UMP Sumbang Bubur Lambuk Untuk Komuniti

  

Kuantan, 1 Julai – Buat julung kalinya,  Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang dan Pejabat  Jawatankuasa Dakwah dan Islamiah dan tugas-tugas Khas Negeri Pahang mengadakan Program Bubur Lambuk Komuniti dengan mengagihkan 3000 bekas bubur lambuk kepada umat islam di sekitar bandar Kuantan.

Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) UMP, Dr. Mahyuddin Ismail berkata, program ini bertujuan untuk menyediakan juadah bubur lambuk khususnya kepada yang berada di sekitar Kuantan.

Mengulas penyediaan bubur lambuk, beliau menjelaskan sebanyak 50 kg beras digunakan bagi menyediakan 10 periuk bubur lambuk yang dimasak secara bergotong royong di Masjid Negeri Sultan Ahmad.

“Lebih menarik lagi apabila penyediaan bubur lambuk ini menggunakan resipi istimewa daripada Adabi Consumer Industries Sdn Bhd. (Adabi). Selain itu, seramai 160 pelajar UMP yang turut dalam aktiviti sukarelawan dalam aktiviti menyiang, memasak, membungkus dan mengedar bubur lambuk,” katanya.

 

Ujar beliau, aktiviti menyiang bermula pada malam selasa dan penyediaan kesemua bubur lambuk ini bermula pada pukul 8 pagi dan selesai dibungkus kira-kira pukul dua petang tadi, katanya.

Tambahnya lagi, pengagihan bubur lambuk pula  akan bermula jam 4.00 petang. Di antara lokasi pengedaran seperti di padang berhadapan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 yang  menjadi tumpuan warga bandar ini sebagai lokasi berbuka puasa beramai-ramai penduduk sekitar bandar ini.

Selain itu juga bubur ini akan turut dihantar ke Jabatan- Jabatan kerajaan yang berhampiran  dan pengguna jalan raya. Dalam program ini, ADUN Panching, Dato’ Mohd. Zaili Haji Besar dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof. Dato’Dr. Yuserrie Zainuddin yang turut sama hadir menyampaikan sumbangan bubur lambuk.

 

Seorang pengunjung Melati Mustafa, 45, yang menerima sumbangan berkata, beliau amat berterima kasih atas sumbangan bubur ini. Beliau bersyukur diberi kesempatan mengambil bubur lambuk ini untuk juadah berbuka puasa memandangkan sebelum ini apabila sampai di sini bubur lambuk sudah habis.

Tambahnya lagi, hari ini program lebih meriah dengan penglibatan pelajar-pelajar dan sukarelawan UMP yang turut menjayakan program ini.

Sempena bulan Ramadan, UMP menganjurkan Festival Ramadan  dengan pelbagai pengisian antaranya Tarawih, Tadarus Al-Quran, Jejak Asnaf Fakir Miskin, Diskusi Rahsia Keajaiban Al-Quran, Iftar bersama penduduk masyarakat sekitar kampus Gambang dan Pekan.