Kongres SEHATI jalin hubungan bentuk kerjasama strategik antara IPT Negeri Pahang



KUANTAN, 02 Mei – Baru-baru ini telah berlangsungnya sidang Kongres Ketua Pentadbir Hal Ehwal Islam di Universiti Awam (UA) dan Institusi PendidikanTinggi Swasta (IPTS) buat kali kedua yang berjaya mengumpulkan seramai 25 orang wakil dari setiap IPT dan wakil agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) seluruh Negeri Pahang dalam memantapkan peranan dan tugas Pentadbir Hal Ehwal Islam seluruh negeri. Program dipengerusikan oleh Exco Dakwah Islamiah & Tugas-tugas Khas,Pejabat Exco Negeri Pahang, Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Pengarah Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN), Dr. Mahyuddin Ismail berkata, antara objektif kongres ini  diadakan adalah bagi menjalinkan kerjasama strategik dan perkongsian bijaksana dalam bentuk fasiliti, tenaga kerja dalam menjalankan dakwah dan pembangunan insan di antara universiti.

“Pertemuan ini turut membincangkan isu gejala sosial dan kebajikan pelajar secara holistik melalui kerjasama badan kerajaan. Antara  isu utama yang telah dikupas termasuklah memupuk semangat kesukarelawan dalam kalangan pelajar IPT terutama dalam aktiviti komuniti seperti dakwah di kampung orang asli, misi bantuan banjir dan seumpamanya,” ujar beliau

Menurutnya, penekanan pembudayaan Al-Quran di seluruh universiti turut diterapkan bagi meningkatkan jati diri dan sahsiah pelajar untuk melahirkan insan yang Rabbani.

Bagi Pensyarah Kolej Universiti Widad, Norizan Yusof berkata, dalam dakwah juga perlu menggunakan media teknologi yang unggul bersesuaian dengan peredaran zaman seperti hebahan poster, program dakwah di laman sesawang dan media sosial (Facebook dan Instagram) dan sebagainya bagi menarik minat masyarakat umum mendekati ilmu agama.

Turut hadir Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Al-Fadhil Ustaz Azmy Murad Bin Mohamed Yatim dan Setiusaha Kehormat NGO Permuafakatan NGO Islam Pahang, Mahadi Deraman. Kongres diakhiri dengan penyampaian watikah perlantikan Ahli Sekretariat Ketua Pentadbir Hal Ehwal Islam UA/ IPTS Negeri Pahang yang disampaikan Dato’ Syed Ibrahim.