PIMPIN ANJUR SEMINAR ILMU FALAK KEBANGSAAN BINCANG ISU FALAK SEMASA

 

PEKAN, 4 April - Seramai 72 orang peserta telah menyertai Seminar Ilmu Falak Kebangsaan 2018 anjuran bersama Pusat Islam dan Pembangunan Insan UMP (PIMPIN) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). Seminar yang berlangsung selama 2 hari ini memberi fokus yang mendalam tentang isu-isu dan hal ehwal semasa berkaitan ilmu falak.

Antara objektif utama penganjuran seminar ini adalah bertujuan membincangkan topik semasa berkaitan ilmu falak dan juga untuk memberi input berguna kepada para peserta berkaitan fenomena yang berlaku di alam semesta dan fenomena alam.

DSCN0336

Antara yang topik yang hangat dibahaskan dalam seminar kali ini ialah “ BUMI SFERA vs BUMI DATAR: KACAMATA ASTRONOMI DAN FALAK”, “SUMBANGAN ILMUWAN INSTITUSI PONDOK DALAM PERKEMBANGAN ILMU FALAK DI MALAYSIA” dan lain lain lagi. Para pembentang pula terdiri daripada ilmuwan dan tokoh ilmu falak ternama di Malaysia. Antaranya Profesor Madya Dr Baharrudin Bin Zainal, Dr. (H) Kassim Bin Haji Bahali, Encik Shahrin Bin Ahmad, Ustaz Haji Hanafiah Bin Abdul Razak , Ustaz Ahmad Irfan Bin Ikmal Hisham dan Ustaz Sabarudin Bin Othman.

Seminar Ilmu Falak yang dianjurkan pada kali ini begitu bertuah kerana mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada agensi-agensi kerajaan dari seluruh negara temasuk ahli akademik dari Negara Indonesia.

Secara keseluruhannya, para peserta berpuas hati dengan segala input dan perjalanan program sepanjang dijalankan selama 2 hari. Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil kepada para peserta.