraya Kuala Lumpur dalam program Kembara Singgah Sahur membabitkan seramai 50 sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini.



Program anjuran Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) ini turut dihadiri  Penolong Naib Canselor  (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Zulkefli Yaacob bersama Ustaz Muhammad Sallehudin Md. Derus dan Ustaz Mohamad Hasnur Abdul Hamid.



Prof. Dr. Zulkefli berkata, program ini memberi peluang kepada mahasiswa UMP untuk bertemu dengan golongan geladangan selain untuk beramal dengan memberikan juadah bersahur sempena bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini.

“Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif UMP dalam menyokong Program MyGift UMP dan agenda kesukarelawan dalam menjadi universiti komuniti. Lebih bermakna program kali ini mendapat sokongan daripada pihak Marrybrown Kuala Lumpur  yang menyediakan juadah sahur,” katanya.



Menurut Prof. Dr. Zulkefli, program tersebut dijalankan adalah bagi menerapkan sifat prihatin dan kasih sayang dalam kalangan mereka yang tidak berkemampuan serta menyuburkan rasa tanggungjawab membantu golongan ini dalam kalangan generasi muda.

Dalam program ini sukarelawan bergerak dengan tiga kumpulan melibatkan kawasan Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut dan Jalan Munsyi Abdullah serta berakhir di Masjid Jamek Kuala Lumpur. 

Bagi Mohamad Danial Mohd. Azmi, 25  yang menjadi geladangan sejak tiga tahun lalu berkata, kebanyakan mereka tinggal di lokasi ini adalah disebabkan tiada pilihan dan sukar mendapat pekerjaan. Beliau yang dipinggirkan keluarga tetap berazam untuk mengubah kehidupan serta menjadi lebih baik. 

Manakala bagi seorang geladangan yang hanya dikenali sebagai Azman, 30 yang bekerja di restoren berpendapat bayaran sewa bilik yang tinggi menyebabkan beliau dan bapa saudaranya memilih tinggal di kaki lima kedai. Mereka menerima banyak bantuan daripada orang ramai yang kerap menyumbang makanan dan lain-lain keperluan selain mudah untuk ke tempat kerja.

Pengalaman bertemu golongan geladangan ini pastinya memberikannya peluang mereka melihat sendiri kehidupan golongan ini di tengah-tengah bandaraya. Kebanyakan gelandangan terdiri daripada bekas penagih dadah, bekas banduan, pengganggur, mereka yang dipinggirkan keluarga, miskin serta terdapat sesetengah kes akibat masalah sendiri yang memerlukan sokongan dalam memberi suntikan motivasi dan kesedaran.

UMP ERAT KERJASAMA DENGAN KOMUNITI KUALA PAHANG DALAM PROGRAM BUBUR LAMBUK @RTC KUALA PAHANG



Pekan, 15 Jun 2016
– Program Bubur Lambuk yang dijayakan oleh Pusat Islam & Pembangunan Insan UMP dengan kerjasama Pejabat Penghulu Mukim Kuala Pahang telah mempergiat usaha mengukuhkan jaringan antara UMP dan komuniti setempat.

Program Bubur Lambuk @RTC ini diadakan bersempena Festival Ramadan 1437H yang dijalankan untuk memenuhi tuntutan dan meraikan ketibaan bulan Ramadan yang mulia.Program Bubur Lambuk ini telah disertai sebanyak 10 kumpulan yang diwakili oleh UMP, Komuniti Mukim Kuala Pahang dan agensi setempat.



Menurut Dr. Mahyuddin Ismail yang merupakan Pengarah Pusat Islam & Pembangunan Insan UMP, aktiviti sebegini seharusnya dijadikan budaya dalam mengekalkan hubungan baik antara universiti dan komuniti selain mengimarahkan Ramadan dengan aktiviti-aktiviti kerohanian apatah lagi berpeluang berada di bulan yang mulia ini.

Beliau bercakap dalam sesi kunjungan hormat lawatan ke program tersebut yang telah dijayakan pada masa berkenaan.


JEJAK ASNAF RAMADAN 1437H



Pekan, 13 – 14 Jun 2016
  -  Buat kesekian kalinya Pusat Islam & Pembangunan Insan, UMP telah mengadakan Program Jejak Asnaf  bersempena Festival Ramadan 1437H dengan tujuan untuk bersama-sama membantu meringankan beban komuniti setempat yang tidak berkemampuan sebagai persediaan untuk menyambut Ramadan 1437H.



Skuad Jejak Asnaf telah membuat tinjauan awal ke setiap kawasan terpilih sekitar Pekan dan Kuantan yang telah disenarai pendek dan layak menerima bantuan. Lebih 30 buah rumah yang telah dikenalpasti telah berjaya diagihkan sumbangan berupa barangan keperluan dapur dan harian.



Dana yang digunakan bagi menyediakan keperluan tersebut diperolehi berdasarkan sumbangan orang ramai kepada Tabung Sumbangan Jejak Asnaf Masjid UMP.

MAJLIS BERBUKA PUASA UMP BERSAMA TUANKU CANSELOR

UMP Pekan, 8 Jun 2016 - Bersempena penganjuran Festival Ramadan 1437H. Pusat Islam & Pembangunan Insan dengan kerjasama Pejabat Naib Canselor telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa bersama Tuanku. Pelbagai aktiviti disusun bagi meraikan program antaranya Gotong-royong Memasak Bubur Lambuk yang turut disertai oleh Dato’ Daing Nasir Ibrahim yang merupakan Naib Canselor UMP bersama-sama Dr. Mahyuddin Ismail, Pengarah PIMPIN.

 
Selain itu, program Tadarus Perdana turut berjalan serentak dengan Seminar Perpaduan Melalui Pendekatan Watiyyah masing-masing dijalankan di Masjid UMP dan Dewan Kuliah Utama, PBMSK, UMP Pekan.



Aktiviti menyiang dan memasak bagi program Memasak Bubur Lambuk telah bermula pada jam 10.00 pagi yang melibatkan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Ancasa Royale dan RTM Pahang. Penyediaan bubur lambuk menggunapakai 70 kg beras yang digunakan bagi menyediakan  7 periuk bubur lambuk yang dimasak secara bergotong royong dengan penglibatan pelajar – pelajar dan sukerelawan UMP yang turut menjayakan program ini.




Kemuncak program pada hari berkenaan adalah agihan sebanyak 1400 bungkus bubur lambuk kepada warga UMP dari kalangan pelajar dan staf serta Majlis Berbuka Puasa Perdana bersama Tengku Abdullah yang merupakan Canselor Universiti Malaysia Pahang.



Majlis disusuli dengan solat Fardhu Maghrib berjamaah dan diakhiri dengan Solat Tarawikh.


DISKUSI AMBANG RAMADHAN SEMARAKKAN IHYA' RAMADAN



UMP Pekan, 3 Jun 2016 – Lebih 80 peserta terlibat dalam Program Diskusi Ambang Ramadan bersama Ustaz Ahmad Irfan Bin Ikmal Hisham, yang  telah diadakan di Dewan Kuliah Utama, PBMSK, UMP Pekan yang bermula jam 9.00 pagi dengan bersempena Festival Ramadan 1437H. Program yang merupakan anjuran Pusat Islam &  Pembangunan Insan ini telah membincangkan topik yang signifikan dengan suasana menyambut ketibaan bulan Ramadan.

Program yang dihadiri seramai 80 orang peserta dengan turut disertai pengunjung dari agensi kerajaan sekitar Kuantan dan Pekan ini telah  mengupas tajuk “Ada Apa Dengan Ramadan” yang sekaligus telah menggamatkan lagi suasana majlis. Program yang dikendalikan oleh Ustaz Ahmad Irfan Bin Ikmal Hisham ini telah berjaya memberikan kefahaman dan pencerahan kepada peserta berkaitan persediaan menghadapi Ramadan serta kelebihan yang terkandung di dalamnya sekaligus berjaya membawa peserta mengalami kenikmatan Ramadan.


Antara Objektif penganjuran program ini adalah sebagai satu medium untuk menyampaikan dan menjelaskan isu – isu agama dan semasa kepada peserta mengikut peredaran zaman. Semoga program seumpama ini mendapat sambutan yang lebih mengalakkan pada masa-masa akan datang. Program diakhiri dengan sesi soal jawab dan penyampai cenderahati kepada penceramah.