JOM LEPAK @MASJID KAMPUNG TG. AGAS MERIAH

Pekan, 8 - 9 Disember 2017- Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) Universiti Malaysia Pahang (UMP) terus melebarkan sayap ukhwah dalam menjayakan Program Jom Lepak @ Masjid dengan kerjasama Masjid Kg. Tanjung Agas Pekan baru-baru ini.

Program ini adalah kesinambungan daripada program yang telah dijalankan dengan jayanya di Masjid Kg. Marhum, Taqwa, Masjid Tanjung Selangor, Masjid Paya Bungor dan Masjid Lama Permatang Badak Kuantan yang dianjurkan pada tahun ini dan tahun lepas.

20171208 170712 FILEminimizer

Menurut Pengarah Program Jom Lepak @ Masjid, Ustaz Shahrul Nizam Md Ahir, lokasi kali ini adalah salah satu siri jelajah komuniti dan revolusi dalam penjenamaan UMP bagi program khidmat komuniti dan memakmurkan Masjid.

20171208 215417 FILEminimizer

“Melalui program ini diterapkan elemen dakwah, ibadah dan khidmat sosial kepada masyarakat setempat sekaligus membuktikan hubungan erat mahasiswa universiti dan komuniti. Program ini juga dapat mengajak masyarakat setempat terutama generasi muda mengimarahkan masjid dengan menjadikan masjid sebagai medium bagi warga UMP untuk berbakti kepada masyarakat setempat,” katanya.

20171208 194239 FILEminimizer

Program dua hari itu melibatkan 65 orang mahasiswa UMP dari kedua-dua kampus UMP di Pekan dan Gambang. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Forum Muqarabin yang bertajuk “Back to Mosque” yang membariskan panel forum iaitu Pensyarah Kanan Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK), Al-Fadhil Dr. Mansor Sulaiman dan Penolong Pegawai  Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Al-Fadhil Ustaz Nor Azfarizam Mohd Anuar.

20171209 000026 FILEminimizer

Menurut Dr. Mansor, Masjid merupakan rumah ibadah bagi umat Islam dalam mengerjakan solat dan majlis keagamaan serta pusat aktiviti sosial umat Islam. Masjid adalah sebuah institusi ibadah yang sepatutnya berkembang sejajar dengan arus perkembangan zaman dan memainkan peranan di dalam kehidupan masyarakat Islam sebagai sebuah institusi membina kemajuan ummah.

20171208 215339 FILEminimizer

Firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah  (18)

“Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat, dan tidak takut kepada siapapun selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk.”   

20171209 080159 FILEminimizer

Selain itu, antara aktiviti lain yang dijalankan ialah program Qiamullail, kuliah subuh, dan bergotong-royong membersihkan masjid bersama Jemaah Masjid Kg. Tanjung Agas, Pekan. Turut hadir memeriahkan Program ialah Pengerusi Masjid Kampung Tanjus Agas, En. Mohd Amir Bin Abdul Rahman.

20171212 201837 FILEminimizer

SEMINAR BAITUL MUSLIM PLATFORM PERKUKUH INSTITUSI KELUARGA

Kuantan, 30 November – Seramai 80 orang peserta dalam kalangan warga Universiti Malaysia Pahang (UMP), ARKIB Negara Malaysia Negeri Pahang dan agensi lain mengikuti Seminar Baitul Muslim 2017 yang diadakan di Auditorium ARKIB Negara Malaysia Negeri Pahang.

Seminar yang berlangsung selama sehari ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai tanggungjawab suami dan isteri dalam memperkukuhkan kehidupan berumahtangga selain memupuk sikap tanggungjawab dan kerjasama di antara pasangan dalam urusan kekeluargaan terutamanya bagi membina sahsiah diri juga anak-anak serta menjadikan agama Islam sebagai panduan hidup berkeluarga.

 UMP5975 FILEminimizer

Hadir menjayakan program penceramah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM),  Al-Fadhilah Ustazah Norhafizah Musa yang mengupas tajuk ‘Isteri Degil, Suami Baran: Antara Pengorbanan & Cinta.' Dalam ceramahnya, beliau menegaskan bahawa setiap keluarga khususnya ibu dan bapa memainkan peranan yang penting dalam membentuk institusi keluarga yang bahagia serta menjadi contoh ikutan kepada anak-anak dalam mengharungi kehidupan sebagai keluarga muslim sejati.

Manakala slot seterusnya bertajuk ‘10 Tips Mengorat : Resepi Menambat Hati Pasangan’ yang disampaikan oleh Profesor Dr. Mohd Nor Mamat, Timbalan Dekan ( Hal Ehwal Pelajar), Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM).Beliau turut berkongsi tips-tips komunikasi dalam memikat hati pasangan serta tips penakluk hubungan suami isteri.

 UMP5929 FILEminimizer

Mengisi slot ketiga bertajuk Kekasihku Curang : Panduan Perceraian & Ancaman disampaikan oleh Penolong Pegawai Syariah Mahkamah Rendah Syariah Pekan Pahang, Ustaz Abdul Hafiz Mad Radzi, atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah Angah dan slot keempat  oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman, Penulis Buku Bestseller Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh dengan tajuk ceramah beliau ‘ Anak Bapak : Membentuk Anak Hebat Gaya Al-Fateh’. Pengarah program, Ustaz Mohamad Hasnur Abdul Hamid berkata, program seperti ini merupakan suatu platform Universiti  memasyarakatkan teknologi kepada golongan Profesional dengan menyampaikan dakwah dan kepentingan menjalin keakraban ikatan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat islam bagi membentuk ummah mahabbah.

 UMP5973 FILEminimizer

“Seminar ini juga lebih menjurus kepada membentuk keluarga bahagia dengan berpandukan kepada syariat islam serta perlaksanaan institusi kekeluargaan yang lebih jitu. Pemantapan institusi keluarga perlu diperkukuh pada zaman ini yang mana pelbagai cabaran perlu ditempuh seperti gejala sosial yang semakin menular dalam kalangan remaja khususnya berkaitan laman sosial yang semakin mudah dilayari tanpa pengawasan keluarga,” katanya. Bagi peserta seminar Nuliza Jamaluddin, 44, berkata beliau amat berharap program seumpama ini diadakan lagi bagi mengukuhkan lagi institusi kekeluargaan khasnya untuk warga Kuantan kerana data-data statistik perceraian pada hari ini amat membimbangkan.

 UMP5937 FILEminimizer

Manakala bagi peserta, Malek Hassan, 31, berpandangan pelbagai isu hari ini melibatkan krisis rumah tangga wujud antaranya melibatkan isteri yang bergaji besar sehingga menyeret konflik dalam hubungan suami isteri. Malahan isteri tidak lagi mahir menjalankan tanggungjawab apabila merasakan tugasnya sebagai pencari nafkah yang sepatutnya merupakan tugas suami seakan terpikul dibahu mereka. Majlis ini turut dihadiri Pengarah Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN), Dr Mahyuddin Ismail, Pengarah  ARKIB Negara Malaysia, Usdi Abdullah.

UMP MEMASYARAKATKAN TEKNOLOGI BERSAMA MASYARAKAT ORANG ASLI

Cameron Highlands, 15 Oktober 2017 - Sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengadakan program kesukarelawanan dalam Dakwah Ummah 4.0 bertemakan memasyarakatkan teknologi di Perkampungan Orang Asli Rening yang terletak di Cameron Highlands hasil kerjasama Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Program mendapat sokongan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Jabatan Penyelidikan dan Inovasi universiti ini. Antara aktiviti yang dilakukan adalah pemasangan solar di surau, membaikpulih panel solar di rumah penduduk kampung dan pemasangan mini hydro elektrik untuk manfaat penduduk.

19

Menurut  Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dato’ Dr. Rosli Mohd. Yunus yang hadir merasmikan program berkata, dalam merealisasikan  agenda Pelan Strategik UMP 2016-2020 bertemakan “MemasyarakatkanTeknologi”, UMP  terus menggembleng bakat-bakat yang ada bagi memastikan kepakaran teknologinya dapat dibawa ke lapangan bagi manfaat masyarakat di peringkat akar umbi.

21

“Dengan kepakaran yang ada sukarelawan UMP membuat pemeriksaan solar dan membersihkan panel solar yang siap terpasang di setiap rumah di sini sejak 13 tahun lalu dalam memastikan ianya dapat berfungsi dengan baik. Selain itu memasang solar di surau yang dapat dimanfaatkan komuniti di kampung ini,” katanya.

20

Tambah beliau, hasil daripada usaha ini sebanyak tujuh buah rumah telah dapat menerima bekalan elektrik walaupun dengan kapasiti yang terhad dan kerja-kerja baikpulih dijalankan  mengikut kerosakan dan fasa.

16

Sementara itu, sukarelawan daripada Fakulti Kejuruteraan Pembuatan turut menjalankan Projek Mini Hidroelektrik dengan mengadakan sesi pengujian menggunakan prototype mini hidro. Mereka telah membina dasar empangan untuk mengalirkan air dengan kapasiti yang sesuai bagi menjana 12 Volt tenaga bagi keperluan penduduk.

Program kerjasama ini juga merupakan satu pencapaian yang amat signifikan, terutamanya dalam konteks Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang memerlukan pelbagai agensi kerajaan bersinergi antara satu sama lain bagi menggerakkan projek-projek yang memberi nilai tambah kepada pembangunan sosio-ekonomi rakyat di luar bandar.

17

Sementara itu, pengarah program, Penolong Pegawai Hal-Ehwal Islam, Ustaz Mohamad Hasnur Abdul Hamid berkata, penganjuran program ini juga dapat menerapkan elemen dakwah, ibadah dan khidmat sosial kepada masyarakat setempat sekaligus membuktikan hubungan erat mahasiswa universiti dan komuniti.  

18

Sukarelawan bergotong-royong membersihkan dan mengecat surau bagi menambah keceriaan di samping mengadakan Klinik Fardhu Ain, Tazkirah Subuh Tahsin Al-Quran, Kursus Sembelihan oleh Unit Halal Pejabat Agama Islam Cameron dan pemeriksaan kesihatan kendalian Pejabat Kesihatan Daerah Cameron. Turut diadakan sukaneka, persembahan kebudayaan, kenduri kampung dan Pertandingan Master Chef Masakan Tradisional bagi mengeratkan hubungan dengan masyarakat kampung.

UMP & UDA HOLDING RAIKAN KEINDAHAN RAMADAN



PEKAN, 12 Jun –
Kemeriahan Ramadan turut dirasai apabila UMP dan UDA Holding berganding bahu melaksanakan tanggungjawab sosial korporat bagi manfaat komuniti Kuala Pahang dan pelajar UMP. Program ini telah disertai oleh warga kerja UMP, UDA dan masyarakat setempat yang diadakan pada cuti umum Sambutan Nuzul Al-Quran.

Dalam program tersebut, beberapa aktiviti turut diadakan antaranya pertandingan memasak bubur lambuk, Majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada asnaf sebagai persediaan menyambut Ramadan dan syawal yang bakal menjelang tiba.

Pusat Islam & Pembangunan Insan telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan acara Bubur Lambuk dan memasak hidangan menu utama Majlis Berbuka Puasa iaitu Gulai Daging Kawah.

Lebih 1000 pelajar dan orang ramai terdiri dari komuniti setempat telah hadir memeriahkan Indahnya Ramadan yang mempamerkan komitmen yang tidak berbelah bahagi.


Menurut Dato’ Seri Dr. Mohd Shafei Abdullah yang merupakan Pengerusi UDA Holding Berhad, pihak UDA bakal membangunkan kawasan perumahan dan pembangunan di daerah Pekan melibatkan cadangan rumah kediaman PR1MA di kawasan seluas 512 ekar.  "Justeru penganjuran program ini dapat mendekatkan pihaknya dengan masyarakat di sini. Merancakkan Program Indahnya Ramadan pihaknya telahpun mengadakan program CSR dengan menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan termasuklah di Johor Bahru dan Kuala Lumpur," katanya.


Turut hadir, Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim, Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang, Dr. Mahyuddin Ismail, Pengarah Pusat Islam & Pembangunan Insan UMP memeriahkan majlis.





MAHASISWA UMP SERTAI CERAPAN HILAL RAMADAN


PEKAN,26 MEI 2017-
Seramai 17 orang mahasiswa dan 6 orang kakitangan Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah diberi peluang untuk menyertai Program Cerapan Anak Bulan bagi menentukan Awal Ramadan yang dilakukan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang di Stesen Cerapan Bukit Tanjung Batu,Nenasi. Lawatan yang dianjurkan oleh Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) ini adalah bertujuan bagi memberi pendedahan dan pengetahuan kepada para mahasiswa tentang bagaimana penentuan bulan Islam dilakukan.

Menurut Pengarah Program Lawatan Cerapan Anak Bulan Ramadan, Muhammad Farid Bin Mohd Idris berkata, proses cerapan anak bulan ini biasanya dilakukan oleh petugas daripada Jabatan Mufti Negeri Pahang dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) setiap kali apabila menjelang ketibaan Ramadan,Syawal dan Zulhijjah di stesen-stesen cerapan rasmi di negeri Pahang. Proses ini dilakukan adalah bagi menilai kembali peredaran bulan disamping mengesahkan pengiraan hisab yang telah dilakukan bagi menentukan perubahan bulan qamari. Oleh sebab itu,pihak PIMPIN merasakan adalah penting untuk memberi pendedahan kepada para mahasiswa tentang kaedah dan proses cerapan dilakukan.

Salah seorang peserta,Che Ahmad Fathi Bin Che Mohamad dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal berkata, lawatan Cerapan Anak Bulan Ramadan ini memberi pengalaman baru kepada beliau tentang kaedah dan cara untuk melihat anak bulan Ramadan. Beliau turut berharap agar program sebegini dapat diteruskan supaya para mahasiswa dapat melengkapkan diri dan menambah pengetahuan tentang perkara yang tidak terdapat dalam silibus pengajian teknikal seterusnya dapat mengaplikasikan ilmu tersebut dalam kehidupan.

Proses cerapan anak bulan bermula pada jam 6.15 petang dan berakhir pada 7.45 malam. Pusat Islam dan Pembangunan Insan mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih khususnya kepada Jabatan Mufti Negeri Pahang dan Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) atas segala kerjasama yang telah diberikan demi memastikan lawatan ini berjalan lancar.

KEMBARA IBRAH MUSLIM ANTARABANGSA KONGSI KEPAKARAN BERSAMA MASYARAKAT THAILAND


SONGKHLA,THAILAND 18 Mei
– Ke arah merealisasikan agenda “Memasyarakatkan Teknologi” sepertimana yang telah diamanatkan oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada Februari 2017  lalu , Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) dan Pejabat Naib Canselor (PNC) telah menganjurkan Program Kembara Ibrah Muslim Antarabangsa @Thailand.

Program yang berteraskan  perkongsian teknologi kepada masyarakat ini memilih Thailand sebagai destinasi untuk para mahasiswa dan penyelidik UMP mempamerkan dan berkongsi projek dan hasil kajian mereka bagi manfaat masyarakat di peringkat global. Seramai 30 orang mahasiswa dan 8 orang kakitangan UMP telah mengambil bahagian dalam program lawatan yang dijadualkan mengambil masa 4 hari 3 malam ini.

Menurut Pengarah Pusat Islam & Pembangunan Insan, Dr. Mahyuddin Bin Ismail turut bersama-sama dalam program ini berkata, sebagai sebuah pusat yang bertanggungjawab dalam memastikan penghayatan para mahasiswa kepada Nilai Teras Universiti yang pertama,PIMPIN tekad untuk terus mengadakan program yang dapat memberikan ibrah dan pengajaran yang berguna dalam memacu kemajuan modal insan di kalangan para mahasiswa. Justeru itu,Program Kembara Ibrah Muslim Antarabangsa ini dilihat sebagai satu platform yang tepat bagi para mahasiswa menabur ilmu kepada masyarakat disamping dapat mengambil pengalaman dan pengetahuan tentang ilmu baru yang diperolehi dari negara jiran.

Menurut beliau lagi,selain daripada dapat memberi pengetahuan berkenaan pembangunan dan penyelidikan yang berteraskan teknologi kepada pelajar-pelajar sekolah agama di beberapa perkampungan di Yala,Narathiwat dan Songkhla, program ini juga dapat memberi pendedahan kepada mahasiswa UMP agar dapat mengambil input berkenaan penulisan Al-Quran secara manual yang dipamerkan di Muzium Al-Quran Tulisan Tangan (Handwriting) yang terdapat di Narathiwat.



Sementara itu, menurut salah seorang peserta kembara, Muhammad Aizuddin Abdullah, 25 pelajar Master of Science berkata, program cetusan PIMPIN ini sangat memberi manfaat kepada saya dimana saya dapat mengenali budaya dan peradaban masyarakat Thailand. Pengalaman ini lebih manis apabila kami dapat untuk berkongsi hasil ciptaan dan penyelidikan kami para mahasiswa UMP bersama pelajar-pelajar sekolah yang rata-ratanya sangat menunjukkan minat kepada teknologi.Justeru itu, saya berpendapat bahawa program ini perlu diteruskan bagi memberi semangat kepada golongan albab agar mempelajari ilmu berkaitan Sains dan Teknologi dengan menyeluruh untuk kemajuan Umat Islam khususnya.