PIMPIN SAMBUT MAJLIS HARI RAYA BERSAMA KAMPUNG ANGKAT



Kampung Dato’ Sharif Ahmad, Kuala Krau, Pahang, 15 Ogos 2015 –
Pusat Islam & Pembangunan Insan telah menganjurkan Program Sambutan Hari Raya bersama Kampung Dato’ Sharif Ahmad, Kuala Krau dengan melibatkan seramai 40 orang pelajar Kemahiran Insaniah, UMP yang merupakan anak-anak angkat kampung tersebut. Program ini adalah inisiatif PIMPIN untuk menerapkan elemen kemahiran insaniah dan daya kreativiti pelajar terhadap masyarakat sekeliling selain merupakan kesinambungan daripada Program Dakwah Ummah yang telah dijalankan bersama 3 kampung angkat sebelum ini. Oleh yang demikian, sambutan hari raya bersama penduduk kampung angkat ini adalah salah satu inisiatif PIMPIN untuk mengekalkan hubungan baik di antara UMP dan komuniti setempat.

Para pelajar dilihat telah melakukan tanggungjawab sosial dengan membantu persiapan majlis dan keraian. Menurut Dato’ Azman yang merupakan Penghulu Mukim, kerjasama erat antara UMP dan komuniti penting dalam menyumbang bakat dan perkongsian kepakaran dalam memajukan komuniti setempat. Ini bertepatan dengan hasrat Naib Canselor menjadikan UMP sebagai sebuah Universiti Komuniti.

Program ini telah turut dihadiri oleh YB. Dato' Haji Mohamed Bin Haji Jaafar, Timbalan YDP DUN Pahang selaku perasmi serta YB. Dato' Syed Ibrahim Bin Syed Ahmad yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Negeri. Turut hadir, Dr. Mahyuddin bin Ismail, Pengarah PIMPIN bersama seluruh staf PIMPIN.

Semoga program seumpama ini dapat memberikan suntikan dan kesedaran kepada mahasiswa untuk berkhidmat kepada masyarakat seterusnya diadakan lagi pada masa-masa akan datang. Program diakhiri dengan majlis perasmian penutup dan salam perpisahan di antara pelajar dan keluarga angkat.