MAHASISWA UMP SERTAI CERAPAN HILAL RAMADAN


PEKAN,26 MEI 2017-
Seramai 17 orang mahasiswa dan 6 orang kakitangan Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah diberi peluang untuk menyertai Program Cerapan Anak Bulan bagi menentukan Awal Ramadan yang dilakukan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang di Stesen Cerapan Bukit Tanjung Batu,Nenasi. Lawatan yang dianjurkan oleh Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) ini adalah bertujuan bagi memberi pendedahan dan pengetahuan kepada para mahasiswa tentang bagaimana penentuan bulan Islam dilakukan.

Menurut Pengarah Program Lawatan Cerapan Anak Bulan Ramadan, Muhammad Farid Bin Mohd Idris berkata, proses cerapan anak bulan ini biasanya dilakukan oleh petugas daripada Jabatan Mufti Negeri Pahang dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) setiap kali apabila menjelang ketibaan Ramadan,Syawal dan Zulhijjah di stesen-stesen cerapan rasmi di negeri Pahang. Proses ini dilakukan adalah bagi menilai kembali peredaran bulan disamping mengesahkan pengiraan hisab yang telah dilakukan bagi menentukan perubahan bulan qamari. Oleh sebab itu,pihak PIMPIN merasakan adalah penting untuk memberi pendedahan kepada para mahasiswa tentang kaedah dan proses cerapan dilakukan.

Salah seorang peserta,Che Ahmad Fathi Bin Che Mohamad dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal berkata, lawatan Cerapan Anak Bulan Ramadan ini memberi pengalaman baru kepada beliau tentang kaedah dan cara untuk melihat anak bulan Ramadan. Beliau turut berharap agar program sebegini dapat diteruskan supaya para mahasiswa dapat melengkapkan diri dan menambah pengetahuan tentang perkara yang tidak terdapat dalam silibus pengajian teknikal seterusnya dapat mengaplikasikan ilmu tersebut dalam kehidupan.

Proses cerapan anak bulan bermula pada jam 6.15 petang dan berakhir pada 7.45 malam. Pusat Islam dan Pembangunan Insan mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih khususnya kepada Jabatan Mufti Negeri Pahang dan Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) atas segala kerjasama yang telah diberikan demi memastikan lawatan ini berjalan lancar.