UMP, MASJID SRI MAULANA BEKERJASAMA ANJUR JOM LEPAK MASJID

Pekan, 16 - 17 November 2018 - Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) Universiti Malaysia Pahang (UMP) terus melebarkan sayap ukhwah dalam menjayakan Program Jom Lepak @Masjid dengan kerjasama Masjid Sri Maulana, Pekan baru-baru ini.

Program ini adalah kesinambungan daripada program yang telah dijalankan dengan jayanya di Masjid Kg. Marhum, Masjid Taqwa, Masjid Tanjung Selangor, Masjid Tanjung Agas, Masjid Paya Bungor, Masjid Lama Permatang Badak dan Masjid Tepian Putra Kuantan yang dianjurkan pada tahun ini dan tahun-tahun lepas.

1

Menurut Pengarah Program Jom Lepak @ Masjid, Ustaz Shahrul Nizam Md Ahir, lokasi kali ini adalah salah satu siri jelajah komuniti dan revolusi dalam penjenamaan UMP bagi program khidmat komuniti dan memakmurkan Masjid.

“Melalui program ini diterapkan elemen dakwah, ibadah dan khidmat sosial kepada masyarakat setempat sekaligus membuktikan hubungan erat mahasiswa universiti dan komuniti. Program ini juga dapat mengajak masyarakat setempat terutama generasi muda mengimarahkan masjid dengan menjadikan masjid sebagai medium bagi warga UMP untuk berbakti kepada masyarakat setempat,” katanya.

4

Program dua hari itu melibatkan 70 orang mahasiswa UMP dari kedua-dua kampus UMP di Pekan dan Gambang. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Forum Muqarabin yang bertajuk “Mencetak Insan Bertaqwa” yang membariskan panel forum iaitu Pensyarah Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK), Al-Fadhil Ustaz Tuan Sidek bin Tuan Muda dan Mudir Pusat Pengajian Tahfiz  Ribat Al-Mustafa Al-Fadhil Ustaz Haji Muhammad Uwais Qarni bin Abd Wahab.

2

Menurut Ustaz Haji Uwais Qarni, Janganlah kita sebagai ahli jawatankuasa Masjid menghalang anak-anak kecil  dan remaja bermain di dalam Masjid kerana lebih baik mereka berada di Masjid yang merupakan tempat turunnya Rahmat Allah dari berada di tempat lain. Selain itu juga Masa muda adalah masa di mana syahwat sedang memuncak sehingga tidak kurang ramai pemuda yang terjerumus dalam kemaksiatan. Hanya pemuda yang mampu mengisi hari-harinya dengan ibadah sahajalah yang terselamat di hari kiamat. Sebagaimana kisah ‘Ashabul Kahfi’ (Para pemuda Kahfi) yang mengelakkan kezaliman penguasa untuk menyelamatkan aqidah mereka.

Firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah  (18)

“Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat, dan tidak takut kepada siapapun selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk.”   

3

Selain itu, antara aktiviti lain yang dijalankan ialah program Qiamullail, kuliah subuh, dan bergotong-royong membersihkan masjid bersama Jemaah Masjid Sri Maulana, Pekan. Turut hadir merasmi Program ialah Pengerusi Masjid Sri Maulana, Dato’ Haji Sa’udi bin Haji Ahmad dan juga Pegerusi Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Ahmadi, Nenasi Pekan.