JOM LEPAK @MASJID KAMPUNG MARHUM DISAMBUT MERIAH



Pekan, 10-11 MAC 2017
- Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Universiti Malaysia Pahang (UMP)terus melebarkan sayap ukhwah dalam menjayakan Program Jom Lepak @ Masjid, dengan kerjasama Masjid Kg. Marhum Pekan pada 10 hingga 11 Mac 2017 yang lalu.

Program ini adalah kesinambungan dari program sama yang telah dijalankan dengan jayanya di Masjid Taqwa, Masjid Tanjung Selangor, Masjid Paya Bungor dan Masjid Lama Permatang Badak Kuantan pada tahun lepas.

Menurut Pengarah Program Jom Lepak @ Masjid, Ustaz Shahrul Nizam Md Ahir,lokasi kali ini adalah salah satu siri jelajah komuniti dan revolusi dalam penjenamaan UMP bagi program khidmat komuniti. Melalui program ini diterapkan elemen dakwah,ibadah dan khidmat sosial kepada masyarakat setempat sekaligus membuktikan mahasiswa universiti dan komuniti berpisah tiada.

Objektif utama program adalah untuk menyeru masyarakat setempat terutama generasi muda mengimarahkan masjid selain merupakan salah satu medium bagi warga UMP untuk berbakti kepada masyarakat setempat.


Program dua hari itu melibatkan penyertaan seramai 60 pelajar UMP dari kampus Pekan dan Kampus Gambang. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Forum Muqarabin yang bertajuk“ Celik Mata vs Buta Hati” yang membariskan Panel Forum iaitu Pensyarah Kanan Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan, Al-Fadhil Dr. Hilmi bin Md Said dan Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, Al-Fadhil Ustaz Nik Ibrahim bin Nik Abdullah.



Aktiviti-aktiviti lain ialah Qiamullail, Kuliah Subuh, Gotong-royong BBQ dan membersih masjid bersama Jemaah Masjid Kg. Marhum Pekan.


VIRAL VS MORAL ISU MENARIK DALAM ANDA TANYA USTAZ JAWAB

PEKAN, 24 Februari 2017 - Program Anda Tanya Ustaz Jawab kali ini menampilkan suatu tajuk yang menjadi  isu dan  perbualan hangat netizen di media sosial dan juga media arus perdana.

Secara khususnya tajuk ”Viral Vs Moral” ini dipilih bagi memberi pencerahan yang sebenar kepada masyarakat tentang isu menggemparkan sesuatu perkara tanpa ilmu.



Program yang dianjurkan secara bersama oleh Pusat Islam & Pembangunan Insan dan Perpustakaan UMP ini telah menggandingkan 2 orang ahli panel yang cukup disegani masyarakat tanah air iaitu Prof. Dr. Supyan Hussin, seorang Pakar Sains Sosial, UKM yang turut menggalas jawatan Timbalan Pengarah di Pusat Pengajaran & Teknologi Pembelajaran di universiti yang sama serta Ustaz Mohd Lokman Ahmad yang merupakan finalis Pencetus Ummah terbitan Astro. Program ini telah disertai hampir 200 orang peserta yang terdiri daripada warga UMP, Agensi Kerajaan Daerah Pekan & Kuantan dan komuniti masyarakat sekitar Kuala Pahang.



Menurut Prof. Supyan, fenomena viral atau tular ini adalah satu tafsiran yang berbeza kerana viral merujuk kepadaperkembangan negatif terhadap sesuatu perkara sama ada dari aspek perubatan yang merujuk kepada kondisi kesihatan yang tidak baik namun ia digunakan dalam mensensasikan sesuatu isu mahupun maklumat lebih-lebih lagi di media sosial.
Para peserta pula tidak kering gusi mendengar penyampaian PU Lokman kerana mendatangkan analogi yang menghiburkan bahkan bertepatan dengan mesej dan objektif program yang mahu disampaikan.



Secara keseluruhannya rata-rata peserta program berpuas hati dengan pengisian program dan berharap pihak penganjur mengadakan lagi diskusi ilmu seumpama ini. Program berakhir dengan penyampai cenderahati kepada penceramah oleh En. Dzull Zabarrod, Timbalan Ketua Pustakawan, UMP.

 

KUNJUNGAN HORMAT DELEGASI UMP KE DARUL QURAN BINCANG PEMBANGUNAN “ENGINEER HUFFAZ”



KUALA KUBU BHARU,10 Februari –
Menyedari kepentingan Al-quran sebagai panduan kepada kehidupan manusia, Pusat Islam Dan Pembangunan Insan (PIMPIN) dengan kerjasama Pusat Bahasa Moden Dan Sains Kemanusiaan (PBMSK) mula membangunkan pelan Pembangunan Juruteknologi / Jurutera Huffaz atau lebih dikenali “Engineer Huffaz”.  Bagi merealisasikan projek berkenaan, satu kunjugan hormat ke Darul Quran JAKIM telah diadakan bagi mendapatkan nasihat dan pendapat daripada institusi yang mempelopori pengajian tahfiz Al-Quran terulung di negara ini.

Ketibaan Delegasi UMP yang terdiri daripada Pensyarah Kanan Pusat Bahasa & Sains Kemanusiaan, Dr. Rashidi Bin Abbas, Pegawai Hal Ehwal Islam Pusat Islam & Pembangunan Insan, Ustaz Muhammad Sallehuddin Bin Md Derus, Ustaz Muhammad Hasnur Bin Abd Hamid dan Ustaz Muhammad Farid Bin Mohd Idris telah disambut oleh pegawai-pegawai Darul Quran yang diketuai oleh Pengarah, Dr. Haji Nordin Bin Ahmad.

Taklimat berkenaan dengan Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran telah diberikan oleh Pegawai Perhubungan Awam Darul Quran, Ustaz Mohd Aishamudin Bin Samsungei. Dalam taklimatnya, beliau telah menyatakan dua model pengajian yang sedang dijalankan bagi program pengajian ini iaitu:

  1. Model UIAM; program Pensijilan Tahfiz dijalankan terlebih dahulu sebelum pelajar belajar dalam bidang profesional
  2. Model UNITEN/CUCMS/UTeM; program Pensijilan Tahfiz dijalankan serentak dengan pengajian dalam bidang profesional

Dr. Haji Nordin turut menambah bahawa penekanan terhadap lima faktor kesediaan dalam pelaksanaan program perlu diteliti iaitu:

  1. Faktor pelajar – mempunyai minat yang mendalam terhadap program, mempunyai tahap penguasaan hafazan yang baik dan gaya hidup yang baik.
  2. Faktor pensyarah – mempunyai komitmen yang tinggi dan menguasai pelbagai kaedah hafazan. Pensyarah tasmi’ juga mestilah seorang penghafaz al-Quran.
  3. Faktor program pengajian/kurikulum – berkenaan dengan beban pembelajaran.
  4. Faktor persekitaran – percampuran pelajar tahfiz dengan yang tidak menghafaz, prasarana atau alat bantu mengajar yang mencukupi serta pelajar tidak seharusnya dibebankan dengan beban kewangan.
  5. Faktor sokongan – komitmen berterusan di peringkat atasan, penghargaan/penglibatan pelajar, pengawalan/pemantauan dan sokongan rakan-rakan/institusi/ibu bapa.

Pertemuan ini berakhir kira-kira pada pukul 10:30 pagi selepas pertukaran cenderamata dari kedua pihak dan sesi bergambar. Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Pengarah Akademik, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kualiti Pendidikan Tahfiz dan pegawai-pegawai dari Cawangan Kualiti Pendidikan Tahfiz serta seorang pegawai dari Unit Kurikulum.






KEM "WORKSHOP SUPERMUSLIM" MANFAATKAN 49 ANAK STAF UMP



UMP Pekan, 19-21 Disember 2016 – Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan program ‘Workshop Supermuslim 2016’ secara serentak masing-masing di Masjid UMP Pekan dan Gambang bagi memanfaatkan anak-anak staf sempena musim cuti sekolah baru-baru ini.



Bertepatan dengan nilai teras  UMP iaitu Hubungan yang kuat dengan Yang Maha Pencipta, PIMPIN mengambil langkah dengan menganjurkan program meningkatkan aspek pembangunan sahsiah diri peserta di samping mengukuhkan nilai kerohanian dan jati diri sebagai seorang muslim sejati.



Program yang dikendalikan  9 orang fasilitator dan 5 orang staf PIMPIN ini membabitkan penyertaan seramai 49 orang peserta yang terdiri dalam kalangan anak-anak staf yang berkhidmat di UMP.

Menurut Pegawai Hal Ehwal Islam UMP, Ustaz Muhammad Sallehudin Md Derus berkata, suasana ceria para peserta menunjukkan minat dan komitmen yang tinggi bermula dari slot yang pertama lagi.



“Pada peringkat awal, program ini hanya mensasarkan kepada 30 peserta sahaja namun sambutan yang menggalakkan daripada peserta yang berada dalam lingkungan umur 8 tahun sehingga 13 tahun menyebabkan pihak penganjur terpaksa menambah lagi bilangan peserta yang mendaftar,” katanya.

Ujar Ustaz Muhammad Sallehudin , program selama tiga hari ini diisi dengan pelbagai aktiviti yang merangkumi jati diri, kerohanian, fizikal dan interlektual dalam mencapai objektif melatih para peserta agar berfikiran inovatif, kreatif dan berdikari sebagai persediaan untuk menempuh alam remaja nanti.



Antara pengisian ilmiah yang terkandung dalam program ini ialah ‘Who Am I?’, ‘Karektor Anak Soleh’, ‘Asas Keperibadian Muslim’, ‘Asas Bersuci dalam Islam’, ‘Kepentingan Solat sebagai Seorang Muslim’ dan ‘Kepentingan Mempelajari Al-quran’. Di samping itu, aktiviti dalam kumpulan (LDK) juga diwujudkan bagi memantapkan lagi pemahaman bagi memberi keberkesanan terhadap penerapan nilai yang ditonjolkan.

Menurut peserta program, Hassan Nasrullah Ramdan, 10 yang belajar di Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Haq Muadzam melahirkan rasa  seronok dan berhasrat untuk menyertai program sebegini pada masa akan datang.



Selain itu, peserta juga berpeluang mengikuti aktiviti Explorace Ilmu dengan aktiviti menguji minda dan fizikal yang berkisar tentang slot ceramah yang telah diberikan di sepanjang program.







UMP TERUSKAN TRADISI PENGAJIAN TALAQI KITAB



UMP Pekan, 1 Disember 2016  - Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Universiti Malaysia Pahang (UMP)telah berjaya menganjurkan Program Daurah Kitab siri 2, pada 1 Disember 2016 yang lalu.



Program Daurah kitab siri 2 ini menampilkan panel penceramah iaitu Pengetua Maahad Tahfiz Ribath al-Mustafa, Al-Fadhil Ustaz Uwais Al-Qarni Abdul Wahab yang membahaskan dari kitab “At-Taghrirot As-Sadidah” (Fiqh Ibadah).



Menurut Pengarah Program Daurah Kitab, Ustaz Shahrul Nizam Md Ahir, Program ini adalah salah satu siri untuk menghidupkan tradisi berhimpun bersama ulama’ bagi tujuan talaqqi kitab-kitab mu’tabarah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan memahami konsep fiqh ibadah dalam mengesakan Allah , tuhan yang tiada sekutu bagiNya, yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan, kesucian, kebesaran dan keadilan.

Objektif utama program adalah untuk menarik minat pelajar dan staf UMP untuk mengenali system talaqqi pengajian para ulama terdahulu walaupun kurangnya kemudahan dalam pengajian tetapi memperolehi keberkatan yang dapat dirasai manfaatnya sehingga generasi hari ini.



Program sehari ini melibatkan penyertaan seramai 90 peserta yang terdiri dari pelajar, staf ump dan agensi kerajaan sekitar daerah pekan.

ANDA TANYA USTAZ JAWAB  BINCANG ISU JENAYAH SIBER



Universiti Malaysia Pahang, 25 November 2016
– Pusat Islam & Pembangunan Insan ( PIMPIN ) dan Fakulti Kejuruteraan Pembuatan telah berganding bahu memeriahkan lagi Program Anda Tanya Ustaz Jawab bertempat di Dewan Kuliah Utama PBMSK, UMP Kampus Pekan. Pada kali ini, dengan tema yang istimewa, tajuk Jenayah Siber: “ Klik Dengan Bijak” telah dipilih untuk disampaikan kepada para peserta. Bertetapan dengan suasana dan situasi yang berlaku pada ketika dan saat ini, PIMPIN merasakan perlu kepada satu program pencerahan dan teknik yang betul kepada orang ramai supaya bersedia dan menghadapi situasi yang berkaitan dengan jenayah siber.



Kami datangkan panel jemputan yang pakar dalam jenayah siber iaitu Inspektor Nasrul bin Mohd Isa selaku Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, PDRM yang mengupaskan tentang bahana kegiatan jenayah siber yang semakin menular di dalam Negara kita. Kami juga datangkan panel penceramah yang pakar dalam bidang teknologi maklumat iaitu Encik Muhammad Hisyamuddin bin Baharudin, Pensyarah Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, KUIPSAS. Pelbagai kupasan menarik yang telah dibicarakan pada hari program tersebut.



Semoga program-program berunsur mengikut isu semasa dan pembudayaan ilmu seperti ini terus subur di bumi UMP. Turut hadir Dr Muhammed Nafis bin Osman Zahid, Ketua Program Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, pegawai-pegawai universiti serta pelbagai agensi sekitar Pekan yang telah dijemput ke program ini.