Sambutan Ihya' Ramadhan Meriah

UMP, 10 Julai 2013 - Tanggal 1 Ramadhan 1434H yang lepas adalah hari kebesaran Islam yang sentiasa dinantikan oleh setiap umat Islam. Justeru warga UMP dengan kelolaan PIMPIN telah menyemarakkan lagi Ihya' Ramadhan 1434H / 2013. Antara upacara yang dianjurkan termasuklah Iftar Ramadhan, Solat Tarawikh, Program Tadarus, TV PIMPIN dan berbagai lagi aktiviti.

Seminar Ilmu Falak & Ibadah 2013

Universiti Malaysia Pahang, 8 Julai 2013 – Seminar Ilmu Falak & Ibadah telah terlaksana dengan jayanya dengan melibatkan penyertaan yang memberangsangkan oleh warga UMP khasnya dalam memberi pendedahan dan penerokaan ilmu pengetahuan berkaitan ilmu astronomi berteraskan Islam. Seminar yang dianjurkan Pusat Islam & Pembangunan Insan(PIMPIN) dengan kerjasama Kelab Astronomi UMP dan Jabatan Mufti Negeri Pahang ini merupakan salah satu daripada program yang dirancang sebagai pendedahan awal kepada warga UMP dan kawasan sekitarnya.
Dengan hasrat ingin merealisasikan nilai teras UMP yang pertama iaitu ‘hubungan yang kuat dengan Yang Maha Pencipta’, program seumpama ini dilaksanakan. Konsep seminar ini adalah menjurus kepada pembentangan oleh pakar berkaitan ilmu falak dan astronomi. Melalui seminar ini, peserta didedahkan dengan pendidikan astronomi, kalendar hijri, taqwim qamari, buruj dan segala ilmu berkaitan astronomi.
Seminar yang dihadiri seramai 108 orang peserta ini telah disampaikan oleh  pembentang yang berkaliber iaitu Prof. Madya Dr. Baharrudin Zainal dari Universiti Sultan Zainal Abidin(UNISZA) selain turut dihadiri Prof. Dato’ Ir. Dr. Badhrulhisham Bin Abdul Aziz, Timbalan Naib Canselor UMP serta Dato’ Mufti Negeri Pahang. Majlis diakhiri dengan sesi soal jawab yang berkisar segala permasalahan berkaitan penyelidikan sains angkasa dan ilmu falak.

Perlantikan Pengarah Baru PIMPIN

UMP, 5 Julai 2013 - Dr. Mahyuddin telah dilantik oleh pengurusan tertinggi universiti sebagai Pengarah PIMPIN yang baru berkuatkuasa 5 Julai 2013. Beliau yang merupakan pensyarah di PBMSK adalah menggantikan Prof. Madya Dr. Hasan Ahmad yang telah selesai berkhidmat di PIMPIN UMP. Pelantikan beliau selaku Pengarah PIMPIN yang baru adalah dilihat berdasarkan pengalaman beliau yang begitu tinggi seperti berikut :
  • Panel Kajian Pengamalan Perubatan Islam JAKIM
  • Kolumnis Majalah al-Islam
  • Ahli Jawatankuasa Pusat GAPEMA

Seminar Perubatan Islam 2013 Hangat!

Universiti Malaysia Pahang, 29 Mei 2013 -  Seminar Perubatan Islam telah berjaya dilaksanakan di Dewan Kuliah, FKM, UMP Kampus Pekan yang dihadiri 77 orang peserta dari kalangan pelajar dan Staf UMP yang terdiri dari PTJ di kampus Gambang dan Pekan.

Kursus ini dilaksanakan hasil permintaan yang memberangsangkan oleh warga UMP khasnya dalam memberi pendedahan dan penerokaan ilmu pengetahuan berkaitan perubatan alternatif. Kursus yang dianjurkan Pusat Islam & Pembangunan Insan(PIMPIN) dengan kerjasama Bahagian Latihan & Kompetensi(BLPK) ini merupakan satu daripada program yang termasuk dalam taqwim PIMPIN 2013.

Dengan hasrat ingin melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang budaya kerja, kursus ini diharapkan dapat memberi pendedahan jelas berkaitan perubatan Islam dan informasi berkaitan ilmu sihir dan makhluk halus. Modul sukatan kursus ini dibahagikan kepada 2 slot iaitu Pengenalan Makhluk Halus dan Kaedah Rawatan serta Praktikal dan Simulasi.

Kursus yang dihadiri seramai 77 orang peserta ini dikendalikan oleh Dr. Mahyuddin Bin Ismail adalah merupakan seorang yang pakar dengan ilmu peruabatan Islam bagi mengisi setiap slot kursus. Selaku Pensyarah Universiti Malaysia Pahang, beliau merasakan perlunya pendidikan perubatan alternatif ini disebarluas kepada masyarakat amnya dan warga UMP khususnya bertujuan memberi input berguna sebagai persediaan menghadapi pelbagai kemungkinan. Sejajar matlamat itulah kursus ini dilaksanakan dengan jayanya. Majlis diakhiri dengan sesi soal jawab yang berkisar segala permasalahan berkaitan perubatan Islam oleh para hadirin.




Kem Pelajar TOGETHER WE UNITE Semarak Sikap Berdikari

Pantai Pasir Lanun, Mersing, Johor, 6-8 April 2013 – TOGETHER WE UNITE telah terlaksana dengan jayanya hasil permintaan yang memberangsangkan oleh warga UMP khasnya dalam memberi pendedahan dan penerokaan ilmu pengetahuan nilai-nilai murni sebagai seorang Muslim.Program yang dianjurkan Pusat Islam & Pembangunan Insan(PIMPIN) ini merupakan satu daripada program yang termasuk dalam taqwim PIMPIN 2013.

Program ini telah melibatkan seramai 114 orang peserta dan ahli jawatankuasa induk. TOGETHER WE UNITEadalah program yang dijalankan bagi memantapkan peribadi muslim dikalangan mahasiswa/wi UMP. Program ini menekankan nilai-nilai yang perlu ada pada seorang muslim sejati. Ini adalah kerana banyaknya gejala-gejala sosial yang berlaku dikalangan remaja sejak akhir-akhir ini. Nilai-nilai Islam yang mantap perlu diterapkan lagi di peringkat mahasiswa, khususnya mahasiswa Universiti Malaysia Pahang untuk memastikan mereka menjadi mahasiswa yang bersedia dan kental dalam menghadapi cabaran-cabaran yang boleh merosakkan diri dan akhlak mereka. Mahasiswa yang beragama Islam perlulah berketrampilan dan mempunyai identiti Islam kuat dan mantap.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah sesi taklimat keselamatan, sesi suai kenal, `night walk’, `jungle traking’, ‘explorace’, ‘master chef’ dan pelbagai lagi aktiviti santai bersifat aktiviti luar kelas yang semestinya mengundang ketenangan dan keseronokan kepada peserta setelah penat belajar.

Program berakhir dengan perasmian majlis penutup yang telah disempurnakan oleh Ustaz Mohamad Hazmi Bin Dibok selaku Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan yang mewakili Pengarah PIMPIN.

Seminar Tasawwur Islam 3i

Universiti Malaysia Pahang, 13 Mac 2013 -  Seminar 3i telah berjaya dilaksanakan di Dewan Tun Teja, UMP Kampus Gambang yang dihadiri 54 orang Staf UMP yang terdiri dari PTJ di kampus Gambang dan Pekan.

Pembentangan 1 yang membahaskan tajuk “Ihsan”  telah disampaikan oleh Ustaz Haji Zuridan bin Mohd Daud yang merupakan Pensyarah dari Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang.

Manakala slot ke-2 telah disampaikan oleh Ustaz Nor Hamizi Bin Jamaluddin yang bertugas di Jabatan Agama Islam Pahang sebagai Penolong Pengarah Dakwah dengan ceramah yang bertajuk “Iman”.

Setelah selesai sesi pembentangan 1 dan 2, semua peserta telah diberikan jamuan makan tengahari dan majlis berhenti rehat seketika untuk memberi laluan  solat  Zohor berjemaah di masjid UMP Kampus Gambang.

Sesi pembentangan ke-3 diteruskan pada jam 2.30 petang yang telah disampaikan oleh Ustaz Abdul Zaki bin Mohd Zin yang merupakan Qadhi Daerah Kuantan, Pahang dengan ceramah yang bertajuk “Islam”. Sesi pembentangan terakhir ini tamat pada jam 4.30 petang dan semua peserta telah mendapat input yang tepat berkaitan apakah itu Islam, Iman dan Ihsan bertepatan dengan objektif dan juga matlamat kursus ini dijalankan. Majlis ini diakhiri dengan sesi soal jawab dari kalangan peserta program serta penyampaian cenderahati kenang-kenangan dari PIMPIN kepada para penceramah yang sudi meluangkan masa berkongsi ilmu kepada warga Universiti Malaysia Pahang.