PROGRAM ANDA TANYA USTAZ JAWAB MERUNGKAI POLEMIK RUU 355



PEKAN, 28 April – Isu Pindaan Akta Mahkamah Syariah ataupun RUU 355 menjadi isu nasional yang hangat mutakhir ini. Ianya bermula apabila usul mengenai pindaan rang undang-undang tersebut dikemukakan secara usul peribadi (private bill) dalam Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Marang,YB Dato’ Seri Abdul  Hadi  Bin Awang pada 26 Mei 2016 yang lalu. Ada dikalangan pihak yang menyokong dan tidak kurang pula yang menentang.

Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) mengambil inisiatif bagi membincangkan berkenaan Agenda dan Polemik yang timbul terkait Pindaan RUU 355 tersebut menerusi Program Anda Tanya Ustaz Jawab yang menampilkan Dato’ Prof Mahamad Naser Bin Disa iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) sebagai panelis utama.

Program yang dianjurkan secara kerjasama dengan Pejabat Naib Canselor (PNC) dan Jabatan Pendaftar ini telah dihadiri oleh seramai lebih kurang 170 orang peserta yang terdiri daripada warga UMP,wakil Agensi Kerajaan,wakil Badan Bukan Kerajaan dan pimpinan komuniti setempat.

Pengarah Program Anda Tanya Ustaz Jawab, Ustaz Mohamad Hasnur Bin Abdul Hamid dipetik sebagai berkata, “Secara khususnya tajuk RUU 355: Agenda & Polemik ini dipilih bagi memberi pencerahan yang sebenar kepada masyarakat tentang isu yang menjadi bualan hangat netizen kebelakangan ini disamping memberi peluang kepada para peserta untuk mengajukan persoalan yang timbul mengikut skop perundangan dan kehakiman.”

 Menurut Dato’ Prof Mahamad Naser, isu pindaan RUU 355 seharusnya tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana ianya bertujuan bagi memperkasakan Akta Mahkamah Syariah sedia ada mengikut keadaan masa kini. ”Sebagai contoh, had hukuman maksimum bagi kesalahan jenayah syariah sekarang ialah hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun, denda sebanyak RM 5,000.00 dan hukuman 6 kali sebatan adalah sudah tidak relevan bagi kesalahan-kesalahan yang melibatkan penyelewengan akidah dan ajaran sesat (Kategori Kesalahan Berat) dan kadar hukuman ini jauh lebih ringan jika dibandingkan dengan hukuman bagi kesalahan jenayah sivil.” katanya.



Program yang berlangsung selama kurang lebih 2 jam ini jelas dapat merungkai persoalan dan memberi pencerahan kepada peserta yang hadir. Turut hadir sama dalam program ini, Timbalan Pendaftar Kanan di Jabatan Pendaftar, Encik Wan Abdul Rashid Bin Wan Abdul Rahman yang turut menyampaikan cenderahati kenang-kenangan kepada panelis jemputan.