JOM LEPAK @MASJID AT-TAQWA PEKAN LEBARKAN HUBUNGAN UMP & KOMUNITI


Pekan, 11-12 November 2016 - Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Universiti Malaysia Pahang (UMP)telah berjaya menganjurkan Program Jom Lepak @ Masjid, dengan kerjasama Masjid At-Taqwa Pekan pada 11 hingga 12 Nov 2016 yang lalu.

Program ini adalah kesinambungan dari program sama yang telah dijalankan dengan jayanya di Masjid Tanjung Selangor, Masjid Paya Bungor dan Masjid Lama Permatang Badak Kuantan pada tahun ini.

Menurut Pengarah Program Jom Lepak @ Masjid, Ustaz Shahrul Nizam Md Ahir,lokasi kali ini adalah salah satu siri jelajah komuniti dan revolusi dalam penjenamaan UMP bagi program khidmat komuniti. Melalui program ini diterapkan elemen dakwah,ibadah dan khidmat sosial kepada masyarakat setempat sekaligus membuktikan mahasiswa universiti dan komuniti berpisah tiada.


Objektif utama program adalah untuk menyeru masyarakat setempat terutama generasi muda mengimarahkan masjid selain merupakan salah satu medium bagi warga UMP untuk berbakti kepada masyarakat setempat.



Program dua hari itu melibatkan penyertaan seramai 80 pelajar UMP dari kampus Pekan dan Kampus Gambang. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Forum Muqarabin yang bertajuk“ Wasiat Luqman AlHakim” yang membariskan Panel Forum iaitu Pengetua Maahad Tahfiz Ribath al-Mustafa, Al-Fadhil Ustaz Uwais Al-Qarni Abdul Wahab dan Pencetus Ummah lokman musim ke 2.




Aktiviti-aktiviti lain ialah Qiamullail, Kuliah Subuh, Gotong-royong memasak dan membersih masjid bersama Jemaah Masjid At-Taqwa Pekan.