SEMINAR BAITUL MUSLIM PLATFORM PERKUKUH INSTITUSI KELUARGA

Kuantan, 30 November – Seramai 80 orang peserta dalam kalangan warga Universiti Malaysia Pahang (UMP), ARKIB Negara Malaysia Negeri Pahang dan agensi lain mengikuti Seminar Baitul Muslim 2017 yang diadakan di Auditorium ARKIB Negara Malaysia Negeri Pahang.

Seminar yang berlangsung selama sehari ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai tanggungjawab suami dan isteri dalam memperkukuhkan kehidupan berumahtangga selain memupuk sikap tanggungjawab dan kerjasama di antara pasangan dalam urusan kekeluargaan terutamanya bagi membina sahsiah diri juga anak-anak serta menjadikan agama Islam sebagai panduan hidup berkeluarga.

 UMP5975 FILEminimizer

Hadir menjayakan program penceramah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM),  Al-Fadhilah Ustazah Norhafizah Musa yang mengupas tajuk ‘Isteri Degil, Suami Baran: Antara Pengorbanan & Cinta.' Dalam ceramahnya, beliau menegaskan bahawa setiap keluarga khususnya ibu dan bapa memainkan peranan yang penting dalam membentuk institusi keluarga yang bahagia serta menjadi contoh ikutan kepada anak-anak dalam mengharungi kehidupan sebagai keluarga muslim sejati.

Manakala slot seterusnya bertajuk ‘10 Tips Mengorat : Resepi Menambat Hati Pasangan’ yang disampaikan oleh Profesor Dr. Mohd Nor Mamat, Timbalan Dekan ( Hal Ehwal Pelajar), Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM).Beliau turut berkongsi tips-tips komunikasi dalam memikat hati pasangan serta tips penakluk hubungan suami isteri.

 UMP5929 FILEminimizer

Mengisi slot ketiga bertajuk Kekasihku Curang : Panduan Perceraian & Ancaman disampaikan oleh Penolong Pegawai Syariah Mahkamah Rendah Syariah Pekan Pahang, Ustaz Abdul Hafiz Mad Radzi, atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah Angah dan slot keempat  oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman, Penulis Buku Bestseller Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh dengan tajuk ceramah beliau ‘ Anak Bapak : Membentuk Anak Hebat Gaya Al-Fateh’. Pengarah program, Ustaz Mohamad Hasnur Abdul Hamid berkata, program seperti ini merupakan suatu platform Universiti  memasyarakatkan teknologi kepada golongan Profesional dengan menyampaikan dakwah dan kepentingan menjalin keakraban ikatan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat islam bagi membentuk ummah mahabbah.

 UMP5973 FILEminimizer

“Seminar ini juga lebih menjurus kepada membentuk keluarga bahagia dengan berpandukan kepada syariat islam serta perlaksanaan institusi kekeluargaan yang lebih jitu. Pemantapan institusi keluarga perlu diperkukuh pada zaman ini yang mana pelbagai cabaran perlu ditempuh seperti gejala sosial yang semakin menular dalam kalangan remaja khususnya berkaitan laman sosial yang semakin mudah dilayari tanpa pengawasan keluarga,” katanya. Bagi peserta seminar Nuliza Jamaluddin, 44, berkata beliau amat berharap program seumpama ini diadakan lagi bagi mengukuhkan lagi institusi kekeluargaan khasnya untuk warga Kuantan kerana data-data statistik perceraian pada hari ini amat membimbangkan.

 UMP5937 FILEminimizer

Manakala bagi peserta, Malek Hassan, 31, berpandangan pelbagai isu hari ini melibatkan krisis rumah tangga wujud antaranya melibatkan isteri yang bergaji besar sehingga menyeret konflik dalam hubungan suami isteri. Malahan isteri tidak lagi mahir menjalankan tanggungjawab apabila merasakan tugasnya sebagai pencari nafkah yang sepatutnya merupakan tugas suami seakan terpikul dibahu mereka. Majlis ini turut dihadiri Pengarah Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN), Dr Mahyuddin Ismail, Pengarah  ARKIB Negara Malaysia, Usdi Abdullah.