101 HADIR PROGRAM ANDA TANYA USTAZ JAWAB VERSI MERDEKA



UMP Pekan, 28 Ogos 2015 - 
Lebih 101 orang hadir ke program bersama Ustaz Muhamad Syaari Ab Rahman, Penyampai Slot Ibrah, IKIM.fm dalam program Anda Tanya Ustaz Jawab yang merupakan anjuran bersama Pusat Islam & Pembangunan Insan dan Fakulti Kejuruteraan Pembuatan. Sepanjang program ini berlangsung, terdapat, booth untuk sesi pemeriksaan kesihatan secara percuma yang disediakan oleh Darul Makmur Medical Centre(DMMC). Program yang dihadiri dari pelbagai agensi dan orang-perseorangan ini telah membincangkan tajuk yang cukup istimewa iaitu "Muhammad Al-Fateh Ikon Merdeka". Menurut penganjur, tajuk ini dipilih bertepatan dengan Bulan Kemerdekaan yang sedang berlangsung selain mengambil ruh pembukaan Kota Konstantinople oleh Sultan Muhammad Al-Fateh dalam membina empayar Islam.



Menurut Ustaz Syaari yang juga merupakan Pakar Penyelidik Sejarah Usmaniah, setiap insan yang dilahirkan di dunia ini layak bergelar pemimpin. Kerana bakat kepimpinan itu menjadi simbol personaliti dan imej diri seseorang serta menjadi keutamaan dalam arena dakwah Islam. Alangkah bertuahnya Islam yang memiliki aset penganutnya yang kaya jati diri dan berpemikiran strategik sekaligus mempamerkan Islam itu agama yang tinggi nilainya.

Program ini telah dimoderatorkan oleh Dr. Mahyuddin Ismail selaku Pengarah PIMPIN UMP yang berkonsepkan bual bicara santai dan dihiasi dengan sesi soal jawab yang diajukan oleh peserta yang berkisar kemusykilan agama.
 
Majlis berakhir dengan penyampaian cenderahati yang telah disempurnakan oleh En. Zulkifli bin Md Yusuf yang merupakan Ketua Program Mekatronik, FKP.