PIMPIN CETUS KELAINAN ANJUR KEMBARA MUSAFIR @ GUNUNG BEREMBUN



HULU DUNGUN 30 APRIL – Seramai 21 peserta yang terdiri daripada Kakitangan UMP beberapa orang pendaki amatur telah mengambil bahagian dalam ekspedisi Kembara Musafir @ Gunung Berembun yang mempunyai ketinggian 3405 kaki pada 30 April hingga 2 Mei yang lalu. Program yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini bertujuan bagi memberi peluang kepada para peserta untuk  menyertai aktiviti pendakian disamping menerapkan elemen ibadah dan ikhtiar hidup ketika berada dalam situasi yang mencabar. Antara aktiviti yang dijalankan dalam program Kembara Musafir ini ialah pendakian, penentuan waktu solat dan kiblat berdasarkan kaedah tradisional,solat fleksibel,ikhtiar hidup dan lain-lain lagi.

 

Pengarah Program Kembara Musafir @ Gunung Berembun, Ustaz Mohamad Hasnur Bin Abdul Hamid berkata program ini diilhamkan bagi memberi pendedahan tentang pengetahuan asas falak berkenaan proses penentuan kiblat dan waktu solat. Dalam program ini juga para peserta dapat menikmati pemandangan indah flora dan fauna yang sangat menyegarkan dan dapat mentadabbur kekuasaan Allah sebagai Tuhan sekalian alam.

 

Dalam pada itu,seorang peserta, Dr Ramdan Bin Razali yang merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) berkata Program Kembara Musafir ini adalah program yang amat berbeza berbanding program-program yang PIMPIN anjurkan sebelum ini. Disamping memberi pendedahan tentang kaedah mendirikan solat secara fleksibel,program ini juga menjadikan para peserta seperti sebuah keluarga yang erat dimana elemen kerjasama dan tolong menolong diantara satu sama lain menjadi teras utama ketika aktiviti pendakian dijalankan.