SEMINAR SAINTIS MUSLIM MUDA 2.0 MENGORAK LANGKAH KE ALAF MALAYSIA BARU

 

UMP Pekan, 29 September 2018 – Buat kesekian kalinya, Pusat Islam & Pembangunan Insan UMP terus komited menganjurkan program komuniti sejajar dengan tagline universiti untuk ‘Memasyarakatkan Teknologi’ menerusi program Seminar Saintis Muslim Muda 2.0. Biarpun konteks memasyarakatkan teknologi lebih difahami masyarakat kepada mencurahkan aspek kemajuan, mesin, alat telekomunikasi dan apa jua tafsiran, dengan cara berkongsi penemuan inovasi baru kepada masyarakat untuk merangsang daya kreativiti masyarakat juga merupakan suatu tanggungjawab sosial yang wajar direalisasikan.

1 FILEminimizer

Dengan menyediakan platform kepada penyelidik-penyelidik pakar membentangkan hasil penemuan baru berinovasi secara langsung memberi pendedahan dan manfaat kepada lebih 152 orang mahasiswa terpilih yang hadir dari institusi-institusi pendidikan tinggi awam dan swasta dalam negeri Pahang.

Pogram yang mendapat kerjasama penuh dari Majlis Ugama Islam Pahang & UMP Advanced Education ini telah dijalankan di Dewan Kuliah 1, Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Universiti Malaysia Pahang Kampus Pekan dengan objektif meneroka kefahaman dan pencerahan mengenai pendekatan terbaik dalam mendalami ilmu-ilmu berkaitan Sains dan Teknologi dari perspektif Islam selain memberikan peluang kepada para peserta yang terdiri daripada pelajar IPTA dan IPTS serta para remaja untuk meneroka dan mempelajari ilmu Sains dan Teknologi dalam perspektif Islam bagi tujuan pengaplikasian dalam kehidupan serta menjadikan UMP sebagai hab utama dalam penyebaran ilmu yang berteraskan sains dan teknologi tidak terhad kepada para mahasiswa UMP sahaja bahkan turut menjadikan masyarakat di negeri Pahang khususnya sebagai penerima manfaat bersama.

Program dijalankan selama 1 hari ini telah menghimpunkan seramai 4 orang pakar penyelidik iaitu Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Profesor di Universiti Malaysia Kelantan dengan tajuk pembentangan Ibrah Teknologi Madu Kelulut. Manakala Encik Abdul Syukor Abdul Razak, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Pahang mengupas Aplikasi Kawalan Biologi Berteraskan Al-Quran.

3 FILEminimizer

Pada sesi ke-3 Ustaz Ahmad Irfan Ikmal Hisham, Pensyarah UMP menyusul dengan membentangkan topik berjudul Meneroka Formulasi Saintifik Kiblat & Takwim Solat. Pada slot terakhir Dr. Mat Rofa Ismail yang merupakan mantan Pensyarah Matematik dari Universiti Putra Malaysia membentangkan topik Bicarawara Sains Islam.

Program berakhir dengan sesi penyampaian hadiah dan minum petang.