PIMPIN KOMITED TERUSKAN TRADISI PENGAJIAN TALAQQI BERKITAB



PEKAN,29 April- Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Universiti Malaysia Pahang (UMP) meneruskan kesinambungan sebagai peneraju majlis talaqqi ilmu berkitab di daerah ini apabila berjaya menganjurkan Program Daurah Kitab untuk Siri 3 bertempat di Dewan Syarahan,Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj,Pekan.Program yang mendapat kerjasama yang jitu dari Pentadbiran Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj Pekan ini berjaya mengumpulkan seramai 131 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar UMP,wakil daripada Agensi Kerajaan,Wakil Badan Bukan Kerajaan dan pegawai-pegawai Masjid Kariah di seluruh daerah Pekan.

Objektif utama program adalah untuk menarik minat pelajar dan staf UMP khususnya,dan komuniti dalam daerah Pekan amnya untuk mengenali sistem pengajian talaqqi kitab yang diamalkan oleh  para ulama terdahulu yang menjadi pemangkin kepada tersebarnya dakwah di seluruh pelosok nusantara.

Program Daurah Kitab siri 3 kali ini membahaskan berkenaan topik Maarifat dan Sifat 20 yang dipetik daripada kitab Usul At-Tahqiq yang disampaikan oleh pengarang kitab itu sendiri iaitu Al-Fadhil Tuan Guru Haji Wan Ahmad Khalil Bin Haji Muhammad Al-Limbadi Al-Kelantani.

Pengarah Program Daurah Kitab, Ustaz Shahrul Nizam Bin Md Ahir berkata, program Daurah Kitab  ini adalah salah satu inisiatif dari pihak PIMPIN untuk menghidupkan tradisi berhimpun dan mendampingi  ulama’-ulama’ muktabar bagi  tujuan menuntut ilmu dan bertalaqqi kitab disamping dapat memahami konsep maarifat dalam mengenal sifat-sifat  Allah. Tambah beliau lagi,syariat Islam itu tertegak dengan berdirinya 3 asas yang penting iaitu maarifatullah (iaitu mengenal sifat-sifat Allah), Yakin dengan sifat-sifat Allah dan akal pemikiran yang mantap. Justeru,program talaqqi kitab sebegini sangat perlu diperbanyakkan bagi memberi kefahaman kepada masyarakat tentang sifat-sifat Allah dan dapat menjelaskan kekeliruan yang timbul oleh sebab beberapa fahaman negatif yang timbul kebelakangan ini.

Program diakhiri dengan sesi soal jawab dan rumusan dan seterusnya tamat pada jam 4.45 petang. Hadir sama dalam program ini Al-Fadhil Ustaz Hairul Anuar bin Mat Nor,Imam Besar Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Hajj yang turut menyerahkan cenderahati kenang-kenangan kepada penceramah jemputan.