MAJLIS SYARAHAN UMUM MANFAATKAN WARGA UMP


Pekan, 1 November -
Warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini berpeluang berkongsi pengalaman dengan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia, Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang mengupas topik ‘Teknologi Keusahawanan: Jihad Perniagaan’ sempena Majlis Syarahan Umum anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA) & Pusat Islam & Pembangunan Insan universiti ini.
 
Sebagai sebuah universiti teknikal yang berorientasikan kejuruteraan, sains dan teknologi, perspektif melalui syarahan umum ini adalah bebahagian daripada usaha mengetengahkan teknologi keusahawanan sebagai katalis jihad perniagaan tatkala  Universiti baharu sahaja melancarkan secara rasmi dana endowmennya sendiri pada 1 Oktober 2016 yang lalu yang dikenali sebagai MyGift.
 

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dato’ Dr. Rosli Mohd. Yunus, jihad perniagaan menuntut semua pejuang perniagaan mengendalikan perniagaan masing-masing mengikut kaedah yang syar’ie dengan mengenepikan semua amalan yang merosakkan keberkatan usaha niaga tersebut terutama sekali yang bersifat haram serta tidak diredai. 

“Di sini terletaknya penyesuaian jihad perniagaan dalam konteks tujuan atau Maqasid al-Syariah yang menitikberatkan pemeliharaan lima aspek utama kehidupan iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Dengan pengalaman luas dalam jihad perniagaan ini kita percaya kearifan ilmu, kepakaran profesional dan pengalaman luasnya dalam dunia perniagaan dan korporat selama lebih 35 tahun ini dapat dimanfaatkan warga universiti,” katanya.
 

Dalam syarahannya, Tan Sri Ali mengatakan Jihad Bisnes menuntut semua pejuang bisnes mengendalikan bisnes masing-masing mengikut kaedah dan menggunakan cara yang pasti akan mengenepikan semua yang merosakkan. Ujarnya, menjayakan Jihad Bisnes juga menuntut kita mengendalikan bisnes tanpa membawa kesan sampingan yang memudarat dan merosakkan.   Misalnya, bisnes mengikut kaedah rakus sistem kapitalis global hari ini mengakibatkan golongan kecil kaya mudah bertambah kaya, dan golongan majoriti yang miskin dipinggir dan diketepikan, kadangkala langsung dieksploitasi, ditindas dan dizalimi.

Justeru, Jihad Bisnes juga menuntut pejuang bisnes memperbaiki kerosakan dengan mentransformasikan sistem ekonomi supaya lebih adil dan saksama.   Satu kaedah menuju ke arah itu ialah dengan membangunkan institusi Waqaf Korporat yang kini sedang diperjuangkan oleh Dewan Perdagangan Islam Malaysia.
 

Tan Sri Hashim merupakan penyandang Kursi Sheikh Abdullah Fahim di Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ahli Lembaga Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ini telah disenaraikan sebagai salah seorang daripada 500 individu Muslim paling berpengaruh di dunia pada 2016 (The Muslim 500, the World’s Most Influential Muslims 2016) oleh The Royal Islamic Strategic Studies Centre yang berpengkalan di Amman, Jordan. Beliau paling dikenali sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp), jawatan yang disandang beliau selama 28 tahun sejak Januari 1982 hingga Julai 2010 dan berjaya mengangkat organisasi tersebut sebagai antara syarikat paling berdaya saing di Malaysia.

Sebagai pejuang jihad perniagaan, beliau turut dikenali sebagai  Pengasas Waqaf An Nur Corporation Bhd, (WANCorp), iaitu institusi waqaf korporat pertama ditubuhkan di Malaysia dan seterusnya mengasaskan Awqaf Holdings Bhd, (AWQAF) syarikat waqaf korporat kedua Malaysia yang ditubuhkan dengan dana wakaf sumbangan komuniti dan orang ramai. Gagasan pemikirannya mengenai jihad perniagaan dikupas dalam empat buku nukilan beliau sendiri iaitu ‘Membujur Lalu… Satu Pengalaman Orang Melayu Dalam Pengurusan’ (1995). ‘Bisnes Satu Cabang Jihad - Pembudayaan Bisnes untuk Survival’ (2003), ‘Khalifah Ganti Superman’ (2011) dan ‘Stategi Jihad Bisnes’ (2015).