KUNJUNGAN HORMAT DELEGASI UMP KE DARUL QURAN BINCANG PEMBANGUNAN “ENGINEER HUFFAZ”



KUALA KUBU BHARU,10 Februari –
Menyedari kepentingan Al-quran sebagai panduan kepada kehidupan manusia, Pusat Islam Dan Pembangunan Insan (PIMPIN) dengan kerjasama Pusat Bahasa Moden Dan Sains Kemanusiaan (PBMSK) mula membangunkan pelan Pembangunan Juruteknologi / Jurutera Huffaz atau lebih dikenali “Engineer Huffaz”.  Bagi merealisasikan projek berkenaan, satu kunjugan hormat ke Darul Quran JAKIM telah diadakan bagi mendapatkan nasihat dan pendapat daripada institusi yang mempelopori pengajian tahfiz Al-Quran terulung di negara ini.

Ketibaan Delegasi UMP yang terdiri daripada Pensyarah Kanan Pusat Bahasa & Sains Kemanusiaan, Dr. Rashidi Bin Abbas, Pegawai Hal Ehwal Islam Pusat Islam & Pembangunan Insan, Ustaz Muhammad Sallehuddin Bin Md Derus, Ustaz Muhammad Hasnur Bin Abd Hamid dan Ustaz Muhammad Farid Bin Mohd Idris telah disambut oleh pegawai-pegawai Darul Quran yang diketuai oleh Pengarah, Dr. Haji Nordin Bin Ahmad.

Taklimat berkenaan dengan Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran telah diberikan oleh Pegawai Perhubungan Awam Darul Quran, Ustaz Mohd Aishamudin Bin Samsungei. Dalam taklimatnya, beliau telah menyatakan dua model pengajian yang sedang dijalankan bagi program pengajian ini iaitu:

  1. Model UIAM; program Pensijilan Tahfiz dijalankan terlebih dahulu sebelum pelajar belajar dalam bidang profesional
  2. Model UNITEN/CUCMS/UTeM; program Pensijilan Tahfiz dijalankan serentak dengan pengajian dalam bidang profesional

Dr. Haji Nordin turut menambah bahawa penekanan terhadap lima faktor kesediaan dalam pelaksanaan program perlu diteliti iaitu:

  1. Faktor pelajar – mempunyai minat yang mendalam terhadap program, mempunyai tahap penguasaan hafazan yang baik dan gaya hidup yang baik.
  2. Faktor pensyarah – mempunyai komitmen yang tinggi dan menguasai pelbagai kaedah hafazan. Pensyarah tasmi’ juga mestilah seorang penghafaz al-Quran.
  3. Faktor program pengajian/kurikulum – berkenaan dengan beban pembelajaran.
  4. Faktor persekitaran – percampuran pelajar tahfiz dengan yang tidak menghafaz, prasarana atau alat bantu mengajar yang mencukupi serta pelajar tidak seharusnya dibebankan dengan beban kewangan.
  5. Faktor sokongan – komitmen berterusan di peringkat atasan, penghargaan/penglibatan pelajar, pengawalan/pemantauan dan sokongan rakan-rakan/institusi/ibu bapa.

Pertemuan ini berakhir kira-kira pada pukul 10:30 pagi selepas pertukaran cenderamata dari kedua pihak dan sesi bergambar. Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Pengarah Akademik, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kualiti Pendidikan Tahfiz dan pegawai-pegawai dari Cawangan Kualiti Pendidikan Tahfiz serta seorang pegawai dari Unit Kurikulum.