SKUAD JEJAK ASNAF JELAJAH 10 PENEMPATAN DAIF



KUANTAN, 15 Oktober 2016 –
Bersempena penganjuran Karnival Mahabbah 4.0 UMP Pekan, Pusat Islam & Pembangunan Insan meneruskan siri Jejak Asnaf. Pada kali ini, skuad Jejak Asnaf UMP telah menjelajah ke penempatan-penempatan yang terdiri dari golongan fakir miskin yang berlainan latar belakang kehidupan iaitu golongan nelayan, tukang cuci, tukang kasut, ibu tunggal, sakit kritikal, hilang punca pendapatan disebabkan diberhentikan majikan dan akibat kemalangan.



Menurut salah seorang ibu tunggal yang menghidap kegagalan fungsi buah pinggang, beliau terpaksa berhutang dengan pihak hospital kerana gagal menjelaskan bil rawatan. Akibat dari itu beliau terpaksa menghentikan rawatan lanjut disebabkan kos yang semakin meningkat.



Selain itu, aktiviti sebegini memberikan gambaran keinsafan kepada sukarelawan UMP untuk berusaha memperbaiki kualiti pendidikan dan hidup agar bersedia untuk menghadapi hari muka.



Menurut saudara Hanif, 21, aktiviti kesukarelawanan ini memberi kesedaran kepada beliau untuk mengambil berat penderitaan hidup masyarakat setempat sekaligus memberi kesedaran kepada beliau untuk membantu meringankan beban orang sekeliling. “Saya mempelajari satu bentuk pendidikan menerusi program ini secara tidak langsung untuk belajar tidak mementingkan diri sendiri” katanya.



Turut hadir Ustaz Mohamad Hasnur Abdul Hamid, Ustaz Sallehudin Md Derus dan staf dari Pusat Islam UMP.