XPLORACE DAKWAH DEKATI KOMUNITI PEKAN


 
PEKAN, 8 Oktober 2016 – Bersempena penganjuran Karnival Mahabbah 4.0 UMP Pekan, Pusat Islam & Pembangunan Insan menganjurkan Xplorace Khidmat Komuniti yang telah diadakan di sekitar UMP, Pantai Air Leleh dan bandar Pekan. Aktiviti ini telah disertai sebanyak 10 kumpulan dari pelbagai fakulti. Setiap kumpulan dihendaki menyempurnakan tugasan di lokasi-lokasi checkpoint yang telah ditetapkan penganjur. Para peserta berasa bertuah kerana setiap tugasan yang diberikan menerapkan elemen khidmat komuniti, keusahawanan, teknologi hijau dan kesukanan.
 


Menurut salah seorang peserta, beliau berasa sangat teruja menyertai aktiviti ini kerana berpeluang menjadi peniaga pasar minggu di bandar Pekan. “Satu pengalaman yang sungguh bermakna bagi saya apabila dapat membantu seorang peniaga menjual sayur-sayuran. Suatu yang saya jarang temui dalam mana-mana aktiviti Xplorace,” katanya.



Di checkpoint kedua yang bertempat di Tasik UMP, setiap kumpulan dikehendaki berkayak untuk mencari arahan tugasan disamping mengenalpasti gambar pengurusan tertinggi universiti yang tersembunyi di sekitar kawasan tasik.



Sementara itu, setiap kumpulan juga dikehendaki mengupas kelapa tanpa menggunakan parang dan mengutip barangan kitar semula sebanyak 3 kilogram di Pantai Air Leleh yang masing-masing menerapkan elemen ikhtiar hidup dan teknologi hijau yang merupakan checkpoint ketiga.
 


Secara keseluruhannya, semua kumpulan berpuas hati dengan perjalanan program dan berharap aktiviti seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.
Turut hadir, Dr. Mahyuddin Ismail, Pengarah Pusat Islam UMP dan Ustaz Mohamad Hasnur, Pengarah Karnival Mahabbah UMP Pekan memeriahkan majlis.