KEMBARA IBRAH MUSLIM ANTARABANGSA KONGSI KEPAKARAN BERSAMA MASYARAKAT THAILAND


SONGKHLA,THAILAND 18 Mei
– Ke arah merealisasikan agenda “Memasyarakatkan Teknologi” sepertimana yang telah diamanatkan oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada Februari 2017  lalu , Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) dan Pejabat Naib Canselor (PNC) telah menganjurkan Program Kembara Ibrah Muslim Antarabangsa @Thailand.

Program yang berteraskan  perkongsian teknologi kepada masyarakat ini memilih Thailand sebagai destinasi untuk para mahasiswa dan penyelidik UMP mempamerkan dan berkongsi projek dan hasil kajian mereka bagi manfaat masyarakat di peringkat global. Seramai 30 orang mahasiswa dan 8 orang kakitangan UMP telah mengambil bahagian dalam program lawatan yang dijadualkan mengambil masa 4 hari 3 malam ini.

Menurut Pengarah Pusat Islam & Pembangunan Insan, Dr. Mahyuddin Bin Ismail turut bersama-sama dalam program ini berkata, sebagai sebuah pusat yang bertanggungjawab dalam memastikan penghayatan para mahasiswa kepada Nilai Teras Universiti yang pertama,PIMPIN tekad untuk terus mengadakan program yang dapat memberikan ibrah dan pengajaran yang berguna dalam memacu kemajuan modal insan di kalangan para mahasiswa. Justeru itu,Program Kembara Ibrah Muslim Antarabangsa ini dilihat sebagai satu platform yang tepat bagi para mahasiswa menabur ilmu kepada masyarakat disamping dapat mengambil pengalaman dan pengetahuan tentang ilmu baru yang diperolehi dari negara jiran.

Menurut beliau lagi,selain daripada dapat memberi pengetahuan berkenaan pembangunan dan penyelidikan yang berteraskan teknologi kepada pelajar-pelajar sekolah agama di beberapa perkampungan di Yala,Narathiwat dan Songkhla, program ini juga dapat memberi pendedahan kepada mahasiswa UMP agar dapat mengambil input berkenaan penulisan Al-Quran secara manual yang dipamerkan di Muzium Al-Quran Tulisan Tangan (Handwriting) yang terdapat di Narathiwat.



Sementara itu, menurut salah seorang peserta kembara, Muhammad Aizuddin Abdullah, 25 pelajar Master of Science berkata, program cetusan PIMPIN ini sangat memberi manfaat kepada saya dimana saya dapat mengenali budaya dan peradaban masyarakat Thailand. Pengalaman ini lebih manis apabila kami dapat untuk berkongsi hasil ciptaan dan penyelidikan kami para mahasiswa UMP bersama pelajar-pelajar sekolah yang rata-ratanya sangat menunjukkan minat kepada teknologi.Justeru itu, saya berpendapat bahawa program ini perlu diteruskan bagi memberi semangat kepada golongan albab agar mempelajari ilmu berkaitan Sains dan Teknologi dengan menyeluruh untuk kemajuan Umat Islam khususnya.