150 WARGA KOLEJ KEDIAMAN 5 HANGATKAN LADIES & GENTLEMEN MOMENT


PEKAN 22 April –
Lebih 150 warga UMP dan komuniti setempat menyertai program Ladies & Gentlemen Moment yang bertajuk “ Remaja Islam Dari Mana Hendak Ke Mana” anjuran bersama Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman 5 (PEKA 5) dan Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN) yang berlangsung di Masjid UMP Kampus Pekan baru-baru ini.

Program Ladies & Gentlemen Moment ini merupakan inisiatif bersama PIMPIN dan PEKA 5 untuk menyampaikan maklumat dan ilmu yang bermanfaat tentang kehidupan sebagai seorang mahasiswa muslim disamping dapat mendekatkan diri para mahasiswa dengan aktiviti yang bersifat keagamaan. Program ini juga merupakan salah satu daripada rantaian program yang diinisiatifkan sempena berlangsungnya PEKA 5 Open Day yang bermula sejak 21 April hingga 23 April 2017.

Program Ladies & Gentlemen Moment ini adalah program berbentuk forum santai yang menampilkan Imam Muda Nazrul sebagai panelis utama disamping Ustazah Husna Hamzah dari Pusat Bahasa Moden Dan Sains Kemanusiaan(PBMSK) sebagai panelis kedua manakala moderator bagi forum ini ialah Bro Ihwan daripada kumpulan nasyid UMP,Barakah Beggars.

Menurut Pengarah Program, Muhamad Hanif Bin Abdul Wahab yang juga merupakan Exco Kerohanian PEKA 5 berkata, program Ladies And Gentlemen Moment ini dicetuskan bagi memberi kefahaman kepada para mahasiswa yang majoritinya daripada kalangan belia dan beliawanis tentang hala tuju dan matalamat sebenar yang perlu dicapai sebagai seorang yang beragama Islam. Dengan adanya program sebegini,ianya dapat memperkemas dan mengukuhkan lagi jatidiri mahasiswa dan mahasiswi UMP yang bakal menjadi pemimpin di masa akan datang.

Selain itu, peserta program ini  iaitu Muhammad Nur Arif Bin Mohd Asri daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada pihak PEKA 5 dan PIMPIN atas penganjuran program Ladies & Gentlemen Moment ini yang dilihat suatu program yang berunsurkan dakwah kontemporari dan mudah untuk difahami oleh para mahasiswa. Metod program yang santai dan tidak membosankan ini menjadi satu penyebab mengapa program sebegini perlu diteruskan pada masa akan datang.

Program tersebut berakhir dengan majlis penyampaian cenderahati kepada para panelis yang disampaikan oleh Encik Amran bin Abdul Hadi,Felo Kolej Kediaman 5 Universiti Malaysia Pahang.