SEMINAR FALAK KONGSI ILMU FENOMENA ALAM

PEKAN,13 April-  Seramai 180 orang yang menyertai Seminar Falak Syarie peringkat Universiti Malaysia Pahang 2017 anjuran bersama Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) dengan  kerjasama Jabatan Mufti Negeri Pahang dan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang bertempat di Dewan Kuliah Utama, Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK), UMP Kampus Pekan baru-baru ini.



Pengarah PIMPIN , Dr. Mahyuddin Bin Ismail berkata, seminar ini merupakan sebahagian daripada agenda yang dirancang PIMPIN dalam memasyarakatkan budaya pengajian ilmu berkaitan agama Islam dalam  kalangan warga UMP dan masyarakat setempat selaras dengan hasrat dan agenda yang telah diamanatkan oleh Naib Canselor UMP untuk tahun 2017 iaitu “Memasyarakatkan Teknologi”.

“Seperti yang kita maklum, ilmu Falak merupakan salah satu cabang ilmu penting dalam agama Islam yang membicarakan mengenai kejadian dan feneomena alam yang berlaku disekeliling kehidupan manusia.
“Menerusi seminar ini peserta dapat memantapkan pengetahuan berkenaan nas-nas syarak berkaitan Falak Syarie serta teori peredaran objek Samawi khususnya Bumi, Matahari dan Bulan,” katanya.



Dalam seminar ini, Ketua Unit Cerapan Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Johor, Ustaz Haji Hanafiah Abdul Razak menyampaikan ceramah berkaitan Ilmu Falak dan Astronomi Islam yang menjadi Pemangkin dalam Teknologi Ketamadunan Islam. Beliau turut berkongsi mengenai kaedah Penentuan Kiblat, Waktu Solat dan Penentuan Bulan Islam secara perbandingan antara kaedah moden dan kaedah tradisional dan slot yang terakhir beliau mengupas mengenai isu semasa dalam ruang lingkup falak iaitu “Benarkah Bumi Bukan Sfera”.



Bagi Pensyarah PBMSK yang juga merupakan Penasihat Kelab Astronomi UMP, Dr. Mohamad Hilmi Bin Mat Said berpendapat, seminar ini banyak memberi manfaat dan pengetahuan dalam kejadian alam yang menjadi bukti kekuasaan Allah S.W.T. Penganjuran mendapat sambutan ramai apabila turut dihadiri peserta dari sekolah-sekolah sekitar Pekan,Rompin dan Muadzam Shah, wakil daripada agensi Kerajaan seperti Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Agama Islam Pahang dan juga peserta daripada NGO dan Orang Awam yang berminat dalam mendalami ilmu falak syarie ini.Program diakhiri dengan sesi soal jawab dan tamat pada jam 4.45 petang.